Mungkin kali ini saya tidak menghasilkan artikel seperti kebisaannya. Saya cuma ingin berkongsi secebis kisah kehidupan yang mungkin nampak seperti klise tapi ianya adalah realiti kehidupan. Mungkin penceritaan saya tidak begitu baik, harap anda sudi membaca dan dapat memahaminya...
Dua hari lepas...saya diceritakan mengenai satu kisah sedih yang kebiasannya hanya berlaku di dalam drama televisyen...tapi kali ini ianya benar-benar berlaku. Petang yang cerah dan panas, sudah beberapa hari hujan tidak turun. Dedaun kering bertaburan di depan rumah hinggalah ke dalam kawasan pagar. Kebetulan hari itu aku balik awal dari tempat kerja, maka ku capai penyapu lalu ku sapulah dedaun kering tersebut.
Di kala aku sedang asyik menyapu satu bunyi hon motor mengejutkan aku. Seorang teman yang juga jiran selang beberapa buah rumah menyapaku, Amat namanya. Aku terhenti seketika lalu segera menyambut sapaan dan bermulalah sebuah cerita....
Kami kelihatan seperti makcik-makcik yang sedang rancak bergosip. Beliau menceritakan kisah seorang penduduk taman perumahan ku ini yang sangat melarat hidupnya. Cukuplah sekadar aku menamakannya sebagai Milah (bukan nama sebenar).
Milah merupakan warganegara Indonesia yang datang ke Malaysia untuk mencari rezeki. Seperti kebanyakan wanita Indonesia, mereka lebih senang bekerja sebagai pembantu rumah. Bekerja di sebuah rumah orang kaya yang cukup dikenali di tempat ku. Majikannya cukup dihormati kerana sering memberi sumbangan dan bantuan kepada masjid, orang-orang miskin dan anak-anak yatim.
Mungkin anda semua telah dapat agak apa yang ingin saya sampaikan...ya, Milah telah dinodai oleh majikannya. Apabila sahaja majikannya mendapat tahu yang dia telah berbadan dua, Milah telah di pecat! Mujurlah ada teman senegaranya yang tinggal di taman perumahan ku ini sanggup menumpangkan beliau untuk berteduh.
Kisahnya menjadi buah mulut orang ramai namun ramai yang tidak mempercayainya kerana bagi mereka Majikannya tersebut adalah seorang yang sangat baik dan berbudi manakan sanggup melakukan perkara terkutuk tersebut, malah Milah tuduh oleh majikannya yang dia seorang pekerja yang malas dan hanya membuat fitnah apabila di pecat.
Penderitaan Milah tidak terhenti di situ, Beliau sukar mendapatkan kerja kerana keadaanya yang telah berbadan dua, malah permit dan pasportnya pun masih di simpan oleh bekas majikannya. Dengan ehsan rakannya sajalah dia meneruskan hidup.
Beban yang di tanggung bertambah berat apabila beliau pula telah di sahkan mengidap kanser payudara tahap empat. Hasil pemeriksaan doktor, beliau dijangkakan dapat hidup hanya kurang dari setahun sahaja lagi. Aku terkedu dan terdiam mendengar kisah Milah. Kenapa aku tak pernah tahu pun kisah ini? Betul ke tidak kesahihan cerita ini?
Namun yang terkini kata Amat, Milah telah pun bersalin dan anaknya kini telah berusia hampir dua bulan dan masih tinggal di rumah rakannya itu. Amat juga menyatakan yang Milah tidak dapat menyusukan anaknya akibat penyakit kaser yang dialaminya. Keadaan Milah sungguh kritikal kerana langsung tidak mendapat rawatan akibat dari kesempitan wang.
Semalaman aku tidak lena tidur mengenangkan kisah penderitaan Milah dan anaknya. Rasa kasihan teramat sangat. Aku tidak ambil peduli kisah sebelumnya tapi keadaan Milah sekarang amat-amat memerlukan bantuan. Mungkin aku boleh tolong sesuatu untuknya. Keesokan harinya aku cuba bertanyakan bantuan yang boleh disalurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada Milah. Namun jawapan yang ku terima hampa. Bantuan hanya diberikan untuk warganegara Malaysia.
Aku cuba pula bertanya kepada Jabatan Agama Islam dan Pusat Zakat Negeri...jawapan yang kuterima juga sama, bantuan hanya untuk warganegara. Pelik juga aku...bukankah semua umat Islam ini bersaudara tanpa mengira bangsa dan warna kulit? Jika ada umat Islam yang benar-benar memerlukan, kenapa tidak di bantu?
Malamnya aku beranikan diri pergi ke rumah Milah. Apabila melihat dengan mata sendiri, tidak tergambar akan penderitaan yang di alaminya. Anak kecil yang tidak berdosa itu kelihatan kurus sekali. Rakannya memberitahu yang Milah akan pulang ke kampung halamannya pada hari Ahad ini (esok) bersama anaknya hasil bantuan kedutaan Indonesia. Dia mahu menghabiskan sisa-sisa hidupnya disana. Aku terkilan kerana terlambat namun aku perlu lakukan sesuatu untuk membantunya walaupun sedikit...aku akan cuba ikhtiarkan.
Pagi ini aku berjumpa dengan Pengerusi Persatuan Penduduk tamanku dengan sehelai surat. Aku meminta kelulusan untuk menjalankan kutipan derma untuk Milah. Beliau memberi kebenaran malah bukan itu sahaja, beliau sanggup bersama-sama berjalan dari rumah ke rumah untuk mengutip derma.
Kami mendapat kutipan hampir RM400 manakala Persatuan menambah RM100 lagi untuk genabkan menjadi RM500. Aku meminta Pengerusi menyampaikan sumbangan derma tersebut kepada Milah. Mungkin aku tidak dapat lihat kegembiraan dan rasa syukurnya secara zahir tapi linangan airmata sudah cukup menggambarkan hatinya yang gembira. Itu sahaja yang termampu aku lakukan di waktu yang singkat ini.
Esok...Milah akan pulang bersama anaknya ke tempat asalnya untuk meneruskan hidup. Begitulah akhirnya sebuah perjalanan seorang pendatang yang mencari rezeki di negara orang. Tidak semua yang datang ke Malaysia akan pulang dengan kekayaan dan kejayaan. Doa ku semoga Milah terus tabah menghadapi dugaan hidup dan semoga anaknya dapat terus hidup dan membesar dengan sihat.
Aku pula mula menilai kembali rutin kehidupan ku. Adakah kerana aku terlalu sibuk dengan hal sendiri hinggakan kurang mengambil tahu hal-hal di sekeliling tempat tingggalku? Ya..Mungkin aku perlu lakukan sedikit perubahan dalam rutin hidupku. Ambil tahu tidak semestinya menjadi penyebok...tapi ambil tahu untuk tidak menjadi seperti katak di bawah tempurung....
Tidak ada komentar:
Posting Komentar