Tampilkan postingan dengan label Malaikat. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Malaikat. Tampilkan semua postingan

Minggu, 13 Januari 2013

Terjemahan Al-Quran ~ Surah Al-Jin

SURAH AL-JIN
Jin
Surah ke 72
Terdiri daripada 28 ayat (Makkiyyah)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

1. Katakanlah (wahai Muhammad): "Telah diwahyukan kepadaku bahawa sekumpulan jin telah mendengar (al-Quran yang aku bacakan)," lalu mereka berkata: "Kami telah mendengarkan bacaan yang menakjubkan (al-Quran).

2. (Yang) memberi petunjuk kepada jalan yang benar; lalu kami beriman kepadanya. Dan kami sekali-kali tidak akan mempersekutukan sesuatu pun dengan Tuhan kami.

3. Dan sesungguhnya Maha Tinggi keagungan Tuhan kami, Dia tidak beristeri dan tidak beranak.

4. Dan sesungguhnya orang yang bodoh di antara kami dahulu selalu mengucapkan (perkataan) yang melampaui batas terhadap Allah.*
* Perkataan yang melampaui batas ialah mengatakan Allah Subhanahu wa Ta'ala. mempunyai isteri dan anak-anak. Menurut Ibnu Kathir, perkataan itu diucapkan sebelum jin itu masuk Islam.

5. Dan sesungguhnya kami mengira bahawa manusia dan jin itu tidak akan mengatakan perkataan yang dusta terhadap Allah. 

6. Dan sesungguhnya ada beberapa orang lelaki daripada kalangan manusia yang meminta perlindungan* kepada beberapa lelaki daripada kalangan jin, tetapi mereka (jin) menjadikan mereka (manusia) bertambah sesat.
* Ada di antara orang Arab apabila mereka melintasi tempat yang sunyi, maka mereka meminta perlindungan kepada jin yang mereka anggap berkuasa di tempat itu.

7. Dan sesungguhnya mereka (jin) mengira seperti kamu (orang Musyrik Mekah) yang juga mengira bahawa Allah tidak akan membangkitkan kembali siapa pun (pada hari kiamat).

8. Dan sesungguhnya kami (jin) telah cuba mengetahui (rahsia) langit, tetapi kami dapati langit itu penuh dengan pengawal-pengawal yang kuat kawalannya dan panah-panah api.

9. Dan sesungguhnya kami (jin) dahulu dapat menduduki beberapa tempat di langit itu untuk mencuri dengar (berita-beritanya). Tetapi sekarang* siapa (cuba) mencuri dengar (seperti itu), pasti akan menjumpai panah-panah api yang mengintai (untuk membakarnya).
* Waktu setelah Nabi Muhammad SAW diutus menjadi rasul.

10. Dan sesungguhnya kami (jin) tidak mengetahui (dengan ada kawalan itu) apakah keburukan yang akan ditimpakan kepada orang yang di bumi ataukah Tuhan mereka menghendaki kebaikan baginya. 

11. Dan sesungguhnya di antara kami (jin) ada yang soleh dan ada (pula) sebaliknya. Kami menempuh jalan yang berbeza-beza.

12. Dan sesungguhnya di antara kami (jin) telah menduga, bahawa kami tidak akan mampu melepaskan diri (daripada kekuasaan) Alah di bumi dan tidak (pula) dapat lari melepaskan diri (daripada)Nya. 

13. Dan sesungguhnya ketika kami (jin) mendengar petunjuk (al-Quran), kami beriman kepadanya. Maka barang siapa beriman kepada Tuhan, maka tidak perlu ia takut rugi atau berdosa.

14. Dan di antara kami ada yang Islam dan ada yang menyimpang daripada kebenaran. Siapa yang Islam, maka mereka itu telah memilih jalan yang lurus.

15. Dan adapun yang menyimpang daripada kebenaran, maka mereka menjadi bahan bakar bagi neraka Jahannam.

16. Dan sekiranya mereka tetap berjalan lurus di atas jalan itu (agama Islam), nescaya Kami akan menurunkan kepada mereka air (hujan) yang cukup. 

17. Dengan (cara) itu Kami hendak menguji mereka. Dan barang siapa berpaling daripada peringatan Tuhannya, nescaya Tuhan akan memasukkannya ke dalam azab yang sangat berat.

18. Dan sesungguhnya masjid-masjid itu adalah untuk Allah. Maka janganlah kamu menyembah apa pun di dalamnya selain Allah,

19. Dan sesungguhnya ketika hamba Allah (Muhammad) berdiri menyembahNya (melaksanakan solat), mereka (jin-jin) itu berasak-asak mengerumuninya.

20. Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku hanya menyembah Tuhanku dan aku tidak mempersekutukan sesuatu pun denganNya."

21. Katakanlah (wahai Muhammad): " Aku tiada kuasa menolak mudarat mahupun mendatangkan kebaikan kepadamu."

22. Katakanlah (wahai Muhammad):"Sesungguhnya tidak pula sesuatu pun yang dapat melindungiku daripada (azab) Allah dan aku tidak mempersekutukan sesuatu pun denganNya."

23. (Aku hanya) menyampaikan (peringatan) dari Allah dan risalahNya. Dan barang siapa menderhakai Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya dia akan mendapat (azab) neraka Jahannam, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya.

24. Sehingga apabila mereka melihat (azab) yang diancamkan kepada mereka, maka mereka akan mengetahui siapakah orangnya yang lebih lemah penolong-penolongnya dan sedikit jumlah bilanganya.

25. Katakanlah (wahai Muhammad):"Aku tidak mengetahui, apakah azab yang diancamkan kepadamu itu sudah dekat ataukah Tuhanku menetapkan waktunya masih lama."

26. Dia mengetahui yang ghaib, tetapi Dia tidak memperlihatkan kepada siapa pun tentang ghaib itu.

27. Kecuali kepada rasul yang diredhaiNya, maka sesungguhnya Dia mengadakan penjaga-penjaga (malaikat) di depan dan di belakangnya.

28. Agar Dia mengetahui, bahawa rasul-rasul itu sesungguhnya telah menyampaikan risalah Tuhannya, sedang (ilmuNya) meliputi apa yang ada pada mereka, dan Dia menghitung apa yang ada pada mereka, dan Dia menghitung segala sesuatu satu persatu.

Sabtu, 24 November 2012

Terjemahan Al-Quran ~ Surah Al-Nazi'at

SURAH AL-NAZI'AT
(Para Malaikat Yang Mencabut)
Surah ke 79
Terdiri daripada 46 ayat (Makkiyyah)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

1. Demi (malaikat) yang mencabut (nyawa) dengan keras.

2. Demi (malaikat) yang mencabut (nyawa) dengan lemah lembut.

3. Demi (malaikat) yang turun dari langit dengan cepat.

4. Dan demi (malaikat) yang mendahului dengan kencang.

5. Dan demi (malaikat) yang mengatur urusan (dunia)*.
* Dalam ayat 1-5, Allah Subhanahu wa Taa'la bersumpah dengan malaikat-malaikat yang bermacam-macam sifat dan urusannya bahawa manusia akan dibangkitkan pada hari kiamat.

6. (Sesungguhnya kamu akan dibangkitkan) pada hari ketika tiupan pertama menggoncangkan alam,

7. (Tiupan pertama) itu diringi oleh tiupan kedua.

8. Hati manusia pada waktu itu merasa sangat takut.

9. Pandangannya tunduk.

10. (Orang kafir) berkata : "Apakah kita benar-benar akan dikembalikan kepada kehidupan kita semula (seperti keadaan di dunia dahulu)?*
* Setelah orang kafir mendengar adanya hari kebangkitan sesudah mati, mereka merasa hairan dan mengejek kerana menurut keyakinan mereka, tidak ada hari kebangkitan. Itulah sebabnya mereka bertanya demikian.

11. Apakah (akan dibangkitkan juga) apabila kita telah menjadi tulang-belulang yang hancur?

12. Mereka berkata : "Kalau demikian, itu adalah suatu pengembalian yang merugikan."

13. Maka pengembalian itu hanyalah dengan kembali tiupan sahaja.

14. Maka seketika itu mereka hidup kembali di bumi (yang baru).

15. Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) kisah Musa?

16. Ketika Tuhan memanggilnya (Musa) di lembah suci iaitu Lembh Tuwa;

17. Pergilah engkau kepada Firaun! Sesungguhnya dia telah melampaui batas,

18. Maka katakanlah (kepada Firaun): "Adakah kamu ingin membersihkan dirimu (daripada kesesatan)"

19. Dan mahukah, aku tunjukkan kepadamu jalan mengenal Tuhanmu agar engkau takut kepadaNya?

20. Lalu (Musa) memperlihatkan kepadanya mukjizat yang besar.

21. Tetapi dia (Firaun) mendustakan dan menderhaka.

22. Kemudian dia berpaling seraya berusaha menentang (Musa).

23. Kemudian dia mengumpulkan (pembesar) lalu berseru (memanggil kaumnya).

24. (Seraya) berkata: "Akulah tuhanmu yang paling tinggi."

25. Maka Allah menghukumnya dengan azab di akhirat dan seksaan di dunia.

26. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat pelajaran bagi orang yang takut (kepada Allah).

27. (Wahai golongan yang ingkarkan hari kebangkitan) Apakah penciptaan kamu yang lebih sukar ataukah langit yang telah dibina ileh Allah itu?

28. Dia telah meninggikan binaan langit itu, lalu menyempurnakannya.

29. Dan Dia menjadikan malamnya (gelap gelita) dan menjadikan siangnya (terang-benderang).

30. Dan setelah itu bumi Dia hamparkan.

31. Darinya Dia pancarkan mata air, dan (ditumbuhkan) tumbuhan-tumbuhannya.

32. Dan gunung-ganang, Dia pancangkan dengan teguh.

33. (Semua itu) untuk kesenanganmu dan untuk haiwan-haiwan ternakanmu.

34. Maka apabila malapetaka besar (hari kiamat) telah datang,

35. Iaitu pada hari (ketika) manusia teringat akan apa yang telah dikerjakannya.

36. Dan neraka diperlihatkan dengan jelas kepada setiap orang yang melihat.

37. Maka adapun orang yang melampaui batas,

38. Dan lebih mengutamakan kehidupan dunia,

39. Maka sesungguhnya, nerakalah tempat tinggalnya.

40. Dan adapun orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri daripada (keinginan) hawa nafsunya,

41. Maka sesungguhnya, syurgalah tempat tinggal(nya).

42. Mereka (orang kafir) bertanya kepadamu (Muhammad) tentang hari kiamat: "Bilakah terjadinya?"*
* kata-kata ini mereka ucapkan sebagai ejekan saja bukannya mereka mempercayai hari berbangkit.

43. Untuk apa engkau perlu menyebutkannya (waktunya)?

44. Kepada Tuhanmu (dikembalikan) kesudahannya (ketentuan waktunya).

45. Engkau (wahai Muhammad) hanyalah pemberi peringatan bagi siapa yang takut kepadanya (hari kiamat).

46. Pada hari ketika mereka melihat kiamat itu, mereka merasa seakan-akan hanya tinggal (di dunia) pada waktu petang atau pagi hari.*
* Kerana hebatnya suasana hari berbangkit itu, mereka merasakan bahawa hidup di dunia adalah sebentar sahaja.

Kamis, 22 November 2012

Terjemahan Al-Quran ~ Surah 'Abasa

SURAH 'ABASA
(Dia Bermasam Muka)
Surah ke 80
Terdiri daripada 42 ayat (Makkiyyah)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

1. Di (Muhammad) berwajah masam dan berpaling.

2. Kerana seorang buta telah datang kepadanya.*
* Seorang buta itu bernama "Abdullah bin Ummi Maktum mendatangi Rasulullah S.A.W untuk mengetahui tentang ajaran Islam, lalu Rasulullah S.A.W bermuka masam dan berpaling kerana Baginda sedang menghadapi pembesar Quraisy dengan pengharapan agar pembesar-pembesar tersebut mahu masuk Islam. Maka turunlah ayat ini.

3. Dan tahukah engkau (wahai Muhammad) barangkali dia ingin menyucikan dirinya (daripada dosa).

4. Atau dia (ingin) mendapatkan pengajaran, yang memberi manfaat kepadanya?

5. Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup

6. Maka engkau (wahai Muhammad) memberi perhatian kepadanya.

7. Padahal tidak ada (cela) atasmu kalau dia tidak menyucikan diri (beriman).

8. Dan adapun orang yang datang kepadamu dengan bersegera (untuk mendapatkan pengajaran).

9. Sedang dia takut (kepada Allah).

10. Engkau (Muhammad) telah mengabaikannya.

11. Sekali-kali jangan(begitu)! Sesungguhnya, (ajaran-ajaran Allah) itu suatu peringatan.

12. Maka barang siapa mengkehendaki, tentulah dia akan memperhatikannya.

13. Di dalam kitab-kitab yang dimuliakan (di sisi Allah).

14. Yang ditinggikan (dan) disucikan.

15. (Terpelihara) di tangan para utusan (malaikat).

16. Yang mulia lagi berbakti.

17. Celakalah manusia! Alangkah kufurnya dia!

18.(Tidakkah dia memikirkan) daripada apakah Dia (Allah) menciptakannya?

19. Daripada setitis mani, Dia menciptakannya., lalu menentukannya.

20. Kemudian jalannya Dia mudahkan (ketika dilahirkan ibunya dan sepanjang hayatnya),

21. Kemudian Dia mematikannya lalu menguburkannya,

22. Kemudian jika Dia mengkehendaki, Dia membangkitkanya kembali.

23. Sekali-kali jangan (begitu)! Dia (manusia) itu belum melaksanakan apa yang Dia (Allah) perintahkan kepadanya.

24. Maka hendaklah manusia itu memperhatikan makanannya.

25. Kamilah yang telah mencurahkan air melimpah (dari langit).

26. Kemudian Kami belah bumi dengan sebaik-baiknya.

27. Lalu di sana Kami tumbuhkan biji-bijian.

28. Dan anggur dan sayur-sayuran.

29. Dan zaitun dan pohon kurma.

30. Dan kebun-kebun (yang) rendang.

31. Dan buah-buahan serta rerumputan.

32. (Semua itu) untuk kesenangan dan untuk haiwan-haiwan ternakanmu.

33. Maka apabila datang suara yang memekakkan (tiupan sangkakala yang kedua).

34. Pada hari itu manusia lari daripada saudaranya.

35. Dan daripada ibu dan bapanya.

36. Dan daripada isteri dan anak-anaknya.

37. Setiap orang daripada mereka pada hari itu mempunyai urusan yang menyibukkannya.

38. Pada hari itu ada wajah-wajah yang berseri-seri.

39. Tertawa dan gembira ria.

40. Dan pada hari itu, ada (pula) wajah-wajah yang tertutup debu (suram).

41. Tertutup oleh kegelapan (ditimpa kehinaan dan kesusahan).

42. Mereka itulah orang-orang kafir yang derhaka.