Assalamualaikum...
Alhamdulillah... Bersua kita kembali. Kemana anda sepanjang cuti ini?
Peluang cuti kali ini dapatlah BM meluangkan sepenuh masa di kampung, Bagan Datoh, Perak sambil memenuhi undangan majlis perkahwinan sanak saudara.. Dari hari Sabtu hinggalah ke hari Isnin, siang malam makan kenduri sahaja. Seronok sungguh bila dapat berjumpa sanak saudara. Anak buah dan sepupu yang mana Generasi Y dah tak berapa nak kenal, maklumlah dulu masa jumpa mereka masih kecil lagi, sekarang dah jadi anak teruna dan dara.
Pada hari Ahad lepas, BM ke Sungai Besar, Selangor menghadiri masjis kenduri kahwin sepupu di Parit 9. Kenduri yang cukup sederhana tapi meriah. Suasana kenduri yang berbeza dengan di bandar dimana kemeriahan sanak saudara dan orang-orang kampung yang masih mengekalkan budaya gotong-royong (rewang) dalam masjis kenduri sungguh menceriakan.
Sewaktu pulang dari kenduri, sempatlah juga singgah ke Bagan Nakhoda Omar (BNO)...Apa yang menariknya di sini? Jom kita tengok... (klik gambar untuk menikmati saiz yang lebih besar dan jelas)
Selangor tidak mempunyai pantai semulajadi yang berpasir memutih kerana bentuk muka buminya yang landai di persisir pantai dan berpaya. Maka lokasi sebegini dapat menjadi tarikan yang tersendiri dan unik untuk di nikmati. Kewujudannya amat sesuai buat warga kota yang sesekali pulang ke desa mencari lokasi untuk beriadah dan berehat seketika.
Sewaktu kami sampai, air laut masih surut. Kelihatan air laut masih jauh di tengah. Kelihatan juga paya atau selut terbentang luas. Ketika itu kira-kira jam 2 petang, mujurlah cuaca berawan, tidaklah terasa begitu terik.
Kawasan letak kereta juga luas dan selesa, terus mengadap laut. Kelihatan juga beberapa kanak-kanak sedang seronok bermain layang-layang. Kalau dah petang nanti pasti ramai yang bermain layang-layang disini. Suasana seperti di Pantai Remis, Kapar
Terdapat sebuah medan selera yang cukup terkenal dengan hidangan mee udang. BM tak pula merasa kerana masih kenyang, maklumlah baru balik kenduri. Menurut penduduk setempat, mee udang di sini yang terbaik di daerah ini kerana udangnya yang segar terus dari laut.
Suasana cukup tenang dan mengasyikkan. Bayu laut yang bertiup sungguh menyegarkan.
Batu batu besar yang bersepah di pantai memberi satu lanskap yang menarik.
Pepohon ru yang di tanam juga menambahkan keindahan suasana pantai.
Di pantai terdapat beberapa kanak-kanak bermain di pasir dan selut mencari sipu dan kerang. Menurut penduduk tempatan, di kala musimnya cukup mudah mendapatkannya. Sekilo boleh dapat dalam masa kurang satu jam, namun dikala ini bukanlah waktu yang terbaik.
Nikmatilah keindahan dan keunikan pantai rekreasi Bagan Nakhoda Omar yang sungguh indah. Mungkin bukan tempat yang sesuai untuk mandi manda tetapi tempat yang sesuai untuk meluangkan masa berehat seketika sambil memenangkan fikiran.
Terdapat juga sekumpulan bangau yang singgah di pantai ini untuk mencari makan di kala air masih surut.
Tidak sampai pun satu jam, air laut mulai menutupi pantai. Air pasang yang cukup pantas. Amat merbahaya jika berada di tengah pantai andai tidak berhati-hati atau terleka.
Duduk di batu sambil mengadap laut, menikmati bayu yang segar. Mengagumi keindahan alam ciptaan Ilahi. Keunikan pantai di Malaysia yang pelbagai rupa, sungguh indah dan bervariasi.
Sudah satu jam berada di sini... Air laut sudah naik menghilangkan pantai. Cukup besar kuasamu Allah, mengubah lanskap alam dengan sekelip mata. Menjadikan laut yang ada pasang surutnya.
Kini deruan ombak kian kedengaran.
Nelayan mula bergerak mencari rezeki di laut
Bangau pula terpaksa berhenti mencari makan dan berehat di pepohon bakau
Andai anda berada di kala senja disini, pasti suasana keindahan yang sungguh memukau dapat anda saksikan. Melihat matahari terbenam di ufuk barat...perlahan-lahan menghilang bagaikan di telan laut yang terbentang luas.
Bagan Nakhoda Omar... Satu lokasi yang unik dan menarik untuk anda kunjungi. Jangan lepaskan peluang singgah kesini jika anda ke Sungai Besar atau ke Sabak Bernam mahupun ke Perak. Bawalah anak-anak anda dan kenalkanlah mereka dengan alam semulajadi di pantai paya bakau yang mempunyai pesona tersendiri di samping memberi pengajaran tentang rupa, bentuk, kehidupan dan kebesaran penciptaNya.
Teruskan eksplorasi anda ke :
Admin...
Tidak ada komentar:
Posting Komentar