Senin, 24 September 2012

Terjemahan Al-Quran - Surah Al-Baqarah Ayat 119-141

P. Larangan Mengikuti Yahudi dan Nasrani.
119. Sesungguhnya Kami telah mengutusmu (Muhammad) dengan kebenaran sebagai pembawa berita gembira dan pemberi peringatan dan kamu tidak akan diminta (bertanggungjawab) tentang penghuni-penghuni neraka.

120. Orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu sehingga kamu mengikut agama mereka. Katakanlah: " Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)". Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.

121. Orang yang telah Kami berikan al-Kitab kepadanya mereka membacanya dengan bacaan yang sebenarnya,* mereka itu beriman kepadanya. Dan barangsiapa yang ingkar kepadanya, maka mereka itulah orang yang rugi.
* Tidak mengubah dan mentakwilkan al-Kitab mengikut hatinya.

122. Wahai Bani Israel, ingatlah akan nikmatKu yang telah Aku anugerahkan kepadamu dan Aku telah lebihkan kamu dari umat yang lain.*
* Umat yang sezaman dengan Bani Israel.

123. Dan takutlah kamu kepada suatu hari pada waktu seseotang tidak dapat menggantikan* orang lain sedikit pun dan tidak akan diterima suatu tebusan darinya dan tidak akan memberi manfaat sesuatu syafaat kepadanya dan tidak (pula) mereka akan ditolong.
* Dosa dan pahala seseorang tidak dapat dipindahkan kepada orang lain.

Q. Perjanjian Dengan Nabi Ibrahim 'Alaihissalam.
124. Dan (ingatlah) ketika Ibrahim diuji* Tuhannya dengan beberapa kalimah (perintah dan larangan), lalu Ibrahim menunaikannya. Allah berfirman: " Sesungguhnya Aku akan menjadikanmu imam bagi seluruh manusia." Ibrahim berkata: "(Dan saya memohon juga) dari keturunanku."** Allah berfirman : "JanjiKu (ini) tidak berlaku bagi orang yang zalim."
* Ujian terhadap Nabi Ibrahim 'Alaihissalam di antaranya ialah membangunkan Kaabah, membersihkan Kaabah dari kemusyrikan, menghadapi Raja Namrud, mengorbankan anaknya, Nabi Ismail 'Alaihissalam dan lain-lain.
** Allah telah mengabulkan doa Nabi Ibrahim 'Alaihissalam dan banyak keturunan Nabi Ibrahim 'Alaihissalam menjadi rasul.

125. Dan (ingatlah) ketika Kami menjadikan rumah itu (Baitullah) tempat berkumpul bagi manusia dan tempat yang aman. Dan jadikanlah sebahagian Maqam Ibrahim* tempat solat. Dan telah Kami perintahkan kepada Ibrahim dan Ismail: "Bersihkanlah rumahKu untuk orang yang tawaf, yang iktikaf, yang rukuk dan yang sujud."
* Tempat berdiri Nabi Ibrahim 'Alahissalam ketika membuat Kaabah.

126. Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa: " Ya Tuhanku, jadikanlah negeri ini, negeri yang aman sentosa dan berikanlah rezeki dari buah-buahan kepada penduduknya yang beriman di antara mereka kepada Allah dan hari kemudian." Allah berfirman: " Dan kepada orang yang kafir pun Aku beri kesenangan sementara, kemudian Aku paksa dia menjalani seksaan neraka dan itulah seburuk-buruk tempat kembali."

127. Dan (ingatlah) ketika Ibrahim meninggikan (membina) asas-asas Baitullah bersama Ismail (seraya berdoa): "Ya Tuhan kami, terimalah dari kami (amalan kami), sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

128. Ya Tuhan kami, jadikanlah kami berdua orang yang tunduk dan patuh kepada Engkau dan (jadikanlah) di antara anak cucu kami umat yang tunduk dan patuh kepada Engkau dan tunjukkanlah kepada kami cara-cara dan tempat-tempat ibadah haji kami dan terimalah taubat kami. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Penerima Taubat, lagi Maha Penyayang.

129. Ya Tuhan kami, utuskanlah untuk mereka seorang rasul dari kalangan mereka yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat Engkau dan ajarkanlah kepada mereka al-Kitab (al-Quran) dan al-Hikmah (as-Sunnah) serta sucikanlah mereka. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Perkasa, lagi Maha Bijaksana.

R. Agama Nabi Ibrahim 'Alahissalam.
130. Dan tidak ada yang benci kepada agama Ibrahim melainkan orang yang memperbodohkan dirinya sendiri dan Kami telah memilihnya* di dunia dan sesungguhnya dia di akhirat benar-benar termasuk di kalangan orang yang soleh.
* Di antaranya menjadi imam, rasul, banyak keturunannya yang menjadi nabi dan diberi gelaran Khalillullah (Kekasih Allah)

131. Ketika Tuhannya berfirman kepadanya: " Tunduklah dan patuhlah!" Ibrahim menjawab: "Aku tunduk dan patuh kepada Tuhan semesta alam."

132. Dan Ibrahim telah mewasiatkan ucapan itu kepada anak-anaknya, demikian pula Yaakub. (Ibrahim berkata): " Hai anak-anakku, sesungguhnya Allah telah memilih agama ini bagimu, maka janganlah kamu mati kecuali dalam memeluk agama Islam."

133. Adakah kamu kahir ketika Yaakub didatangi (tanda-tanda) maut, ketika dia berkata kepada anak-anaknya: "Apa yang kamu sembah sepeninggalanku?" Mereka menjawab: "Kami akan menyembah Tuhanmu dan Tuhan nenek moyangmu, Ibrahim, Ismail dan Ishak, (iaitu) Tuhan Yang Maha Esa dan kami hanya tunduk dan patuh kepadaNya."

134. Itu adalah umat yang lalu, baginya apa yang telah diusahakannya dan bagimu apa yang telah kamu usahakan dan kamu tidak akan diminta bertanggungjawab tentang apa yang telah mereka kerjakan.

135. Dan mereka berkata: "Hendaklah kamu menjadi penganut agama Yahudi atau Nasrani, nescaya kamu mendapat petunjuk. Katakanlah: "Tidak, bahkan (kamu mengikuti) agama Ibrahim yang lurus. Dan bukanlah dia (Ibrahim) dari golongan orang musyrik."

136. Katakanlah (wahai orang mukmin): "Kami beriman kepada Allah dan apa yang diturunkan kepada kami dan apa yang diturunkan kepada Ibrahim, Ismail, Ishak, Yaakub dan anak cucunya dan apa yang diberikan kepada Musa dan Isa serta apa yang diberikan kepada nabi-nabi datu Tuhannya. Kami tidak membeza-bezakan seorang pun di antara mereka dan kami hanya tunduk patuh kepadaNya."

137. Maka jika mereka beriman kepada apa yang kamu telah beriman kepadanya, sesungguhnya mereka telah mendapat petunjuk dan jika mereka berpaling, sesungguhnya mereka berada dalam permusuhan (dengan kamu). Maka Allah akan memelihara kamu dari mereka. Dan Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

138. Sibghah* Allah. Dan siapakah yang lebih baik sibghahnya daripada Allah? Dan hanya kepadaNyalah kami menyembah.
* Sibghah Allah, ertinya "Celupan Allah", yang bererti beriman kepada Allah (agama) yang tidak disertai dengan kemusyrikan

139. Katakanlah: " Apakah kamu berdebat dengan kami tentang Allah, padahal Dia adalah Tuhan kami dan Tuhan kamu, bagi kami amalan kami, bagi kamu amalan kamu dan hanya kepadaNya kami mengikhlaskan hati.

140. Atau kamu (wahai orang Yahudi dan Nasrani) mengatakan bahawa Ibrahim, Ismail, Ishak, Yaakub dan anak cucunya adalah penganut agama Yahudi atau Nasrani? Katakanlah: "Apakah kamu yang lebih mengetahui atau Allah dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan syahadah dari Allah* yang ada padanya?" Dan Allah sekali-kali tidak lalai dari apa yang kamu kerjakan.
* Persaksian Allah yang tersebut dalam Taurat dan Injil bahawa Nabi Ibrahim 'Alaihissalam dan anak cucunya bukan penganut agama Yahudi atau Nasrani dan bahawa Allah akan mengutus Nabi Muhammad SAW.

141. Itu adalah umat yang telah lalu, baginya apa yang diusahakannya dan bagimu apa yang kamu usahakan dan kamu tidak akan diminta bertanggungjawab tentang apa yang telah mereka kerjakan.

Minggu, 23 September 2012

Terjemahan Al-Quran - Surah Al-Baqarah Ayat 97-118

K. Memusuhi Malaikat Jibril 'Alaihissalam Bererti Memusuhi Allah Subhanahu wa Taa'la yang Mengutusnya.
97. Katakanlah: "Barangsiapa yang menjadi musuh Jibril, maka jibril itu telah menurunkannya (al-Quran) ke dalam hatimu dengan izin Allah, membenarkan apa (kitan-kitab) yang sebelumnya dan menjadi petunjuk serta berita gembira bagi orang yang beriman."

98. Barangsiapa yang menjadi musuh Allah, malaikat-malaikatNya, rasul-rasulNya, Jibril dan Mika'il, maka sesungguhnya Allah adalah musuh bagi orang kafir.

99. Dan sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu ayat-ayat yang jelas dan tidak ada yang ingkar kepadanya melainkan orang yang fasik.

100. Patutkah (mereka ingkar kepada ayat-ayat Allah)? Dan setiap kali mereka berjanji, segolongan mereka mengingkarinya, bahkan sebahagian besar daripada mereka tidak beriman.

101. Dan setelah datang kepada mereka seorang rasul dari sisi Allah yang membenarkan apa (kitab) yang ada pada mereka, sebahagian daripada orang yang diberi Kitab (Taurat) melemparkan Kitab Allah ke belakang (punggung)nya seolah-olah mereka tidak mengetahui (bahawa itu adalah Kitab Allah).

L. Tuduhan Orang Yahudi Terhadap Nabi Sulaiman 'Alahissalam.
102. Dan mereka mengikuti apa* yang dibaca oleh syaitan-syaitan** pada masa kerajaan Sulaiman (dan mereka mengatakan bahawa Sulaiman itu mengamalkan sihir), padahal Sulaiman tidak kafir ( tidak mengamalkan sihir), hanya syaitan-syaitan itu yang kafir (mengamalkan sihir). Mereka mengajar sihir kepada para manusia dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat*** di negeri Babil (Babylon) iaitu Harut dan Marut, sedang keduanya tidak mengajarkan (sesuatu) kepada seorang pun sebelum mengatakan: "Sesungguhnya kami hanya cubaan (bagimu), sebab itu janganlah kamu kafir." Maka mereka mempelajari daripada kedua malaikat itu apa yang dapat memisahkan antara seorang (suami) dengan isterinya.**** Dan mereka itu (ahli sihir) tidak akan dapat memberi mudarat kepada seseorang dengan sihirnya kecuali dengan izin Allah. Dan mereka mempelajari sesuatu yang memberi mudarat dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi) telah pun mengetahui bahawa barangsiapa yang memilih ahli sihir itu, tiada baginya keuntungan di akhirat dan amat jahatlah perbuatan mereka menjual dirinya dengan sihir jika mereka mengetahui.
* Kitab-kitab sihir
** Menurut Ibnu Katsir, syaitan-syaitan itu menyebarkan berita-berita bohong bahawa Nabi Sulaiman 'Alaihissalam menyimpan lembaran-lembaran sihir
*** Para mufassir ada berpendapat bahawa dua malaikat adalah betul-betul malaikat, ada pula yang berpendapat bahawa mereka adalah orang yang dipandang soleh seperti Malaikat dan apa pula yang berpendapat bahawa mereka adalah dua orang jahat yang berpura-pura soleh sepeti Malaikat.
**** Bermacam-macam sihir yang diamalkan oleh orang Yahudi sehingga terdapat sihir untuk mencerai-beraikan masyarakat seperti mencerai-beraikan suami isteri.

103. Sesungguhnya jika mereka beriman dan bertakwa, (nescaya mereka akan mendapat pahala) dan sesungguhnya pahala di sisi Allah adalah lebih baik jika mereka mengetahui.

M. Ketidaksopanan Orang Yahudi Terhadap Nabi Muhammad SAW dan Sahabat-sahabatnya.
104. Wahai orang yang beriman, janganlah kamu katakan (kepada Muhammad): "Ra'ina"*, tetapikatakanlah: "Unzurna",** dan dengarlah kamu (segala perintah dengan sebulat hati menerimanya). Dan (ingatlah bahawa) orang kafir itu beroleh azab seksaan yang pedih (neraka).
* Ra'ina bererti; "sudilah kiranya kamu memperhatikan kami." Ketika para sahabat mengucapkan perkataan ini kepada Rasulullah SAW, orang Yahudi pun memakai kata ini dengan digunakan seakan-akan menyebut ra'ina, padahal yang mereka katakan ialah ru'unah, yang beerti "kebodohan yang sangat", sebagai ejekan kepada Rasulullah SAW, itulah sebabnya Allah memerintahkan sahabat-sahabat menukar perkataan ra'ina dengan unzurna.
** Sama erti dengan ra'ina.

105. Orang kafir dari Ahli Kitab dan orang musyrik tidak menginginkan diturunkannya sesuatu kebaikan kepadamu dari Tuhanmu. Dan Allah menentukan siapa yang dikehendakiNya (untuk diberi) rahmatNya (kenabian) dan Allah mempunyai kurnia yang besar.

N. Menasakhkan Suatu Ayat Adalah Urusan Allah Subhanahu wa Ta'ala.
106. Ayat* mana saja yang Kami nasakhkan atau Kami jadikan (manusia) lupa kepadanya, pasti Kami ganti dengan yang lebih baik daripadanya atau yang setanding dengannya. Tidakkah kamu mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha Kuasa ke atas segala sesuatu?
* Para mufassir berlainan pendapat tentang erti ayat. Ada yang mentafsirkan ayat al-Quran dan ada yang mentafsirkan mukjizat.

107. Tidakkah kamu mengetahui bahawa kerajaan langit dan bumi adalah kepunyaan Allah? Dan tiada bagimu selain Allah, seorang pelindung mahupun seorang penolong.

108. Atau kamu pula hendak meminta kepada Rasulmu (Muhammad) seperti mana Musa (pernah) diminta (Bani Israel) dahulu? Dan barangsiapa yang menukar iman dengan kekafiran, maka sesungguhnya orang itu telah sesat dari jalan yang lurus.

109. Sebahagian besar Alhli Kitab inginkan agar mereka dapat mengembalikan kamu kepada kekafiran setelah kamu beriman kerana dengki yang (timbul) daripada diri mereka sendiri, setelah nyata bagi mereka kebenaran. Maka maafkanlah dan biarkanlah mereka hingga Allah datangkan perintahNya.* Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.
* Izin memerangi dan mengusir orang Yahudi.

110. Dan dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat. Dan kebaikan apa saja yang kamu usahakan bagi dirimu, tentu kamu akan mendapat pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Melihat apa-apa yang kamu kerjakan.

111. Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata: " Sekali-kali tidak akan masuk syurga kecuali orang (yang beragama) Yahudi atau Nasrani." Demikian itu (hanya) angan-angan mereka yang kosong belaka. Katakanlah: " Tunjukkanlah bukti kebenaran kamu jika kamu adalah orang yang benar."

112. (Tidak demikian) bahkan barangsiapa yang menyerahkan diri kepada Allah, sedang dia berbuat kebajikan, maka baginya pahala di sisi Tuhannya dan tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.

113. Dan orang Yahudi berkata; " Orang Nasrani itu tidak mempunyai suatu pegangan" dan orang Nasrani berkata: " Orang Yahudi tidak mempunyai suatu pegangan," padahal mereka (sama-sama) baca al-Kitab. Demikian pula orang yang tidak berilmu, berkata seperti ucapan mereka itu. Maka Allah akan mengadili mereka pada hari kiamat tentang apa-apa yang mereka berselisih padanya.

O. Tindakan-tindakan Menghalang Beribadah.
114. Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menghalang dari menyebut nama Allah dalam masjid-masjidNya dan berusaha untuk merobohkannya? Mereka itu tidak sepatutnya masuk ke dalamnya (masjid Allah) kecuali dengan rasa takut (kepada Allah). Mereka di dunia mendapat kehinaan dan di akhirat mendapat seksa yang berat.

115. Dan kepunyaan Allahlah timur dan barat. Maka ke mana pun kamu menghadap, disitulah wajah (kiblat) Allah.* Sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmatNya) lagi Maha Mengetahui.
* At-Tabari menyebutkan bahawa ayat ini turun berkenaan dengan suatu kaum yang tidak dapat melihat arah kiblat dengan tepat sehingga mereka solat ke arah yang berbeza-beza.

116. Maka (orang kafir) berkata : "Allah mempunyai anak." Maha Suci Allah, bahkan apa yang ada di langit dan di bumi adalah kepunyaan Allah, semua tunduk kepadaNya.

117. Allah pencipta langit dan bumi dan apabila Dia berkehendakkan (untyk menciptakan) sesuatu, maka (cukuplah) Dia hanya mengataan kepadanya: "Jadilah", lalu jadilah ia.

118. Dan orang yang tidak mengetahui berkata: " Mengapa Allah tidak (langsung) berbicara dengan kami atau datang tanda-tanda kekuasaanNya kepada kami?" Demikian pula orang yang sebelum mereka telah mengatakan seperti ucapan mereka itu, hati mereka serupa. Sesungguhnya Kami telah menjelaskan tanda-tanda kekuasaan Kami kepada kaum yang yakin.

Sabtu, 22 September 2012

Terjemahan Al-Quran - Surah Al-Baqarah Ayat 80-96

80. Dam mereka berkata: " Kami sekali-kali tidak akan disentuh oleh api neraka kecuali selama beberapa hari sahaja." Katakanlah: "Sudahkah kamu menerima janji daripada Allah sehungga Allah tidak akan memungkiri janjiNya atau kamu hanya mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui?"

81. (Bukan demikian), yang benar, barangsiapa berbuat dosa dan dia telah diliputi oleh dosanya, mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.

82. Dan orang yang beriman serta beramal soleh, mereka itu penghuni syurga, mereka kekal di dalamnya.

H. Bani Israel Mengingkari Janjinya Dengan Allah Subhanahu wa Taa'la.
83. Dan (ingatlah) ketika Kami mengambil janji taat setia daripada Bani Israel, (iaitu) janganlah kamu menyembah selain Allah dan berbuat baiklah kepada kaum keluarga, kaum kerabat, anak-anak yatim dan orang miskin serta ucapkanlah kata-kata yang baik kepada manusia, dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat. Kemudian kamu tidak memenuhi janji itu kecuali sebahagian kecil daripada kamu dan kamu selalu mengingkarinya.

84. Dan (ingatlah) ketika Kami mengambil janji taat setia dari kamu, (iaitu) kamu tidak akan menumpahkan darahmu (membunuh orang) dan kamu tidak akan mengusir dirimu (saudaramu sebangsa) dari kampung halamanmu, kemudian kamu berikrar (akan memenuhinya) sedang kamu menyaksikannya.

85. Kemudian kamu (Bani Israel) membunuh dirimu (saudaramu sebangsa) dan mengusir segolongan dari kamu dari kampung halamannya, kamu bantu-membantu terhadap mereka dengan perbuatan dosa dan permusuhan, tetapi jika mereka datang kepadamu sebagai tawanan, kamu tebus mereka, padahal mengusir mereka itu (juga) dilarang bagimu. Apakah kamu beriman kepada sebahagian al-Kitab (Taurat) dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiada alasan kepada orang yang berbuat demikian darimu, melainkan kehinaan dalam kehidupan dunia dan pada hari kiamat mereka dikembalikan kepada seksa yang sangat berat. Allah tidak lalai dari apa yang kamu telah lakukan.*
* Ayat ini berkenaan dengan cerita orang Yahudi di Madinah pada permulaan Hijrah. Sebelum Islam, selalu terjadi persengketaan dan perperangan antara suku 'Aus dan suku Khazraj. Sehingga antara kedua suku Yahudi tersebut menjadi peperangan dan tawan-menawan kerana membantu sekutu-sekutunya. Tetapi, jika kemudian ada orang Yahudi tertawan, maka suku-suku Yahudi tersebut bersepakat untuk menebusnya sungguh pun mereka berperang.

86. Itulah orang yang membeli kehidupan dunia dengan (kehidupan) akhirat, maka tidak akan diringankan seksa mereka dan mereka tidak akan ditolong.

I. Sikap Orang Yahudi Terhadap Para Rasul dan Kitab-kitab Yang Diturunkan Allah Subhanahu wa Taa'la.
87. Dan sesungguhnya Kami telah mendatangkan al-Kitab (Taurat) kepada Musa dan Kami telah menyusulinya (berturut-turut) sesudah itu dengan rasul-rasul dan telah Kami berikan bukti-bukti kebenaran (mukjizat) kepasa Isa putera Maryam dan Kami memperkuatkannya dengan Ruhul-Qudus.* Apakah setiap kali datang kepadamu seorang Rasul membawa sesuatu (pelajaran) yang tidak sesuai dengan keinginanmu, lalu kamu angkuh, maka beberapa orang (di antara mereka) kamu dustakan dan beberapa orang (yang lain) kamu bunuh?
* Kejadian Nabi Isa 'Alaihissalam adalah kejadian yang luar biasa tanpa bapa iaitu dengan tiupan Ruhul-Qudus oleh malaikat Jibril 'Alaihissalam kepada diri Maryam. Ini termasuk mukjizat Nabi Isa 'Alaihissalam. Menurut jumhur mufassir, Ruhul-Qudus ialah malaikat Jibril 'Alaihissalam.

88. Dan mereka berkata: "Hati kami tertutup." Tetapi sebenarnya Allah telah mengutuk mereka kerana keingkaran mereka, maka sedikit sekali mereka yang beriman.

89. Dan setelah datang kepada mereka al-Quran dari Allah yang membenarkan apa yang ada pada mereka, padahal sebelumnya mereka biasa memohon (kedatangan nabi) untuk mendapat kemenangan atas orang kafir, maka telah datang kepada mereka apa yang telah mereka ketahui,* lalu mereka ingkar kepadanya. Maka laknat Allah ke atas orang yang ingkar itu.
* Kedatangan dan sifat-sifat Nabi Muhammad SAW diterangkan dalam Taurat.

90. Alangkah buruknya (perbuatan) mereka yang menjual dirinya sendirinya dengan mengingkari apa yang telah diturunkan Allah, kerana dengki bahawa Allah menurunkan kurniaanNya* kepada siapa yang Dia kehendaki di antara hamba-hambaNya. Kerana itulah mereka mendapat kemurkaan demi kemurkaan.** Dan untuk orang kafir seksaan yang menghinakan.
* Allah menurunkan wahyu kenabian kepada Nabi Muhammad SAW.
** Mereka mendapat kemurkaan yang berlipat ganda, iaitu kemurkaan kerana tidak beriman kepada Nabi Muhammad SAW dan kemurkaan kerana perbuatan mereka sebelumnya iaitu membunuh para nabi, mendustakannya, mengubah isi Taurat dan sebagainya.

91. Dan apabila dikatakan kepada mereka: " Berimanlah kepada al-Quran yang diturunkan Allah." Mereka berkata: "Kami hanya beriman kepada apa yang diturunkan kepada kami." Dan mereka ingkar kepada al-Quran yang diturunkan setelahnya, sedangkan al-Quran adalah (kitab) yang hak yang membenarkan apa yang ada pada mereka. Katakanlah: " Mengapa kamu dahulu membunuh nabi-nabi Allah jika benar kamu orang yang beriman?

J. Penyembah Anak Lembu Yang Dilakukan Bangsa Yahudi Merupakan Tanda Kecenderungan Mereka Kepada Kebendaan.
92. Sesungguhnya Musa telah datang kepadamu membawa bukti-bukti kebenaran (mukjizat), kemudian kamu jadikan anak lembu (sebagai sembahan) sesudah (pemergian)nya* dan sebenarnya kamu adalah orang yang zalim.
* Pemergian Nabi Musa 'Alaihissalam ke Tur Sina.

93. Dan (ingatlah) ketika Kami mengambil janji taat setia dari kamu dan Kami angkat Bukit Sinai ( Tur Sina) di atasmu (seraya Kami berfirman): "Peganglah teguh-teguh apa yang Kami berikan kepadamu dan dengarkanlah!" Mereka menjawab: "Kami dengar tetapi tidak mentaatinya." Dan telah meresap ke dalam hati mereka itu (kecintaan menyembah) anak lembu kerana kekafiran mereka. Katakanlah : " Amat jahat* perbuatan yang diperintahkan imanmu kepadamu jika betul kamu beriman (kepada Taurat)."
* Perbuatan jahat yang mereka kerjakan ialah menyembah anak lembu, membunuh nabi-nabi dan melanggar janji.

94. Katakanlah: "Jika kamu (menganggap bahawa) kampung akhirat (syurga) itu khusus untukmu di sis Allah, bukan untuk orang lain, maka cita-citakanlah* kematian(mu), jika kamu memang orang yang benar.
* Mintalah agar kamu dimatikan sekarang juga.

95. Dan sekali-kali mereka tidak akan menginginkan kematian itu selama-lamanya kerana kesalahan-kesalahan yang telah dilakukan oleh tangan mereka (sendiri). Dan Allah Maha Mengetahui siapa orang yang zalim.

96. Dan kamu akan mendapati mereka, manusia yang paling tamak kepada kehidupan (di dunia), bahkan (lebih tamak lagi) daripada orang Musyrik. Masing-masing ingin agar diberi umur seribu tahun, padahal umur panjang itu itu sekali-kai tidak akan menjauhkan mereka dari azab. Allah Maha Melihat apa yang mereka kerjakan.

Terjemahan Al-Quran - Surah Al-Baqarah Ayat 61-79

C. Pembalasan Terhadap Sikap dan Perbuatan Bani Israel.
61. Dan (ingatlah) ketika kamu berkata: "Wahai Musa! Kami tidak dapat bersabar (sudah jemu)  dengan sejenis makanan saja. Sebab itu, mohonkanlah untuk kami kepada Tuhanmu agar Dia mengeluarkan untuk kami daripada apa yang ditumbuhkan bumi iaitu sayur-sayurannya, mentimunnya, bawang putihnya, kacang adasnya (kacang dal) dan bawang merahnya." Musa berkata: "Mahukah kamu mengambil sesuatu yang baik sebagai pengganti yang lebih baik? Pergilah kamu ke suatu kota, pasti kamu memperolehi apa yang kamu minta." Lalu ditimpakanlah kepada mereka kepapaan dan kehinaan serta mereka mendapat kemurkaan daripada Allah. Hal itu (terjadi) kerana mereka selalu mengingkari ayat-ayat Allah dan membunuh para Nabi tanpa alasan yang benar. Demikian itu (terjadi) kerana mereka selalu berbuat derhaka dan melampaui batas.

D. Pahala Orang Yang Beriman.
62. Sesungguhnya orang mukmin, orang Yahudi, orang Nasrani dan orang Sabi'in,* siapa saja di antara mereka yang benar-benar beriman kepada Allah, ** hari kemudian dan beramal soleh,*** mereka akan menerima pahala daripada Tuhan mereka, tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.
* Orang yang mengikut syariat nabi-nabi zaman dahulu atau orang yang menyembah binatang atau menyembah dewa-dewa
** Orang mukmin, begitu pula orang Yahudi, Nasrani dan Sabi'in yang beriman kepada Allah, termasuk beriman kepada Nabi Muhammad SAW, percaya kepada hari akhirat dan mengerjakan amal soleh, mereka mendapat pahala dari Allah.
*** Perbuatan baik yang diperintahkan Allah.

E. Pembalasan Terhadap Bani Israel Yang Melanggar Perjanjian Dengan Allah Subahanu Wa Taa'la.
63. Dan (ingatlah) ketika Kami mengambil janji (taat setia) dari kamu dan Kami angkatkan Bukit Sinai (Tur Sina) dia atasmu (seraya Kami berfirman): "Peganglah teguh-teguh apa yang Kami berikan kepadamu dan ingatlah selalu apa yang ada di dalamnya agar kamu bertakwa." 

64. Kemudian kamu berpaling setelah (adanya perjanjian) itu, maka kalau tidak ada kurnia Allah dan rahmatNya atasmu, nescaya kamu tergolong orang yang rugi.

65. Dan sesungguhnya telah kamu ketahui orang yang melanggar (larangan) diantaramu pada hari Sabtu,* lalu Kami berfirman kepada mereka: "Jadilah kamu kera** yang hina."
* Hari khusus bagi orang Yahudi untuk beribadat
** Sebahagian ahli tafsir berpendapat, sebutan ini sebagai suatu perumpaan untuk menunjukkan bahawa hati mereka menyerupai hati kera kerana sama-sama tidak menerima nasihat dan peringatan, Sedangkan jumhur mufassir berpendapat bahawa mereka betul-betul berubah menjadi kera, hanya tidak beranak, tidak makan dan minum dan hidup tidak lebih dari tiga hari.

66. Maka Kami jadikan yang demikian itu peringatan bagi orang pada masa itu dan bagi mereka yang datang   kemudian serta menjadi pelajaran bagi otang yang bertakwa.

F. Kisah Penyembelihan Lembu Betina*
* Surah ini dinamai surah Al-Baqarah (lembu betina) kerana mengandungi kisah penyembelihan lembu.
67. Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada kaumnya: "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyembelih seekor lembu betina."* Mereka berkata> "Apakah kamu hendak menjadikan kami bahan ejekan?" Musa menjawab: "Aku berlindung kepada Allah agar tidak menjadi salah seorang daripada orang yang jahil."
* Hikmah Allah menyuruh mereka menyembelih lembu supaya hilang rasa penghormatan mereka kepada lembu yang pernah mereka sembelih.

68. Mereka menjawab: " Mohonlah kepada Tuhanmu untuk kami agar Dia menerangkan kepada kami, lembu betina apakah itu?" Musa menjawab: " Sesungguhnya Allah berfirman bahawa lembu betina itu adalah lembu betina yang tidak tua dan tidak muda, pertengahan antara itu, maka kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu."

69. Mereka berkata; "Mohonlah kepada Tuhanmu untuk kami agar Dia menerangkan kepada kami apa warnanya." Musa menjawab: "Sesungguhnya Allah berfirman bahawa lembu betina itu adalah lembu betina yang kuning tua warnanya lagi menyenangkan orang yang memandangnya."

70. Mereka berkata: "Mohonlah kepada Tuhanmu untuk kami agar Dia menerangkan kepada kami, bagaimana hakikat lembu betina itu, kerana sesungguhnya lembu itu (masih) samar bagi kami dan sesungguhnya kami, insya'Allah, akan mendapat petunjuk (untuk memperolehi lembu itu)."

71. Musa berkata: " Sesungguhnya Allah berfirman bahawa lembu btina itu adalah lembu betina yang belum pernah digunakan untuk membajak tanah dan tidak pula untuk mengairi tanaman, tidak cacat, tidak ada belangnya." Mereka berkata: "Sekarang barulah kamu menerangkan hahikat lembu yang sebenarnya." Kemudian mereka menyembelihnya dan hampir saja mereka tidak melaksanakan perintah itu.*
* Berdasarkan syarat yang disebutkan, lembu itu sukar diperolehi dan hampir saja mereka tidak dapat menemukannya.

72. Dan (ingatlah) ketika kamu membunuh seorang manusia, lalu kamu saling tuduh menuduh tentang itu. Dan Allah hendak menyingkapkan apa yang selama ini kamu sembunyikan.

73. Lalu Kami berfirman: "Pukullah mayat itu dengan sebahagian anggota lembu betina itu!" Demikianlah, Allah menghidupkan kembali orang yang telah mati dan memperlihatkan kepadamu tanda-tanda kekuasaanNya agar kamu mengerti.*
* Menurut jumhur mufassir, ayat ini berhubung dengan peristiwa yang dilakukan oleh salah seorang Bani Israel. Mereka saling tuduh menuduh tentang siapa yang melakukan suatu pembunuhan. Setelah mereka membawa persoalan tersebut kepada Nabi Musa 'Alahissalam, Allah menyuruh mereka untuk menyembelih seekor lembu betina serta memukulkan sebahagian dari tubuh lembu tersebut kepada orang yang terbunuh supaya dapat hidup kembali dan menerangkan siapa yang membunuhnya.

74. Kemudia hatimu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal diantara batu-batu itu, ada yang mengalir sungai-sungai darinya dan di antaranya ada yang terbelah, lalu keluarlah mata air darinya dan diantaranya ada yang meluncur jatuh kerana takut kepada Allah. Dan Allah sekali-kali tidak lalai dari apa yang kamu kerjakan.

G. Keimanan Orang Yahudi Sukar Diharapkan.
75. Apakah kamu masih mengharapkan mereka akan percaya kepadamu, padahal segolongan daripada mereka mendengar firman Allah, lalu mereka mengubahnya setelah mereka memahaminya, sedang mereka mengetahuinya.*
* Nenek moyang mereka menyimpan Taurat, kemudia mereka mengubah-ubah Taurat itu; di antaranya sifat-sifat Nabi Muhammad SAW yang termaktub dalam Taurat.

76. Dan apabila mereka berjumpa dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: " Kami pun telah beriman." Tetapiapabila mereka berada di antara meraka saja, lalu mereka berkata: "Apakah kamu menceritakan kepada mereka (orang mukmin) apa yang telah diterangkan Allah kepadamu, supaya dengan demikian mereka dapat mengalahkan hujahmu di hadapan Tuhanmu; tidakkan kamu mengerti?"*
* Sebahagian Bani Israel yang mengaku beriman kepada Nabi Muhammad SAW pernah bercerita kepada orang Islam bahawa dalam Taurat memang ada disebutkan tentang kedatangan Nabi Muhammad SAW, Maka golongan lain menegur mereka dengan mengatakan : "Mengapa kamu menceritakan hal tersebut kepada orang Islam sehingga hujah mereka bertambah kuat."

77. Tidakkah mereka mengetahui bahawa Allah mengetahui segala apa yang mereka sembunyikan dan segala apa yang mereka nyatakan?

78. Dan di antara mereka ada yang buta huruf, tidak mengetahui al-Kitab (Taurat) kecuali sebagai dongengan    bohong belaka* dan meraka hanya menduga-duga.
* Pada saat itu, kebanyakan orang Yahudi buta huruf dan tidak mengetahui isi Taurat selain dari dongeng-dongeng yang diceritakan oleh pendeta-pendeta mereka. 

79. Maka kecelakaan yang besarlah bagi orang yang menulis al-Kitab dengan tangan mereka sendiri, lalu dikatakannya: "Ini dadipada Allah", (dengan maksud) untuk memperoleh keuntungan yang sedikit daripada perbuatan itu. Maka kecelakaan besarlah bagi mereka akibat daripada apa yang ditulis oleh tangan mereka sendiri dan kecelakaan besarlah akibat daripada apa yang mereka kerjakan.

Jumat, 21 September 2012

Terjemahan Al-Quran - Surah Al-Baqarah Ayat 40-60

PERINGATAN ALLAH SUBHANAHU WA TAA'LA

A. Beberapa Perintah dan Larangan Allah Subhanahu Wa Taa'la Kepada Bani Israel.
40. Wahai Bani Israel,* ingatlah akan nikmatKu yang telah Aku anugerahkan kepadamu dan penuhilah janjimu kepadaKu, ** nescaya aku penuhi janjiKu kepadamu; dan hanya kepadaKulah kamu harus takut (tunduk)
* Israel adalah sebutan bagi Nabi Yaakub 'Alaihissalam. Bani Israel adalah keturunan Nabi Yaakub 'Alaihissalam, sekarang terkenal dengan bangsa Israel.
** Janji Bani Israel kepada Allah ialah bahawa mereka akan menyembah Allah dan tidak menyekutukanNya dengan sesuatupun serta beriman kepada rasul-rasulNya, di antaranya Nabi Muhammad SAW sebagaimana yang disebut di dalam Taurat

41. Dan berimanlah kamu kepada apa yang telah Aku turunkan (al-Quran)yang membenarkan apa yang ada padamu (Taurat) dan janganlah kamu menjadi orang yang pertama kafir kepadanya dan janganlah kamu menukar ayat-ayatKu dengan harga yang rendah dan hanya kepada Akulah kamu harus bertakwa.

42. Dan janganlah kamu mencampuradukkan yang hak dengan yang batil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu* sedangkan kamu mengetahuinya.
* Di antara yang mereka sembunyikan ialah Allah akan mengutus Nabi Muhammad SAW seorang nabi dari keturunan Nabi Ismail 'Alaihissalam yang akan membangunkan umat yang ramai dikemudian hari.

43. Dan dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan rukuklah bersama orang yang rukuk.*
* Solat berjemaah atau menundukkan diri kepada perintah-perintah Allah bersama orang yang tunduk.

44. Mengapa kamu menyuruh orang lain (mengerjakan) kebajikan? Sedangkan kamu melupakan (kewajipan) dirimu sendiri, padahal kamu membaca al-Kitab (Taurat). Maka tidakkah kamu berfikir?

45. Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat kecuali bagi orang yang khusyuk.

46. (Iaitu) orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Tuhannya dan mereka akan kembali kepadaNya.

47. Wahai Bani Israel! Ingatlah akan nikmatKu yang telah Aku anugerahkan kepadamu dan (ingatlah pula) bahawasanya Aku telah melibihkan kamu dari umat yang lain.*
* Nenek moyang Bani Israel yang hidup di zaman Nabi Musa 'Alaihissalam telah diberi rahmat oleh Allah dan dilebihkan daripada umat yang lain.

48.  Dan jagalah dirimu dari (azab) hari (kiamat, yang pada hari itu) seseorang tidak dapat membela orang lain walau sedikitpun dan (begitu pula) tidak diterima syafaat* dan tebusan darinya dan tidaklah mereka akan ditolong.
* Usaha perantaraan dalam memberikan sesuatu manfaat bagi orang lain atau mengelakkan suatu mudarat dari orang lain. Syafaat yang tidak diterima Allah adalah syafaat bagi orang kafir.

B. Huraian Nikmat Allah Subhanahu Wa Taa'la Kepada Bani Israel
49. Dan (ingatlah) ketika Kami selamatkan kamu daripada (Firaun) dan pengikut-pengikutnya, mereka menimpakan kepadamu seksaan yang seberat-beratnya, mereka menyembelik anak-anakmu yang lelaki dan membiarkan anak-anakmu yang perempuan hidup. Dan yang demikian itu, terdapat cubaan-cubaan yang besar daripada Tuhanmu.

50. Dan (ingatlah) ketika kami membelah  laut untukmu, lalu Kami selamatkan kamu dan Kami tenggelamkan  (Firaun) dan pengikut-pengikutnya, sedang kamu sendiri menyaksikannya.*
* Ketika Nabi Musa 'Alaihissalam membawa Bani Israel keluar dari negeri Mesir menuju Palestin, beliau dikejar oleh Firaun. Waktu mereka melalui bahagian utara Laut Merah, Allah memerintahkan Nabi Musa 'Alaihissalam memukul laut tersebut dengan tongkatnya sehingga terbelahlah laut dan terbentanglah jalan di tengah-tengahnya. Nabi Musa 'Alaihissalam melalui jalan tersebut sehingga selamatlah dia bersama kaumnya ke seberang laut. Firaun dan pengikut-pengikutnya melalui jalan tersebut juga. Namun ketika mereka berada di tengah-tengah laut, kembalilah laut itu sebagaimana biasa sehingga tenggelamlah mereka. 

51. Dan (ingatlah) ketika Kami berjanji kepada Musa (memberi Taurat sesudah) empat puluh malam, lalu kamu menjadikan anak lembu* (sebagai sembahanmu) sepeninggalannya dan kamu adalah orang yang zalim.
* Mereka membuat patung anak lembu daripada emas untuk disembah.

52. Kemudia sesudah itu, Kami maafkan kesalahanmu agar kamu bersyukur.

53. Dan (ingatlah) ketika Kami berikan kepada Musa al-Kitab (Taurat) dan keterangan yang membezakan antara yang benar dan yang salah agar kamu mendapat petunjuk.

54. Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada kaumnya: " Wahai kaumku, sesungguhnya kamu telah menjadikan anak lembu (sebagai sembahanmu), maka bertaubatlah kepada Tuhan yang menjadikan kamu dan bunuhlah dirimu.* Hal itu adalah lebih baik bagimu di sisi Tuhan yang menjadikan kamu, maka Allah akan menerima taubatmu. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.
* Orang yang tidak menyembah patung anak lembu itu membunuh orang yang menyembahnya. Ada pula yang menyatakan atau mentafsirkan, mereka yang menyembah patung anak lembu saling berbunuhan; dan ada pula yang menyatakan atau mentafsirkan, mereka disuruh membunuh diri masing-masing untuk bertaubat.

55. Dan (ingatlah) ketika kamu berkata : " Wahai Musa, kami tidak akan beriman kepadamu sebelum kami melihat Allah dengan terang"* kerana itu kamu disambar halilintar,** sedang kamu menyaksikannya.
* Melihat Allah dengan mata kepala.
** Permintaan seperti ini menunjukkan keingkaran dan ketakburan mereka sehingga mereka disambar halilintar sebagai azab dari Allah. 

56. Setelah itu, Kami bangkitkan kamu sesudah kamu mati* supaya kamu bersyukur.
* Menurut sebahagiaan mufassir ialah mati yang sebenarnya dan menurut sebahagian yang lain ialah pengsan akibat sambaran halilintar. 

57. Dan Kami payungi kamu dengan awan* dan Kami turunkan kepadamu mann** dan salwa***. Makanlah dari makanan yang baik-baik yang telah Kami berikan kepadamu. Dan tidaklah mereka menganiaya Kami, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.
* Salah satu nikmat Allah kepada mereka ialah mereka selalu dipayungi awan ketika mereka berjalan di panas terik padang pasir.
** Mann ialah makanan manis seperti madu.
*** Salwa ialah sejenis burung puyuh

58. Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman: " Masuklah kamu ke negeri ini (Baitul-Muqaddis) dan makanlah daripada hasil buminya yang banyak lagi sedap yang kamu sukai dan masukilah pintu gerbangnya sambil bersujud* dan katakanlah: "Bebaskanlah kami daripada dosa", nescaya Kami ampunkan kesalahan-kesalahanmu. Dan kelak Kami akan menambah (pemberian Kami) kepada orang yang berbuat baik."
* Menurut sebahagian ahli tafsir bererti menundukkan diri.

59. Lalu orang yang zalim menggantikan perintah dengan (mengerjakan) yang tidak diperintahkan kepada mereka. Sebab itu, Kami timpakan ke atas orang yang zalim itu seksa dari langit kerana mereka berbuat fasik.

60. Dan (ingatlah) ketika Musa memohon air untuk kaumnya, lalu Kami berfirman: "Pukullah batu itu dengan tongkatmu!" Lalu terpancarlah darinya dua belas* mata air. Tiap-tiap suku atau puak telah mengetahui tempat minumannya (masing-masing). Makan dan minumlah rezeki (yang diberikan) Allah dan janganlah kamu berkeliarandi muka bumi dengan berbuat kerosakan.
* Sebanyak puak Bani Israel sebagaimana tersebut dalam surah al-Araf, ayat 160.

Kamis, 20 September 2012

Terjemahan Al-Quran - Surah Al-Baqarah Ayat 21-39

KEESAAN DAN KEKUASAAN ALLAH SUBHANAHU WA TA'ALA

A. Perintah Menyembah Allah Subhanahu Wa Taa'la Yang Maha Esa
21. Wahai manusia, sembahlah Tuhanmu yang telah menciptakanmu dan orang yang sebelummu agar kamu bertakwa.

22. Dialah yang menjadikan bumi sebagai hamparan bagimu langit sebagai atap dan Dia menurunkan air (hujan) dari langit dan Dia menghasilkan dengan hujan itu segala buah-buahan sebagai rezeki untukmu, kerana itu janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu* bagi Allah, padahal kamu mengetahui.
* Segala sesuatu yang disembah di samping menyembah Allah seperti berhala-berhala, dewa-dewa dan sebagainya.

B. Cabaran Allah Subhanahu Wa Taa'la Kepada Kaum Musyrikin Mengenai Al-Quran
23. Dan jika kamu (tetap) dalam keraguan tentang al-Quran yang Kami wahyukan kepada hamba Kami (Muhammad), buatlah* satu surah (sahaja) yang seumpama al-Quran itu dan ajaklah penolong-penolongmu selain Allah, jika kamu orang yang benar.
* Ayat ini merupakan cabaran bagi orang yang meragui kebenaran al-Quran. Sesungguhnya al-Quran ini tidak dapat ditiru walaupun dengan mengerahkan semua ahli sastera dan bahasa kerana ia merupakan kalam Illahi dan mukjizat Nabi Muhammad SAW.

24. Maka jika kamu tidak dapat membuat(nya) dan pasti kamu tidak akan dapat membuat(nya), peliharalah dirimu dari neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu yang disediakan untuk orang kafir.

C. Ganjaran Bagi Orang Yang Beriman
25. Dan sampaikanlah berita gembira kepada mereka yang beriman dan berbuat baiklah, maka bagi mereka disediakan syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai dibawahnya. Setiap daripada mereka diberi rezeki buah-buahan dalam syurga-syurga itu, mereka mengatakan: "Inilah yang pernah diberikan kepada kami dahulu." Mereka diberi buah-buahan yangs erupa dan untuk mereka didalamnya ada isteri-isteri yang suci dan mereka kekal di dalamnya.*
* Kenikmatan di syurga adalah kenikmatan yang serba lengkap, baik jasmani mahupun rohani.

D. Perumpamaan-perumpamaan Dalam Al-Quran dan Hikmah-hikmahnya.
26. Sesungguhnya Allah tiada segan atau malu membuat perumpamaan berupa nyamuk atau yang lebih rendah daripada itu.* Adapun orang yang beriman, maka mereka yakin bahawa perumpamaan itu benar dari Tuhan mereka tetapi bagi mereka yang kafir mengatakan: "Apakah maksud Allah menjadikan ini untuk perumpamaan?" Dengan perumpamaan itu, ramai orang yang disesatkan Allah** dan denagn perumpamaan itu (pula) ramai orang yang diberiNya petunjuk. Dan tidak ada yang disesatkan Allah kecuali orang yang fasik.
* Saat Surah Al-Haj ayat 73 diturunkan, Allah menerangkan bahawa berhala-berhala yang mereka sembah tidak dapat membuat lalat sekalipun mereka lakukan bersama-sama. Dalam Surah Al-Ankabut ayat 41, Allah menggambarkan bahawa berhala-berhala yang dijadikan sebagai pelindung oleh orang musyrik adalah selemah sarang labah-labah.
** Orang yang ingkar tidak mampu memahami petunjuk-petunjuk Allah. Dalam ayat ini, mereka menjadi sesat kerana mereka ingkar dan tidak mahu memahami apa sebabnya Allah menjadikan nyamuk sebagai perumpamaan.

27. (Iaitu) orang yang melanggar perjanjian (dengan) Allah sesusah perjanjian itu teguh dan memutuskan apa yang diperintahkan Allah (kepada mereka) untuk menghubungkannya dan membuat kerosakan di muka bumi. Mereka itulah orang yang rugi.

E. Bukti-bukti Kekuasaan Allah Subhanahu Wa Taa'la.
28. Mengapa kamu kafir kepada Allah? Padahal kamu sebelum ini mati, lalu Allah menghidupkan kamu, kemudian kamu dimatikan dan dihidupkanNya kembali, kemudian kepadaNYalah kamu dikembalikan.

29. Dialah Allah yang menjadikan segala yang ada di bumi untuk kamu dan Dia berkehendak menuju langit, lalu dijadikanNya tujuh langit. Dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu.

F. Penciptaan Manusia dan Penguasaannya di Bumi.
30. Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para mallaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan Khalifah di muka bumi." Mereka berkata: " Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan menyucikan Engkau?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui."

31. Dan Dia mengajarkan kepada Adam nama-nama (benda-benda) seluruhnya, kemudian mengemukakan kepada para malaikat, lalu berfirman: " Sebutkanlah kepadaKu nama benda-benda itu jika kamu memang orang yang benar!"

32. Mereka menjawab: "Maha Suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain dari apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami, sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana."*
* Hakim ialah yang mempuyai hikmah. Hikmah ialah penciptaan dan penggunaan sesuatu sesuai dengan sifat dan faedahnya. Di sini diertikan sebagai 'Maha Bijaksana' kerana dianggap paling mendekati erti hakim.

33. Allah berfirman: "Wahai Adam, beritahukanlah kepada mereka nama benda-benda ini!" Maka setelah diberitahu kepada mereka nama benda-benda itu, Allah berfirman: " Bukankan sudah Aku katakan kepadamu bahawa sesungguhnya Aku mengetahui rahsia langit dan bumi dan mengetahui apa yang kamu zahirkan dan apa yang kamu sembunyikan?"

34. Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat:"Sujudlah* kepada kamu Adam!" Maka sujudlah mereka kecuali Iblis, dia enggan dan takbur dan dia termasuk golongan yang kafir.
* Menghormati dan memuliakan Nabi Adam 'Alaihissalam bukan bererti sujud menghambakan diri. Sujud menghambakan diri adalah kepada Allah.

35. Dan kami berfirman: " Hai Adam, tinggallah kamu dan isterimu di syurga ini dan makanlah makanannya yang banyak lagi baik di mana sahaja yang kamu sukai dan janganlah kamu mendekati pohon ini* yang menyebabkan kamu termasuk orang yang zalim"
* Pohon yang tidak dapat dipastikan namanya. Sebab al-Quran dan al-Hadith tidak menerangkannya. Ada yang menamakan sebatang pohon Khuldi sebagaimana tersebut dalam surah Taha ayat 120. Tetapi itu adalah nama yang diberikan syaitan.

36. Lalu keduanya tergelincir (diperdayakan) oleh syaitan dari syurga itu* dan dikeluarkan dari keadaan asal** dan Kami berfirman: " Turunlah kamu! Sebahagian kamu menjadi musuh bagi yang lain dan bagi kamu ada tempat kediaman di bumi dan kesenangan hidup sampai waktu yang ditentukan."
* Dengan tipu daya syaitan, Nabi Adam dan Hawa telah makan buah dari pohon yang dilarang yang mengakibatkan mereka dikeluarkan dari syurga dan Allah menyuruh mereka turun ke dunia. Syaitan di sini ialah Iblis yang disebut dalam surah al-Baqarah ayat 34.
** Kenikmatan, kemewahan dan kemuliaan hidup di dalam syurga.

37. Kemudian Adam menerima beberapa kalimah* dari Tuhannya, maka Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.
* Kata-kata untuk bertaubat.

38. Kami berfirman: " Turunlah kamu semua dari syurga itu! Kemudian jika datang petunjukKu kepadamu, maka barangsiapa yang mengikut petunjukKu, nescaya tidak ada kekhuatiran atas mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati."

39. Adapun orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami, mereka itu penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya. 


Terjemahan Al-Quran - Surah Al-Baqarah Ayat 1-20

SURAH AL-BAQARAH
(Lembu Betina)
Surah Kedua
Terdiri daripada 286 Ayat (Madaniyyah)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

1. Alif Lam Miim.*
* Beberapa surah Al-Quran dimulakan dengan huruf abjad seperti Alif Lam Miim, Alif Lam Ra' dan sebagainya. Makna huruf-huruf itu hanya Allah yang Maha Mengetahui. Ada yang berpendapat menyatakan bahawa huruf-huruf itu adalah nama surah dan ada yang berpendapat bahawa menggunakannya untuk menarik perhatian atau untuk mengistiharkan  bahawa Al-Quran itu diturunkan dalam bahasa Arab yang tersusun  dari huruf-huruf tersebut.

2. Kita (Al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya, petunjuk bagi mereka yang bertakwa.*
*Takwa iaitu mengikuti segala perintah Allah dan menjauhi segala laranganNya.

A. Golongan Yang Bertakwa
3. (Iaitu) Mereka yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, melaksanakan  solat, dan membelanjakan* sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka.
* Pengertian menginfakkan harta di jalan Allah meliputi perbelanjaan untuk kepentingan jihad, pembangunan pendidikan, rumah-rumah sakit, usaha penyelidikan Ilmiah dan lain-lain.

4. Dan mereka yang beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepadamu (Muhammad) dan (kitab-kitab) yang telah diturunkan sebelum engkau* dan mereka yakin akan adanya hari akhirat.
* Yang diturunkan kepada nabi-nabi sebelum Nabi Muhammad SAW iaitu Taurat, Zabur, Injil dan suhuf-suhuf (lembaran-lembaran) yang tidak seperti kitab.

5. Merekalah yang mendapat petunjuk dari Tuhannya dan mereka itulah orang yang beruntung.

B. GOLONGAN KAFIR.
6. Sesungguhnya orang kafir sama sahaja bagi mereka, kamu beri peringatan atau tidak kamu beri peringatan, mereka tidak akan  beriman.

7. Allah telah mengunci mata hati dan pendengaran mereka,* dan penglihatan mereka ditutup.** Dan bagi mereka seksa yang amat berat.
* Orang yang tidak menerima petunjuk, segala nasihat pun tidak akan berkesan kepadanya.
** Mereka tidak dapat memperhatikan dan memahami ayat-ayat al-Quran dan tidak dapat mengambil pelajaran dari tanda-tanda kebesaran Allah di langit, di bumi dan pada diri mereka sendiri.

C. GOLONGAN MUNAFIK
8. Di antara manusia ada yang mengatakan: " Kami beriman kepada Allah dan hari kemudian,* padahal mereka itu sesungguhnya bukan orang yang beriman.
* Mulai dari waktu makhluk dikumpulkan di Padang Mahsyar sampai waktu yang tidak ada batasnya.

9. Mereka hendak menipu Allah dan orang yang beriman, padahal mereka hanya menipu dirinya sendiri sedang mereka tidak sedar.

10. Dalam hati mereka ada penyakit,* lalu ditambah oleh Allah penyakitnya dan bagi mereka seksa yang pedih disebabkan mereka berdusta.
* Keyakinan mereka lemah terhadap kebenaran Nabi Muhammad SAW. Lemahnya keyakinan itu menimbulkan kedengkian, iri hati dan dendam kepada Nabi Muhammad SAW, agama dan orang Islam.

11. Dan bila dikatakan kepada mereka: Janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi."* Mereka menjawab: "Sesungguhnya kami orang yang membuat kebaikan."
* Menghasut orang kafir untuk memusuhi dan menentang orang Islam

12. Ingatlah, sesungguhnya mereka itu orang yang membuat kerosakan tetapi mereka tidak sedar.

13. Apabila dikatakan kepada mereka: "Berimanlah kamu sebagaimana orang lain telah beriman." Mereka menjawab: "Akan berimankah kami sebagaimana orang yang bodoh itu telah beriman?" Ingatlah, sesungguhnya merekalah orang yang bodoh tetapi mereka tidak tahu.

14. Dan apabila mereka berjumpa dengan orang yang beriman, mereka mengatakan: "Kami telah beriman." Dan apabila mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka,* mereka mengatakan: "Sesungguhnya kami bersama kamu, kami hanya berolok-olok."
* Pemimpin-pemimpin mereka

15. Allah akan (membalas) olok-olokan mereka dan membiarkan mereka terumbang-ambing dalam kesesatan mereka.

16. Mereka ini adalah orang yang membeli kesesatan dengan petunjuk, maka tidak beruntung perniagaan mereka dan tidaklah mereka mendapat petunjuk.

17. Perumpamaan mereka adalah seperti orang yang menyalakan api, maka setelah api itu menerangi sekelilingnya, Allah menghilangkan cahaya (yang menyinari) mereka dan membiarkan mereka dalam kegelapan, mereka tidak dapat melihat.*
* Orang munafik tidak dapat mengambil manfaat dan petunjuk-petunjuk yang datang dari Allah kerana sifat-sifat kemunafikan yang bersemi dalam dada mereka. Keadaan mereka digambarkan Allah seperti dalam ayat  16 dan 17.

18. Mereka ini tuli, bisu dan buta,* maka tidaklah mereka akan kembali ( ke jalan yang benar)
* Walaupun pancaindera mereka sihat, mereka dipandang tuli (pekak), bisu dan buta oleh kerana tidak dapat menerima kebenaran.

19. Atau seperti (orang yang ditimpa) hujan lebat dari langit disertai gelap gelita, guruh dan kilat, mereka menyumbat telinganya dengan anak jarinya kerana (mendengar bunyi) petir,* sebab mereka takut mati. Dan Allah meliputi orang yang kafir.**
* Orang munafik ketika mendengar ayat-ayat yang mengandungi peringatan, digambarkan seperti orang yang ditimpa hujan lebat dan petir. Mereka menyumbat telinganya kerana tidak sanggup mendengar peringatan-peringatan dari al-Quran.
** Orang kafir berada di dalam pengetahuan dan kekuasaan Allah.

20. Hampir-hampir kilat itu menyambar penglihatan mereka. Setiap kali kilat itu menyinari mereka, mereka berjalan di bawah sinar itu dan bila gelap menimpa mereka, mereka berhenti. Jika Allah menghendaki, nescaya Dia melenyapkan pendengaran dan penglihatan mereka. Sesungguhnya Allah berkuasa atas segala sesuatu.