SURAH AL-MUDDATHTHIR
Orang Yang Berselimut
Surah Ke 74
Terdiri daripada 56 ayat (Makkiyyah)
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
1. Wahai orang yang berselimut!
2. Bangunlah, lalu berilah peringatan!
3. Dan agungkanlah Tuhanmu.
4. Dan bersihkanlah pakaianmu.
5. Dan tinggalkanlah segala (perbuatan) yang keji.
6. Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) memberi sesuatu (dengan maksud) memperoleh (balasan) yang banyak.
7. Dan kerana Tuhanmu, bersabarlah.
8. Maka apabila sangkakala ditiup,
9. Maka itulah hari yang serba sulit,
10. Bagi orang kafir, lagi tidak mudah.
11. Biarlah Aku (yang bertindak) terhadap orang yang Aku sendiri telah menciptakannya,*
* Ayat ini dan beberapa ayat berikutnya diturunkan mengenai orang kafir Mekah, pemimpin Quraisy bernama al-Walid bin al-Mughirah.
12. Dan Aku berikan baginya kekayaan yang melimpah,
13. Dan anak-anak yang selalu bersamanya,
14. Dan Aku berikan baginya kelapangan (hidup) seluas-luasnya.
15. Kemudian dia ingin sekali agar Aku menambahnya.
16. Tidak boleh! Sesungguhnya dia telah menentang ayat-ayat Kami (al-Quran).
17. Aku akan membebaninya dengan pendakian yang amat menyusahkan.
18. Sesungguhnya dia telah memikirkan dan menetapkan (merekka-reka pelbagai tuduhan terhadap al-Quran).
19. Maka celakalah dia! Bagaimana dia berani mereka-reka (yang demikian)?
20. Sekali lagi, celakalah dia! Bagaimana mereka berani mereka-reka?
21. Kemudia dia (merenung) memikirkan,
22. Lalu berwajah masam dan berkerut,
23. Kemudian berpaling (daripada kebenaran) dan menyombongkan diri.
24. Lalu dia berkata :" (Al-Quran) ini hanyalah sihir yang dipelajari (daripada yang dahulu)..
25. Ini hanyalah perkataan manusia."
26. Kelak, Aku akan memasukkannya ke dalam (neraka) Saqar.
27. Dan tahukah kamu apa (neraka) Saqar itu?
28. Ia (Saqar itu) tidak meninggalkan dan tidak membiarkan,*
* Apa yang dilemparkan ke dalam neraka itu diazabnya sampai binasa kemudian dikembalikannya sebagaimana asalnya untuk diazab kembali.
29. Yang menghanguskan dan membakar kulit manusia.
30. Di neraka itu ada sembilan belas (malaikat penjaga).
31. Dan yang Kami jadikan penjaga neraka itu hanya daripada kalangan malaikat; dan Kami menentukan bilangan mereka itu hanya sebagai cubaan bagi orang kafir, agar orang yang diberi kitab menjadi yakin, agar orang yang beriman bertambah imannya, agar orang yang diberikan kitab dan orang mukmin tidak ragu-ragu; dan agar orang yang di dalam hatinya ada penyakit dan orang kafir (berkata): " Apakah yang dikehendaki Allah dengan (bilangan) ini suatu perumpamaan?" Demikianlah Allah menyesatkan orang yang Dia kehendaki. Dan tidak ada yang mengetahui bala tentera Tuhanmu kecuali Dia sendiri. Dan Saqar itu tidak lain hanyalah peringatan bagi manusia.
32. Tidak!* Demi bulan,
* "Tidak" adalah bantahan terhadap ucapan-ucapan orang musyrik yang mengingkari hal-hal tersebut di atas.
33. Dan demi malam ketika telah berlalu,
34. Dan demi Subuh apabila mulai terang,
35. Sesungguhnya (Saqar itu) adaah salah satu (bencana) yang sangat besar,
36. Sebagai peringatan bagi manusia,
37. (Iaitu) bagi siapa di antara kamu yang ingin maju atau mundur*
* Maju di sini ialah maju menerima peringatan dan mundur di sini ialah tidak mahu menerima peringatan.
38. Setiap orang bertanggungjawab atas apa yang telah dilakukannya,
39. Kecuali golongan kanan,
40. Berada di dalam syurga, mereka saling menanyakan,
41. Tentang (keadaan) orang yang berdosa,
42. "Apa yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?"
43. Mereka menjawab : "Dahulu kami tidak termasuk orang yang melaksanakan solat,"
44. Dan kami (juga) tidak memberi makan orang miskin,
45. Bahkan kami biasa berbincang (untuk tujuan yang batil), bersama orang yang membicarakannya,
46. Dan kami mendustakan hari pembalasan,
47. Sampai datang kepada kami kematian."
48. Maka tidak berguna lagi bagi mereka syafaat (pertolongan) daripada orang yang memberikan syafaat.
49. Lalu mengapa mereka (orang kafir) berpaling daripada peringatan (Allah)?
50. Seakan-akan mereka sekawan keldai liar yang lari terkejut,
51. Lari daripada singa.
52. Bahkan setiap orang daripada mereka ingin agar diberikan kepadanya lembaran-lembaran (kitab) yang terbuka.
53. Tidak! Sebenarnya mereka tidak takut kepada akhirat.
54. Tidak! Sesungguhnya (al-Quran) itu benar-benar sesuatu peringatan.
55. Maka barang siapa mengkehendaki, tentu dia mengambil pengajaran daripadanya.
56. Dan mereka tidak akan mengambil pengajaran daripadanya (al-Quran) kecuali (jika) Allah mengkehendakinya. Dialah Tuhan yang patut (kita) bertakwa kepadaNya yang berhak memberi keampunan.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar