Sabtu, 16 Februari 2013

Terjemahan Al-Quran ~ Surah Al-Tahrim

SURAH AL-TAHRIM
(Mengharamkan)
Surah ke 66
Terdiri daripada 12 ayat (Madaniyyah)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

1. Wahai Nabi! Mengapa engkau mengharamkan apa yang dihalalkan Allah bagimu?* Engkau ingin menyenangkan hati isteri-isterimu? Dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.
* Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah mengharamkan atas dirinya minum madu untuk menyenangkan hati isteri-isterinya. Maka turunlah ayat ini sebagai teguran kepada Nabi Muhammad SAW.

2. Sesungguhnya Allah telah mewajibkan kepadamu membebaskan diri daripada sumpahmu* dan Allah adalah adalah pelindungmu dan Dia Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
* Apabila seseorang bersumpah mengharamkan yang halal, maka wajiblah atasnya membebaskan diri daripada sumpahan itu dengan membayar kifarat, seperti tersebut dalam surah al-Maidah ayat 89.

3, Dan ingatlah ketika secara rahsia Nabi membicarakan suatu peristiwa kepada salah seorang isterinya (Hafsah). Lalu dia menceritakan peristiwa itu (kepada Aisyah) dan allah memberitahukan peristiwa itu kepadanya (Nabi), lalu (Nabi) memberitahukan (kepada Hafsah) sebagahagian dan menyembunyikan sebahagian yang lain. Maka ketika dia (Nabi) memberitahukan hal itu kepadanya (Habsah), dia bertanya: "Siapa yang telah memberitahukan hal ini kepadamu?" Nabi menjawab: "Yang memberitahukan kepadaku adalah Allah Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Teliti."

4. Jika kamu berdua bertaubat kepada Allah, maka sesungguhnya hati kamu berdua telah condong (untuk menerima kebenaran), dan jika kamu saling bantu-membantu menyusahkan Nabi, maka sesungguhnya Allah menjadi pelindungnya dan (juga) Jibril dan mukmin yang baik; dan selain itu malaikat-malaikat adalah penolongnya.

5. Jika dia (Nabi) menceraikan kamu, boleh jadi Tuhan akan memberi ganti kepadanya dengan isteri-isteri yang lebih baik daripada kamu, perempuan-perempuan yang patuh, yang beriman, yang taat, yang bertaubat, yang beribadah, yang berpuasa, yang janda dan yang perawan.

6. Wahai orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu: penjaganya malaikat-malaikat yang kasar dan keras, yang tidak derhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.

7. Wahai orang kafir! Janganlah kamu mengemukakan alasan pada hari ini. Sesungguhnya hanya kamu diberi balasan menurut apa yang telah kamu kerjakan.

8. Wahai orang yang beriman! Bertaubatlah kepada Allah dengan taubat nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari ketika Allah tidak mengecewakan Nabi dan orang yang beriman bersama dengannya; sedang cahaya mereka memancar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, sambil mereka berkata: "Ya Tuhan kami, sempurnakanlah untuk kami cahaya kami dan ampunkanlah kami; Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa atas segala sesuatu."

9. Wahai Nabi! Perangilah orang kafir dan orang munafik dan bersikap keraslah terhadap mereka. Tempat mereka adalah neraka Jahannam dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.

10. Allah membuat perumpamaan bagi orang kafir, isteri Nuh dan isteri Luth. Keduanya berada di bawah pengawasan dua orang hamba yang soleh di antara hamba-hamba Kami; lalu kedua isteri itu berkhianat kepada kedua suaminya, tetapi kedua suaminya itu tidak dapat membantu mereka sedikit pun dari (seksa) Allah; dan dikatakan (kepada kedua isteri itu); "Masuklah kamu berdua ke neraka bersama orang yang masuk (neraka)."*
* Nabi-nabi sendiripun tidak dapat membela isteri-isterinya daripada azab Allah SWT apabila mereka menentang agama Allah.

11. Dan Allah membuat perumpamaan bagi orang yang beriman, isteri Firaun*, ketika dia berkata: "Ya Tuhanku, bangunkanlah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam syurga dan selamatkanlah aku daripada Firaun dan perbuatannya dan selamatkanlah aku daripada kaum yang zalim."
* Isteri Firaun adalah penganut ajaran Allah Subhanahu wa Ta'ala yang akan dimasukkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala ke dalam syurga.

12. Dan Maryam peteri Imran yang memelihara kehormatannya, maka Kami tiupkan ke dalam rahimnya sebahagian daripada roh (ciptaan) Kami; dan dia membenarkan kalimat-kalimat Tuhannya dan kitab-kitabNYa; dan dia termasuk orang yang taat.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar