Tampilkan postingan dengan label Peringatan Allah. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Peringatan Allah. Tampilkan semua postingan

Senin, 31 Desember 2012

Terjemahan Al-Quran ~ Surah Al- Muddaththir

SURAH AL-MUDDATHTHIR
Orang Yang Berselimut
Surah Ke 74
Terdiri daripada 56 ayat (Makkiyyah)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

1. Wahai orang yang berselimut!

2. Bangunlah, lalu berilah peringatan!

3. Dan agungkanlah Tuhanmu.

4. Dan bersihkanlah pakaianmu.

5. Dan tinggalkanlah segala (perbuatan) yang keji.

6. Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) memberi sesuatu (dengan maksud) memperoleh (balasan) yang banyak.

7. Dan kerana Tuhanmu, bersabarlah.

8. Maka apabila sangkakala ditiup,

9. Maka itulah hari yang serba sulit,

10. Bagi orang kafir, lagi tidak mudah.

11. Biarlah Aku (yang bertindak) terhadap orang yang Aku sendiri telah menciptakannya,*
* Ayat ini dan beberapa ayat berikutnya diturunkan mengenai orang kafir Mekah, pemimpin Quraisy bernama al-Walid bin al-Mughirah.

12. Dan Aku berikan baginya kekayaan yang melimpah,

13. Dan anak-anak yang selalu bersamanya,

14. Dan Aku berikan baginya kelapangan (hidup) seluas-luasnya.

15. Kemudian dia ingin sekali agar Aku menambahnya.

16. Tidak boleh! Sesungguhnya dia telah menentang ayat-ayat Kami (al-Quran).

17. Aku akan membebaninya dengan pendakian yang amat menyusahkan.

18. Sesungguhnya dia telah memikirkan dan menetapkan (merekka-reka pelbagai tuduhan terhadap al-Quran).

19. Maka celakalah dia! Bagaimana dia berani mereka-reka (yang demikian)?

20. Sekali lagi, celakalah dia! Bagaimana mereka berani mereka-reka?

21. Kemudia dia (merenung) memikirkan,

22. Lalu berwajah masam dan berkerut,

23. Kemudian berpaling (daripada kebenaran) dan menyombongkan diri.

24. Lalu dia berkata :" (Al-Quran) ini hanyalah sihir yang dipelajari (daripada yang dahulu)..

25. Ini hanyalah perkataan manusia."

26. Kelak, Aku akan memasukkannya ke dalam (neraka) Saqar.

27. Dan tahukah kamu apa (neraka) Saqar itu?

28. Ia (Saqar itu) tidak meninggalkan dan tidak membiarkan,*
* Apa yang dilemparkan ke dalam neraka itu diazabnya sampai binasa kemudian dikembalikannya sebagaimana asalnya untuk diazab kembali.

29. Yang menghanguskan dan membakar kulit manusia.

30. Di neraka itu ada sembilan belas (malaikat penjaga).

31. Dan yang Kami jadikan penjaga neraka itu hanya daripada kalangan malaikat; dan Kami menentukan bilangan mereka itu hanya sebagai cubaan bagi orang kafir, agar orang yang diberi kitab menjadi yakin, agar orang yang beriman bertambah imannya, agar orang yang diberikan kitab dan orang mukmin tidak ragu-ragu; dan agar orang yang di dalam hatinya ada penyakit dan orang kafir (berkata): " Apakah yang dikehendaki Allah dengan (bilangan) ini suatu perumpamaan?" Demikianlah Allah menyesatkan orang yang Dia kehendaki. Dan tidak ada yang mengetahui bala tentera Tuhanmu kecuali Dia sendiri. Dan Saqar itu tidak lain hanyalah peringatan bagi manusia.

32. Tidak!* Demi bulan,
* "Tidak" adalah bantahan terhadap ucapan-ucapan orang musyrik yang mengingkari hal-hal tersebut di atas.

33. Dan demi malam ketika telah berlalu,

34. Dan demi Subuh apabila mulai terang,

35. Sesungguhnya (Saqar itu) adaah salah satu (bencana) yang sangat besar,

36. Sebagai peringatan bagi manusia,

37. (Iaitu) bagi siapa di antara kamu yang ingin maju atau mundur*
* Maju di sini ialah maju menerima peringatan dan mundur di sini ialah tidak mahu menerima peringatan.

38. Setiap orang bertanggungjawab atas apa yang telah dilakukannya,

39. Kecuali golongan kanan,

40. Berada di dalam syurga, mereka saling menanyakan,

41. Tentang (keadaan) orang yang berdosa,

42. "Apa yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?"

43. Mereka menjawab : "Dahulu kami tidak termasuk orang yang melaksanakan solat,"

44. Dan kami (juga) tidak memberi makan orang miskin,

45. Bahkan kami biasa berbincang (untuk tujuan yang batil), bersama orang yang membicarakannya,

46. Dan kami mendustakan hari pembalasan,

47. Sampai datang kepada kami kematian."

48. Maka tidak berguna lagi bagi mereka syafaat (pertolongan) daripada orang yang memberikan syafaat.

49. Lalu mengapa mereka (orang kafir) berpaling daripada peringatan (Allah)?

50. Seakan-akan mereka sekawan keldai liar yang lari terkejut,

51. Lari daripada singa.

52. Bahkan setiap orang daripada mereka ingin agar diberikan kepadanya lembaran-lembaran (kitab) yang terbuka.

53. Tidak! Sebenarnya mereka tidak takut kepada akhirat.

54. Tidak! Sesungguhnya (al-Quran) itu benar-benar sesuatu peringatan.

55. Maka barang siapa mengkehendaki, tentu dia mengambil pengajaran daripadanya.

56. Dan mereka tidak akan mengambil pengajaran daripadanya (al-Quran) kecuali (jika) Allah mengkehendakinya. Dialah Tuhan yang patut (kita) bertakwa kepadaNya yang berhak memberi keampunan.

Jumat, 21 September 2012

Terjemahan Al-Quran - Surah Al-Baqarah Ayat 40-60

PERINGATAN ALLAH SUBHANAHU WA TAA'LA

A. Beberapa Perintah dan Larangan Allah Subhanahu Wa Taa'la Kepada Bani Israel.
40. Wahai Bani Israel,* ingatlah akan nikmatKu yang telah Aku anugerahkan kepadamu dan penuhilah janjimu kepadaKu, ** nescaya aku penuhi janjiKu kepadamu; dan hanya kepadaKulah kamu harus takut (tunduk)
* Israel adalah sebutan bagi Nabi Yaakub 'Alaihissalam. Bani Israel adalah keturunan Nabi Yaakub 'Alaihissalam, sekarang terkenal dengan bangsa Israel.
** Janji Bani Israel kepada Allah ialah bahawa mereka akan menyembah Allah dan tidak menyekutukanNya dengan sesuatupun serta beriman kepada rasul-rasulNya, di antaranya Nabi Muhammad SAW sebagaimana yang disebut di dalam Taurat

41. Dan berimanlah kamu kepada apa yang telah Aku turunkan (al-Quran)yang membenarkan apa yang ada padamu (Taurat) dan janganlah kamu menjadi orang yang pertama kafir kepadanya dan janganlah kamu menukar ayat-ayatKu dengan harga yang rendah dan hanya kepada Akulah kamu harus bertakwa.

42. Dan janganlah kamu mencampuradukkan yang hak dengan yang batil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu* sedangkan kamu mengetahuinya.
* Di antara yang mereka sembunyikan ialah Allah akan mengutus Nabi Muhammad SAW seorang nabi dari keturunan Nabi Ismail 'Alaihissalam yang akan membangunkan umat yang ramai dikemudian hari.

43. Dan dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan rukuklah bersama orang yang rukuk.*
* Solat berjemaah atau menundukkan diri kepada perintah-perintah Allah bersama orang yang tunduk.

44. Mengapa kamu menyuruh orang lain (mengerjakan) kebajikan? Sedangkan kamu melupakan (kewajipan) dirimu sendiri, padahal kamu membaca al-Kitab (Taurat). Maka tidakkah kamu berfikir?

45. Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat kecuali bagi orang yang khusyuk.

46. (Iaitu) orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Tuhannya dan mereka akan kembali kepadaNya.

47. Wahai Bani Israel! Ingatlah akan nikmatKu yang telah Aku anugerahkan kepadamu dan (ingatlah pula) bahawasanya Aku telah melibihkan kamu dari umat yang lain.*
* Nenek moyang Bani Israel yang hidup di zaman Nabi Musa 'Alaihissalam telah diberi rahmat oleh Allah dan dilebihkan daripada umat yang lain.

48.  Dan jagalah dirimu dari (azab) hari (kiamat, yang pada hari itu) seseorang tidak dapat membela orang lain walau sedikitpun dan (begitu pula) tidak diterima syafaat* dan tebusan darinya dan tidaklah mereka akan ditolong.
* Usaha perantaraan dalam memberikan sesuatu manfaat bagi orang lain atau mengelakkan suatu mudarat dari orang lain. Syafaat yang tidak diterima Allah adalah syafaat bagi orang kafir.

B. Huraian Nikmat Allah Subhanahu Wa Taa'la Kepada Bani Israel
49. Dan (ingatlah) ketika Kami selamatkan kamu daripada (Firaun) dan pengikut-pengikutnya, mereka menimpakan kepadamu seksaan yang seberat-beratnya, mereka menyembelik anak-anakmu yang lelaki dan membiarkan anak-anakmu yang perempuan hidup. Dan yang demikian itu, terdapat cubaan-cubaan yang besar daripada Tuhanmu.

50. Dan (ingatlah) ketika kami membelah  laut untukmu, lalu Kami selamatkan kamu dan Kami tenggelamkan  (Firaun) dan pengikut-pengikutnya, sedang kamu sendiri menyaksikannya.*
* Ketika Nabi Musa 'Alaihissalam membawa Bani Israel keluar dari negeri Mesir menuju Palestin, beliau dikejar oleh Firaun. Waktu mereka melalui bahagian utara Laut Merah, Allah memerintahkan Nabi Musa 'Alaihissalam memukul laut tersebut dengan tongkatnya sehingga terbelahlah laut dan terbentanglah jalan di tengah-tengahnya. Nabi Musa 'Alaihissalam melalui jalan tersebut sehingga selamatlah dia bersama kaumnya ke seberang laut. Firaun dan pengikut-pengikutnya melalui jalan tersebut juga. Namun ketika mereka berada di tengah-tengah laut, kembalilah laut itu sebagaimana biasa sehingga tenggelamlah mereka. 

51. Dan (ingatlah) ketika Kami berjanji kepada Musa (memberi Taurat sesudah) empat puluh malam, lalu kamu menjadikan anak lembu* (sebagai sembahanmu) sepeninggalannya dan kamu adalah orang yang zalim.
* Mereka membuat patung anak lembu daripada emas untuk disembah.

52. Kemudia sesudah itu, Kami maafkan kesalahanmu agar kamu bersyukur.

53. Dan (ingatlah) ketika Kami berikan kepada Musa al-Kitab (Taurat) dan keterangan yang membezakan antara yang benar dan yang salah agar kamu mendapat petunjuk.

54. Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada kaumnya: " Wahai kaumku, sesungguhnya kamu telah menjadikan anak lembu (sebagai sembahanmu), maka bertaubatlah kepada Tuhan yang menjadikan kamu dan bunuhlah dirimu.* Hal itu adalah lebih baik bagimu di sisi Tuhan yang menjadikan kamu, maka Allah akan menerima taubatmu. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.
* Orang yang tidak menyembah patung anak lembu itu membunuh orang yang menyembahnya. Ada pula yang menyatakan atau mentafsirkan, mereka yang menyembah patung anak lembu saling berbunuhan; dan ada pula yang menyatakan atau mentafsirkan, mereka disuruh membunuh diri masing-masing untuk bertaubat.

55. Dan (ingatlah) ketika kamu berkata : " Wahai Musa, kami tidak akan beriman kepadamu sebelum kami melihat Allah dengan terang"* kerana itu kamu disambar halilintar,** sedang kamu menyaksikannya.
* Melihat Allah dengan mata kepala.
** Permintaan seperti ini menunjukkan keingkaran dan ketakburan mereka sehingga mereka disambar halilintar sebagai azab dari Allah. 

56. Setelah itu, Kami bangkitkan kamu sesudah kamu mati* supaya kamu bersyukur.
* Menurut sebahagiaan mufassir ialah mati yang sebenarnya dan menurut sebahagian yang lain ialah pengsan akibat sambaran halilintar. 

57. Dan Kami payungi kamu dengan awan* dan Kami turunkan kepadamu mann** dan salwa***. Makanlah dari makanan yang baik-baik yang telah Kami berikan kepadamu. Dan tidaklah mereka menganiaya Kami, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.
* Salah satu nikmat Allah kepada mereka ialah mereka selalu dipayungi awan ketika mereka berjalan di panas terik padang pasir.
** Mann ialah makanan manis seperti madu.
*** Salwa ialah sejenis burung puyuh

58. Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman: " Masuklah kamu ke negeri ini (Baitul-Muqaddis) dan makanlah daripada hasil buminya yang banyak lagi sedap yang kamu sukai dan masukilah pintu gerbangnya sambil bersujud* dan katakanlah: "Bebaskanlah kami daripada dosa", nescaya Kami ampunkan kesalahan-kesalahanmu. Dan kelak Kami akan menambah (pemberian Kami) kepada orang yang berbuat baik."
* Menurut sebahagian ahli tafsir bererti menundukkan diri.

59. Lalu orang yang zalim menggantikan perintah dengan (mengerjakan) yang tidak diperintahkan kepada mereka. Sebab itu, Kami timpakan ke atas orang yang zalim itu seksa dari langit kerana mereka berbuat fasik.

60. Dan (ingatlah) ketika Musa memohon air untuk kaumnya, lalu Kami berfirman: "Pukullah batu itu dengan tongkatmu!" Lalu terpancarlah darinya dua belas* mata air. Tiap-tiap suku atau puak telah mengetahui tempat minumannya (masing-masing). Makan dan minumlah rezeki (yang diberikan) Allah dan janganlah kamu berkeliarandi muka bumi dengan berbuat kerosakan.
* Sebanyak puak Bani Israel sebagaimana tersebut dalam surah al-Araf, ayat 160.