Rabu, 21 November 2012

Terjemahan Al-Quran - Surah Al-Buruj

SURAH AL-BURUJ
(Gugusan Bintang)
Surah ke - 85
Terdiri daripada 22 ayat (Makkiyyah


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

1. Demi langit yang mempunyai gugusan bintang.

2. Dan demi hari yang dijanjikan.

3. Demi yang menyaksikan dan yang disaksikan,

4. Binasalah orang yang membuat parit.*
* Iaitu pembesar -pembesar Najran di Yaman.

5. Yang berapi (yang mempunyai) kayu bakar,

6. Ketika mereka duduk di sekelilingnya.

7. Sedang mereka menyaksikan apa yang mereka lakukan terhadap orang mukmin.

8. Dan mereka menyeksa orang mukmin itu hanya kerana (orang mukmin itu) beriman kepada Allah Yang Maha Perkasa, lagi Maha Terpuji,

9. Yang memiliki kerajaan langit dan bumi. Dan Allah Maha Menyaksikan segala sesuatu.

10. Sesungguhnya orang yang mendatangkan cubaan* kepada orang mukmin lelaki dan perempuan, lalu mereka tidak bertaubat, maka mereka akan mendapat azab Jahannam dan mereka akan mendapat azab (neraka) yang membakar.
* Mendatangkan cubaan ialah seperti menyeksa, mendatangkan bencana, membunuh dan sebagainya.

11. Sesungguhnya orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, mereka akan mendapat syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungau, itulah kemenangan yang besar.

12.  Sesungguhnya azab Tuhan sangat keras.

13. Sesungguhnya Dialah yang memulakan penciptaan (makhluk) dan yang menghidupkannya (kembali).

14. Dan Dialah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Pengasih.

15. Yang memiliki Arasy, lagi Maha Mulia.

16. Maha Kuasa berbuat apa yang Dia kehendaki.

17. Sudahkah sampai kepadamu berita tentang bala tentera (penentang),

18. (Iaitu) Firaun dan Thamud?

19. Memang orang kafir (selalu) mendustakan.

20. Padahal Allah mengepung dari belakang mereka.*
* Mereka tidak dapat lepas daripada kekuasaan Allah Subhanahu wa Ta'ala.

21. Bahkan (yang didustakan itu) ialah Al-Quran yang mulia,

22. Yang (tersimpan) dalam (tempat) yang terjaga (Lauh Mahfuz).

Tidak ada komentar:

Posting Komentar