Senin, 24 September 2012

Terjemahan Al-Quran - Surah Al-Baqarah Ayat 119-141

P. Larangan Mengikuti Yahudi dan Nasrani.
119. Sesungguhnya Kami telah mengutusmu (Muhammad) dengan kebenaran sebagai pembawa berita gembira dan pemberi peringatan dan kamu tidak akan diminta (bertanggungjawab) tentang penghuni-penghuni neraka.

120. Orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu sehingga kamu mengikut agama mereka. Katakanlah: " Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)". Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.

121. Orang yang telah Kami berikan al-Kitab kepadanya mereka membacanya dengan bacaan yang sebenarnya,* mereka itu beriman kepadanya. Dan barangsiapa yang ingkar kepadanya, maka mereka itulah orang yang rugi.
* Tidak mengubah dan mentakwilkan al-Kitab mengikut hatinya.

122. Wahai Bani Israel, ingatlah akan nikmatKu yang telah Aku anugerahkan kepadamu dan Aku telah lebihkan kamu dari umat yang lain.*
* Umat yang sezaman dengan Bani Israel.

123. Dan takutlah kamu kepada suatu hari pada waktu seseotang tidak dapat menggantikan* orang lain sedikit pun dan tidak akan diterima suatu tebusan darinya dan tidak akan memberi manfaat sesuatu syafaat kepadanya dan tidak (pula) mereka akan ditolong.
* Dosa dan pahala seseorang tidak dapat dipindahkan kepada orang lain.

Q. Perjanjian Dengan Nabi Ibrahim 'Alaihissalam.
124. Dan (ingatlah) ketika Ibrahim diuji* Tuhannya dengan beberapa kalimah (perintah dan larangan), lalu Ibrahim menunaikannya. Allah berfirman: " Sesungguhnya Aku akan menjadikanmu imam bagi seluruh manusia." Ibrahim berkata: "(Dan saya memohon juga) dari keturunanku."** Allah berfirman : "JanjiKu (ini) tidak berlaku bagi orang yang zalim."
* Ujian terhadap Nabi Ibrahim 'Alaihissalam di antaranya ialah membangunkan Kaabah, membersihkan Kaabah dari kemusyrikan, menghadapi Raja Namrud, mengorbankan anaknya, Nabi Ismail 'Alaihissalam dan lain-lain.
** Allah telah mengabulkan doa Nabi Ibrahim 'Alaihissalam dan banyak keturunan Nabi Ibrahim 'Alaihissalam menjadi rasul.

125. Dan (ingatlah) ketika Kami menjadikan rumah itu (Baitullah) tempat berkumpul bagi manusia dan tempat yang aman. Dan jadikanlah sebahagian Maqam Ibrahim* tempat solat. Dan telah Kami perintahkan kepada Ibrahim dan Ismail: "Bersihkanlah rumahKu untuk orang yang tawaf, yang iktikaf, yang rukuk dan yang sujud."
* Tempat berdiri Nabi Ibrahim 'Alahissalam ketika membuat Kaabah.

126. Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa: " Ya Tuhanku, jadikanlah negeri ini, negeri yang aman sentosa dan berikanlah rezeki dari buah-buahan kepada penduduknya yang beriman di antara mereka kepada Allah dan hari kemudian." Allah berfirman: " Dan kepada orang yang kafir pun Aku beri kesenangan sementara, kemudian Aku paksa dia menjalani seksaan neraka dan itulah seburuk-buruk tempat kembali."

127. Dan (ingatlah) ketika Ibrahim meninggikan (membina) asas-asas Baitullah bersama Ismail (seraya berdoa): "Ya Tuhan kami, terimalah dari kami (amalan kami), sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

128. Ya Tuhan kami, jadikanlah kami berdua orang yang tunduk dan patuh kepada Engkau dan (jadikanlah) di antara anak cucu kami umat yang tunduk dan patuh kepada Engkau dan tunjukkanlah kepada kami cara-cara dan tempat-tempat ibadah haji kami dan terimalah taubat kami. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Penerima Taubat, lagi Maha Penyayang.

129. Ya Tuhan kami, utuskanlah untuk mereka seorang rasul dari kalangan mereka yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat Engkau dan ajarkanlah kepada mereka al-Kitab (al-Quran) dan al-Hikmah (as-Sunnah) serta sucikanlah mereka. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Perkasa, lagi Maha Bijaksana.

R. Agama Nabi Ibrahim 'Alahissalam.
130. Dan tidak ada yang benci kepada agama Ibrahim melainkan orang yang memperbodohkan dirinya sendiri dan Kami telah memilihnya* di dunia dan sesungguhnya dia di akhirat benar-benar termasuk di kalangan orang yang soleh.
* Di antaranya menjadi imam, rasul, banyak keturunannya yang menjadi nabi dan diberi gelaran Khalillullah (Kekasih Allah)

131. Ketika Tuhannya berfirman kepadanya: " Tunduklah dan patuhlah!" Ibrahim menjawab: "Aku tunduk dan patuh kepada Tuhan semesta alam."

132. Dan Ibrahim telah mewasiatkan ucapan itu kepada anak-anaknya, demikian pula Yaakub. (Ibrahim berkata): " Hai anak-anakku, sesungguhnya Allah telah memilih agama ini bagimu, maka janganlah kamu mati kecuali dalam memeluk agama Islam."

133. Adakah kamu kahir ketika Yaakub didatangi (tanda-tanda) maut, ketika dia berkata kepada anak-anaknya: "Apa yang kamu sembah sepeninggalanku?" Mereka menjawab: "Kami akan menyembah Tuhanmu dan Tuhan nenek moyangmu, Ibrahim, Ismail dan Ishak, (iaitu) Tuhan Yang Maha Esa dan kami hanya tunduk dan patuh kepadaNya."

134. Itu adalah umat yang lalu, baginya apa yang telah diusahakannya dan bagimu apa yang telah kamu usahakan dan kamu tidak akan diminta bertanggungjawab tentang apa yang telah mereka kerjakan.

135. Dan mereka berkata: "Hendaklah kamu menjadi penganut agama Yahudi atau Nasrani, nescaya kamu mendapat petunjuk. Katakanlah: "Tidak, bahkan (kamu mengikuti) agama Ibrahim yang lurus. Dan bukanlah dia (Ibrahim) dari golongan orang musyrik."

136. Katakanlah (wahai orang mukmin): "Kami beriman kepada Allah dan apa yang diturunkan kepada kami dan apa yang diturunkan kepada Ibrahim, Ismail, Ishak, Yaakub dan anak cucunya dan apa yang diberikan kepada Musa dan Isa serta apa yang diberikan kepada nabi-nabi datu Tuhannya. Kami tidak membeza-bezakan seorang pun di antara mereka dan kami hanya tunduk patuh kepadaNya."

137. Maka jika mereka beriman kepada apa yang kamu telah beriman kepadanya, sesungguhnya mereka telah mendapat petunjuk dan jika mereka berpaling, sesungguhnya mereka berada dalam permusuhan (dengan kamu). Maka Allah akan memelihara kamu dari mereka. Dan Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

138. Sibghah* Allah. Dan siapakah yang lebih baik sibghahnya daripada Allah? Dan hanya kepadaNyalah kami menyembah.
* Sibghah Allah, ertinya "Celupan Allah", yang bererti beriman kepada Allah (agama) yang tidak disertai dengan kemusyrikan

139. Katakanlah: " Apakah kamu berdebat dengan kami tentang Allah, padahal Dia adalah Tuhan kami dan Tuhan kamu, bagi kami amalan kami, bagi kamu amalan kamu dan hanya kepadaNya kami mengikhlaskan hati.

140. Atau kamu (wahai orang Yahudi dan Nasrani) mengatakan bahawa Ibrahim, Ismail, Ishak, Yaakub dan anak cucunya adalah penganut agama Yahudi atau Nasrani? Katakanlah: "Apakah kamu yang lebih mengetahui atau Allah dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan syahadah dari Allah* yang ada padanya?" Dan Allah sekali-kali tidak lalai dari apa yang kamu kerjakan.
* Persaksian Allah yang tersebut dalam Taurat dan Injil bahawa Nabi Ibrahim 'Alaihissalam dan anak cucunya bukan penganut agama Yahudi atau Nasrani dan bahawa Allah akan mengutus Nabi Muhammad SAW.

141. Itu adalah umat yang telah lalu, baginya apa yang diusahakannya dan bagimu apa yang kamu usahakan dan kamu tidak akan diminta bertanggungjawab tentang apa yang telah mereka kerjakan.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar