SURAH AL-TALAQ
(Talak)
Surah ke 65
Terdiri daripada 12 ayat (Madaniyyah)
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
1. Wahai Nabi! Apabila kamu menceraikan isteri-isterimu, maka hendaklah kamu ceraikan mereka pada waktu mereka dapat (menghadapi) ‘iddahnya (yang wajar), dan hitunglah waktu ‘iddah itu, serta bertaqwalah kepada Allah Tuhanmu*. Janganlah kamu keluarkan mereka dari rumahnya dan janganlah (diizinkan) keluar kecuali jika mereka mengerjakan perbuatan keji yang jelas**. Itulah hukum-hakam Allah dan barang siapa melanggar hukum-hakam Allah, maka sesungguhnya dia telah berbuat zalim terhadap dirinya sendiri. Kamu tidak mengetahui barangkali setelah itu Allah mengadakan suatu ketentuan yang baru.***
* Isteri-isteri itu hendaklah ditalak pada waktu suci sebelum disetubuhi. Tentang masa 'iddah itu, lihat surah Al-Baqarah ayat 228 dan 234 serta surah al-Talaq ayat 4.
** Perbuatan keji di sini ialah mengerjakan perbuatan-perbuatan pidana (jenayah), berkelakuan tidak sopan kepada mertua, ipar dan sebagainya.
*** Suatu ketentuan yang baru ialah keinginan dari suami untuk rujuk kembali, apabila talaknya baru dijatuhkannya sekali atau dua kali
2. Maka apabila mereka telah mendekati akhir ‘iddahnya, maka rujuklah (kembali kepada) mereka dengan baik atau lepaskanlah mereka dengan baik dan persaksikanlah dengan dua orang saksi yang adil di antara kamu dan hendaklah kamu tegakkan kesaksian itu kerana Allah. Demikianlah pengajaran itu diberikan bagi orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat. Barang siapa bertakwa kepada Allah, nescaya Allah akan membukakan jalan keluar baginya.
3. Dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barang siapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan-Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu.
4. Perempuan-perempuan yang tiada haid lagi (menopaus) di antara isteri-isterimu jika kamu ragu-ragu (tentang masa ‘iddahnya), maka ‘iddahnya ialah tiga bulan; dan begitu (pula) perempuan-perempuan yang tiada haid. Sedangkan perempuan-perempuan yang hamil, tempoh ‘iddahnya adalah hingga mereka melahirkan anak yang dikandung. Dan barang siapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah menjadikan kemudahan baginya dalam urusannya.
5. Itulah perintah Allah yang diturunkanNya kepadamu. Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah menghapuskan kesalahan-kesalahannya, dan akan melipat gandakan pahala baginya.
6. Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani ‘iddahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu dan janganlah kamu menyusahkan mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyempitkan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu). Jika mereka sedang hamil, maka berikanlah nafkah kepada mereka sehingga mereka melahirkan anak yang dikandung. Kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya dan berundinglah antara kamu (dalam hal menyusunya) dengan cara yang baik. (Sebaliknya) jika kamu (dari kedua-dua pihak) megalami kesulitan, maka bolehlah perempuan lain menyusukannya.
7. Hendaklah orang yang mampu memberikan nafkah (kepada isteri yang ditalak dan yang sedang menyusukan) menurut kemampuannya dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah dia memberi nafkah daripada apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu). Allah tidak membebani seseorang melainkan (sekadar kemampuannya) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.
8. Bukan sedikit negeri-negeri yang penduduknya menderhaka terhadap perintah Tuhan mereka dan rasul-rasul Nya, maka Kami hitung amal mereka satu-persatu dengan hitungan yang keras rapi, serta Kami menyeksa mereka dengan azab yang mengerikan.
9. Lalu mereka merasai kesan yang buruk daripada perbuatan derhaka mereka dan akibat daripada perbuatan mereka itu ialah satu kerugian yang besar.
10. Allah menyediakan bagi mereka azab yang berat. Maka bertaqwalah kepada Allah wahai orang yang berakal di kalangan orang yang beriman. Sesungguhnya Allah telah munurunkan peringatan kepada kamu.
11. (Diutus) seorang rasul (Nabi Muhammad SAW) yang membacakan kepada kamu ayat-ayat Allah yang menerangkan kebenaran, supaya Allah mengeluarkan orang beriman (yang sedia diketahui-Nya) dan beramal soleh daripada kegelapan (kesesatan) kepada cahaya (hidayah). (Ingatlah) sesiapa yang beriman kepada Allah dan beramal soleh, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; maka mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya Allah (dengan yang demikian) telah mengurniakan kepadanya sebaik-baik rezeki (pemberian).
12. Allah yang menciptakan tujuh petala langit dan (Dia menciptakan) bumi seperti itu juga. Perintah Allah berlaku terus-menerus di antara alam langit dan bumi. (Berlakunya yang demikian) supaya kamu mengetahui bahawa sesunggunya Allah Maha Berkuasa atas setiap sesuatu dan bahawa sesungguhnya Allah tetap meliputi akan setiap sesuatu.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar