Sabtu, 24 November 2012

Terjemahan Al-Quran ~ Surah Al-Nazi'at

SURAH AL-NAZI'AT
(Para Malaikat Yang Mencabut)
Surah ke 79
Terdiri daripada 46 ayat (Makkiyyah)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

1. Demi (malaikat) yang mencabut (nyawa) dengan keras.

2. Demi (malaikat) yang mencabut (nyawa) dengan lemah lembut.

3. Demi (malaikat) yang turun dari langit dengan cepat.

4. Dan demi (malaikat) yang mendahului dengan kencang.

5. Dan demi (malaikat) yang mengatur urusan (dunia)*.
* Dalam ayat 1-5, Allah Subhanahu wa Taa'la bersumpah dengan malaikat-malaikat yang bermacam-macam sifat dan urusannya bahawa manusia akan dibangkitkan pada hari kiamat.

6. (Sesungguhnya kamu akan dibangkitkan) pada hari ketika tiupan pertama menggoncangkan alam,

7. (Tiupan pertama) itu diringi oleh tiupan kedua.

8. Hati manusia pada waktu itu merasa sangat takut.

9. Pandangannya tunduk.

10. (Orang kafir) berkata : "Apakah kita benar-benar akan dikembalikan kepada kehidupan kita semula (seperti keadaan di dunia dahulu)?*
* Setelah orang kafir mendengar adanya hari kebangkitan sesudah mati, mereka merasa hairan dan mengejek kerana menurut keyakinan mereka, tidak ada hari kebangkitan. Itulah sebabnya mereka bertanya demikian.

11. Apakah (akan dibangkitkan juga) apabila kita telah menjadi tulang-belulang yang hancur?

12. Mereka berkata : "Kalau demikian, itu adalah suatu pengembalian yang merugikan."

13. Maka pengembalian itu hanyalah dengan kembali tiupan sahaja.

14. Maka seketika itu mereka hidup kembali di bumi (yang baru).

15. Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) kisah Musa?

16. Ketika Tuhan memanggilnya (Musa) di lembah suci iaitu Lembh Tuwa;

17. Pergilah engkau kepada Firaun! Sesungguhnya dia telah melampaui batas,

18. Maka katakanlah (kepada Firaun): "Adakah kamu ingin membersihkan dirimu (daripada kesesatan)"

19. Dan mahukah, aku tunjukkan kepadamu jalan mengenal Tuhanmu agar engkau takut kepadaNya?

20. Lalu (Musa) memperlihatkan kepadanya mukjizat yang besar.

21. Tetapi dia (Firaun) mendustakan dan menderhaka.

22. Kemudian dia berpaling seraya berusaha menentang (Musa).

23. Kemudian dia mengumpulkan (pembesar) lalu berseru (memanggil kaumnya).

24. (Seraya) berkata: "Akulah tuhanmu yang paling tinggi."

25. Maka Allah menghukumnya dengan azab di akhirat dan seksaan di dunia.

26. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat pelajaran bagi orang yang takut (kepada Allah).

27. (Wahai golongan yang ingkarkan hari kebangkitan) Apakah penciptaan kamu yang lebih sukar ataukah langit yang telah dibina ileh Allah itu?

28. Dia telah meninggikan binaan langit itu, lalu menyempurnakannya.

29. Dan Dia menjadikan malamnya (gelap gelita) dan menjadikan siangnya (terang-benderang).

30. Dan setelah itu bumi Dia hamparkan.

31. Darinya Dia pancarkan mata air, dan (ditumbuhkan) tumbuhan-tumbuhannya.

32. Dan gunung-ganang, Dia pancangkan dengan teguh.

33. (Semua itu) untuk kesenanganmu dan untuk haiwan-haiwan ternakanmu.

34. Maka apabila malapetaka besar (hari kiamat) telah datang,

35. Iaitu pada hari (ketika) manusia teringat akan apa yang telah dikerjakannya.

36. Dan neraka diperlihatkan dengan jelas kepada setiap orang yang melihat.

37. Maka adapun orang yang melampaui batas,

38. Dan lebih mengutamakan kehidupan dunia,

39. Maka sesungguhnya, nerakalah tempat tinggalnya.

40. Dan adapun orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri daripada (keinginan) hawa nafsunya,

41. Maka sesungguhnya, syurgalah tempat tinggal(nya).

42. Mereka (orang kafir) bertanya kepadamu (Muhammad) tentang hari kiamat: "Bilakah terjadinya?"*
* kata-kata ini mereka ucapkan sebagai ejekan saja bukannya mereka mempercayai hari berbangkit.

43. Untuk apa engkau perlu menyebutkannya (waktunya)?

44. Kepada Tuhanmu (dikembalikan) kesudahannya (ketentuan waktunya).

45. Engkau (wahai Muhammad) hanyalah pemberi peringatan bagi siapa yang takut kepadanya (hari kiamat).

46. Pada hari ketika mereka melihat kiamat itu, mereka merasa seakan-akan hanya tinggal (di dunia) pada waktu petang atau pagi hari.*
* Kerana hebatnya suasana hari berbangkit itu, mereka merasakan bahawa hidup di dunia adalah sebentar sahaja.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar