Kamis, 20 September 2012

Terjemahan Al-Quran - Surah Al-Baqarah Ayat 1-20

SURAH AL-BAQARAH
(Lembu Betina)
Surah Kedua
Terdiri daripada 286 Ayat (Madaniyyah)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

1. Alif Lam Miim.*
* Beberapa surah Al-Quran dimulakan dengan huruf abjad seperti Alif Lam Miim, Alif Lam Ra' dan sebagainya. Makna huruf-huruf itu hanya Allah yang Maha Mengetahui. Ada yang berpendapat menyatakan bahawa huruf-huruf itu adalah nama surah dan ada yang berpendapat bahawa menggunakannya untuk menarik perhatian atau untuk mengistiharkan  bahawa Al-Quran itu diturunkan dalam bahasa Arab yang tersusun  dari huruf-huruf tersebut.

2. Kita (Al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya, petunjuk bagi mereka yang bertakwa.*
*Takwa iaitu mengikuti segala perintah Allah dan menjauhi segala laranganNya.

A. Golongan Yang Bertakwa
3. (Iaitu) Mereka yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, melaksanakan  solat, dan membelanjakan* sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka.
* Pengertian menginfakkan harta di jalan Allah meliputi perbelanjaan untuk kepentingan jihad, pembangunan pendidikan, rumah-rumah sakit, usaha penyelidikan Ilmiah dan lain-lain.

4. Dan mereka yang beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepadamu (Muhammad) dan (kitab-kitab) yang telah diturunkan sebelum engkau* dan mereka yakin akan adanya hari akhirat.
* Yang diturunkan kepada nabi-nabi sebelum Nabi Muhammad SAW iaitu Taurat, Zabur, Injil dan suhuf-suhuf (lembaran-lembaran) yang tidak seperti kitab.

5. Merekalah yang mendapat petunjuk dari Tuhannya dan mereka itulah orang yang beruntung.

B. GOLONGAN KAFIR.
6. Sesungguhnya orang kafir sama sahaja bagi mereka, kamu beri peringatan atau tidak kamu beri peringatan, mereka tidak akan  beriman.

7. Allah telah mengunci mata hati dan pendengaran mereka,* dan penglihatan mereka ditutup.** Dan bagi mereka seksa yang amat berat.
* Orang yang tidak menerima petunjuk, segala nasihat pun tidak akan berkesan kepadanya.
** Mereka tidak dapat memperhatikan dan memahami ayat-ayat al-Quran dan tidak dapat mengambil pelajaran dari tanda-tanda kebesaran Allah di langit, di bumi dan pada diri mereka sendiri.

C. GOLONGAN MUNAFIK
8. Di antara manusia ada yang mengatakan: " Kami beriman kepada Allah dan hari kemudian,* padahal mereka itu sesungguhnya bukan orang yang beriman.
* Mulai dari waktu makhluk dikumpulkan di Padang Mahsyar sampai waktu yang tidak ada batasnya.

9. Mereka hendak menipu Allah dan orang yang beriman, padahal mereka hanya menipu dirinya sendiri sedang mereka tidak sedar.

10. Dalam hati mereka ada penyakit,* lalu ditambah oleh Allah penyakitnya dan bagi mereka seksa yang pedih disebabkan mereka berdusta.
* Keyakinan mereka lemah terhadap kebenaran Nabi Muhammad SAW. Lemahnya keyakinan itu menimbulkan kedengkian, iri hati dan dendam kepada Nabi Muhammad SAW, agama dan orang Islam.

11. Dan bila dikatakan kepada mereka: Janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi."* Mereka menjawab: "Sesungguhnya kami orang yang membuat kebaikan."
* Menghasut orang kafir untuk memusuhi dan menentang orang Islam

12. Ingatlah, sesungguhnya mereka itu orang yang membuat kerosakan tetapi mereka tidak sedar.

13. Apabila dikatakan kepada mereka: "Berimanlah kamu sebagaimana orang lain telah beriman." Mereka menjawab: "Akan berimankah kami sebagaimana orang yang bodoh itu telah beriman?" Ingatlah, sesungguhnya merekalah orang yang bodoh tetapi mereka tidak tahu.

14. Dan apabila mereka berjumpa dengan orang yang beriman, mereka mengatakan: "Kami telah beriman." Dan apabila mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka,* mereka mengatakan: "Sesungguhnya kami bersama kamu, kami hanya berolok-olok."
* Pemimpin-pemimpin mereka

15. Allah akan (membalas) olok-olokan mereka dan membiarkan mereka terumbang-ambing dalam kesesatan mereka.

16. Mereka ini adalah orang yang membeli kesesatan dengan petunjuk, maka tidak beruntung perniagaan mereka dan tidaklah mereka mendapat petunjuk.

17. Perumpamaan mereka adalah seperti orang yang menyalakan api, maka setelah api itu menerangi sekelilingnya, Allah menghilangkan cahaya (yang menyinari) mereka dan membiarkan mereka dalam kegelapan, mereka tidak dapat melihat.*
* Orang munafik tidak dapat mengambil manfaat dan petunjuk-petunjuk yang datang dari Allah kerana sifat-sifat kemunafikan yang bersemi dalam dada mereka. Keadaan mereka digambarkan Allah seperti dalam ayat  16 dan 17.

18. Mereka ini tuli, bisu dan buta,* maka tidaklah mereka akan kembali ( ke jalan yang benar)
* Walaupun pancaindera mereka sihat, mereka dipandang tuli (pekak), bisu dan buta oleh kerana tidak dapat menerima kebenaran.

19. Atau seperti (orang yang ditimpa) hujan lebat dari langit disertai gelap gelita, guruh dan kilat, mereka menyumbat telinganya dengan anak jarinya kerana (mendengar bunyi) petir,* sebab mereka takut mati. Dan Allah meliputi orang yang kafir.**
* Orang munafik ketika mendengar ayat-ayat yang mengandungi peringatan, digambarkan seperti orang yang ditimpa hujan lebat dan petir. Mereka menyumbat telinganya kerana tidak sanggup mendengar peringatan-peringatan dari al-Quran.
** Orang kafir berada di dalam pengetahuan dan kekuasaan Allah.

20. Hampir-hampir kilat itu menyambar penglihatan mereka. Setiap kali kilat itu menyinari mereka, mereka berjalan di bawah sinar itu dan bila gelap menimpa mereka, mereka berhenti. Jika Allah menghendaki, nescaya Dia melenyapkan pendengaran dan penglihatan mereka. Sesungguhnya Allah berkuasa atas segala sesuatu.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar