SURAH AL-INSYIQAQ
(Terbelah)
Surah ke 84
Terdiri daripada 25 ayat ( Makkiyyah)
1. Apabila langit terbelah.
2. Dan patuh kepada Tuhannya, dan sudah semestinya patuh.
3. Dan apabila bumi diratakan.
4. Dan memuntahkan apa yang ada di dalamnya dan menjadi kosong.
5. Dan patuh kepada Tuhannya dan sudah semestinya patuh.
6. Wahai manusia! Sesungguhnya kamu telah bekerja keras menuju Tuhanmu, maka kamu akan menemuiNya.*
* Manusia di dunia ini, baik disedari atau tidak, adalah dalam perjalanan kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Dan tidak dapat tidak dia akan menemui Allah Subhanahu wa Ta'ala untuk menerima pembalasanNya dari perbuatannya yang buruk mahupun yang baik.
7. Maka adapun orang yang catatannya diberi dari sebelak kanannya,
8. Maka dia akan diperiksa dengan pemeriksaan yang mudah.
9. Dan dia akan kembali kepada keluarganya (yang sama-sama beriman) dengan gembira.
10. Dan adapun orang yang catatanya diberikan dari sebelah belakang,
11. Maka dia akan berteriak : "Celaka aku!."
12. Dan dia akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala.
13. Sesungguhnya, dia dahulu (di dunia) bergembira di kalangan keluarganya (yang sama-sama kafir).
14. Sesungguhnya dia mengira bahawa dia tidak akan kembali (kepada Tuhannya).
15. Tidak demikian, sesungguhnya Tuhannya selalu melihatnya.
16. Maka Aku bersumpah demi cahaya merah pada waktu senja.
17. Demi malam dan apa yang diselubunginya.
18. Demi bulan apabila jadi purnama.
19. Sesungguhnya akan kamu jalani peringkat demi peringkat (dalam kehidupan)*.
* Peringkat demi peringkat ialah setitis air mani sampai dilahirkan, kemudian melalui masa kanak-kanak, remaja dan sampai dewasa. Daripada hidup menjadi mati, kemudian dibangkitkan kembali.
20. Maka mengapa mereka tidak mahu beriman?
21. Dan apabila Al-Quran dibacakan kepada mereka, mereka tidak (mahu) sujud.
22. Bahkan orang kafir itu mendustakan(nya).
23. Dan Allah lebih mengetahui apa yang mereka sembunyikan (dalam hati mereka).
24. Maka sampaikanlah kepada mereka (ancaman) azab yang pedih.
25. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, mereka akan mendapat pahala yang tidak putus-putusnya.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar