Sabtu, 22 September 2012

Terjemahan Al-Quran - Surah Al-Baqarah Ayat 61-79

C. Pembalasan Terhadap Sikap dan Perbuatan Bani Israel.
61. Dan (ingatlah) ketika kamu berkata: "Wahai Musa! Kami tidak dapat bersabar (sudah jemu)  dengan sejenis makanan saja. Sebab itu, mohonkanlah untuk kami kepada Tuhanmu agar Dia mengeluarkan untuk kami daripada apa yang ditumbuhkan bumi iaitu sayur-sayurannya, mentimunnya, bawang putihnya, kacang adasnya (kacang dal) dan bawang merahnya." Musa berkata: "Mahukah kamu mengambil sesuatu yang baik sebagai pengganti yang lebih baik? Pergilah kamu ke suatu kota, pasti kamu memperolehi apa yang kamu minta." Lalu ditimpakanlah kepada mereka kepapaan dan kehinaan serta mereka mendapat kemurkaan daripada Allah. Hal itu (terjadi) kerana mereka selalu mengingkari ayat-ayat Allah dan membunuh para Nabi tanpa alasan yang benar. Demikian itu (terjadi) kerana mereka selalu berbuat derhaka dan melampaui batas.

D. Pahala Orang Yang Beriman.
62. Sesungguhnya orang mukmin, orang Yahudi, orang Nasrani dan orang Sabi'in,* siapa saja di antara mereka yang benar-benar beriman kepada Allah, ** hari kemudian dan beramal soleh,*** mereka akan menerima pahala daripada Tuhan mereka, tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.
* Orang yang mengikut syariat nabi-nabi zaman dahulu atau orang yang menyembah binatang atau menyembah dewa-dewa
** Orang mukmin, begitu pula orang Yahudi, Nasrani dan Sabi'in yang beriman kepada Allah, termasuk beriman kepada Nabi Muhammad SAW, percaya kepada hari akhirat dan mengerjakan amal soleh, mereka mendapat pahala dari Allah.
*** Perbuatan baik yang diperintahkan Allah.

E. Pembalasan Terhadap Bani Israel Yang Melanggar Perjanjian Dengan Allah Subahanu Wa Taa'la.
63. Dan (ingatlah) ketika Kami mengambil janji (taat setia) dari kamu dan Kami angkatkan Bukit Sinai (Tur Sina) dia atasmu (seraya Kami berfirman): "Peganglah teguh-teguh apa yang Kami berikan kepadamu dan ingatlah selalu apa yang ada di dalamnya agar kamu bertakwa." 

64. Kemudian kamu berpaling setelah (adanya perjanjian) itu, maka kalau tidak ada kurnia Allah dan rahmatNya atasmu, nescaya kamu tergolong orang yang rugi.

65. Dan sesungguhnya telah kamu ketahui orang yang melanggar (larangan) diantaramu pada hari Sabtu,* lalu Kami berfirman kepada mereka: "Jadilah kamu kera** yang hina."
* Hari khusus bagi orang Yahudi untuk beribadat
** Sebahagian ahli tafsir berpendapat, sebutan ini sebagai suatu perumpaan untuk menunjukkan bahawa hati mereka menyerupai hati kera kerana sama-sama tidak menerima nasihat dan peringatan, Sedangkan jumhur mufassir berpendapat bahawa mereka betul-betul berubah menjadi kera, hanya tidak beranak, tidak makan dan minum dan hidup tidak lebih dari tiga hari.

66. Maka Kami jadikan yang demikian itu peringatan bagi orang pada masa itu dan bagi mereka yang datang   kemudian serta menjadi pelajaran bagi otang yang bertakwa.

F. Kisah Penyembelihan Lembu Betina*
* Surah ini dinamai surah Al-Baqarah (lembu betina) kerana mengandungi kisah penyembelihan lembu.
67. Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada kaumnya: "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyembelih seekor lembu betina."* Mereka berkata> "Apakah kamu hendak menjadikan kami bahan ejekan?" Musa menjawab: "Aku berlindung kepada Allah agar tidak menjadi salah seorang daripada orang yang jahil."
* Hikmah Allah menyuruh mereka menyembelih lembu supaya hilang rasa penghormatan mereka kepada lembu yang pernah mereka sembelih.

68. Mereka menjawab: " Mohonlah kepada Tuhanmu untuk kami agar Dia menerangkan kepada kami, lembu betina apakah itu?" Musa menjawab: " Sesungguhnya Allah berfirman bahawa lembu betina itu adalah lembu betina yang tidak tua dan tidak muda, pertengahan antara itu, maka kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu."

69. Mereka berkata; "Mohonlah kepada Tuhanmu untuk kami agar Dia menerangkan kepada kami apa warnanya." Musa menjawab: "Sesungguhnya Allah berfirman bahawa lembu betina itu adalah lembu betina yang kuning tua warnanya lagi menyenangkan orang yang memandangnya."

70. Mereka berkata: "Mohonlah kepada Tuhanmu untuk kami agar Dia menerangkan kepada kami, bagaimana hakikat lembu betina itu, kerana sesungguhnya lembu itu (masih) samar bagi kami dan sesungguhnya kami, insya'Allah, akan mendapat petunjuk (untuk memperolehi lembu itu)."

71. Musa berkata: " Sesungguhnya Allah berfirman bahawa lembu btina itu adalah lembu betina yang belum pernah digunakan untuk membajak tanah dan tidak pula untuk mengairi tanaman, tidak cacat, tidak ada belangnya." Mereka berkata: "Sekarang barulah kamu menerangkan hahikat lembu yang sebenarnya." Kemudian mereka menyembelihnya dan hampir saja mereka tidak melaksanakan perintah itu.*
* Berdasarkan syarat yang disebutkan, lembu itu sukar diperolehi dan hampir saja mereka tidak dapat menemukannya.

72. Dan (ingatlah) ketika kamu membunuh seorang manusia, lalu kamu saling tuduh menuduh tentang itu. Dan Allah hendak menyingkapkan apa yang selama ini kamu sembunyikan.

73. Lalu Kami berfirman: "Pukullah mayat itu dengan sebahagian anggota lembu betina itu!" Demikianlah, Allah menghidupkan kembali orang yang telah mati dan memperlihatkan kepadamu tanda-tanda kekuasaanNya agar kamu mengerti.*
* Menurut jumhur mufassir, ayat ini berhubung dengan peristiwa yang dilakukan oleh salah seorang Bani Israel. Mereka saling tuduh menuduh tentang siapa yang melakukan suatu pembunuhan. Setelah mereka membawa persoalan tersebut kepada Nabi Musa 'Alahissalam, Allah menyuruh mereka untuk menyembelih seekor lembu betina serta memukulkan sebahagian dari tubuh lembu tersebut kepada orang yang terbunuh supaya dapat hidup kembali dan menerangkan siapa yang membunuhnya.

74. Kemudia hatimu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal diantara batu-batu itu, ada yang mengalir sungai-sungai darinya dan di antaranya ada yang terbelah, lalu keluarlah mata air darinya dan diantaranya ada yang meluncur jatuh kerana takut kepada Allah. Dan Allah sekali-kali tidak lalai dari apa yang kamu kerjakan.

G. Keimanan Orang Yahudi Sukar Diharapkan.
75. Apakah kamu masih mengharapkan mereka akan percaya kepadamu, padahal segolongan daripada mereka mendengar firman Allah, lalu mereka mengubahnya setelah mereka memahaminya, sedang mereka mengetahuinya.*
* Nenek moyang mereka menyimpan Taurat, kemudia mereka mengubah-ubah Taurat itu; di antaranya sifat-sifat Nabi Muhammad SAW yang termaktub dalam Taurat.

76. Dan apabila mereka berjumpa dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: " Kami pun telah beriman." Tetapiapabila mereka berada di antara meraka saja, lalu mereka berkata: "Apakah kamu menceritakan kepada mereka (orang mukmin) apa yang telah diterangkan Allah kepadamu, supaya dengan demikian mereka dapat mengalahkan hujahmu di hadapan Tuhanmu; tidakkan kamu mengerti?"*
* Sebahagian Bani Israel yang mengaku beriman kepada Nabi Muhammad SAW pernah bercerita kepada orang Islam bahawa dalam Taurat memang ada disebutkan tentang kedatangan Nabi Muhammad SAW, Maka golongan lain menegur mereka dengan mengatakan : "Mengapa kamu menceritakan hal tersebut kepada orang Islam sehingga hujah mereka bertambah kuat."

77. Tidakkah mereka mengetahui bahawa Allah mengetahui segala apa yang mereka sembunyikan dan segala apa yang mereka nyatakan?

78. Dan di antara mereka ada yang buta huruf, tidak mengetahui al-Kitab (Taurat) kecuali sebagai dongengan    bohong belaka* dan meraka hanya menduga-duga.
* Pada saat itu, kebanyakan orang Yahudi buta huruf dan tidak mengetahui isi Taurat selain dari dongeng-dongeng yang diceritakan oleh pendeta-pendeta mereka. 

79. Maka kecelakaan yang besarlah bagi orang yang menulis al-Kitab dengan tangan mereka sendiri, lalu dikatakannya: "Ini dadipada Allah", (dengan maksud) untuk memperoleh keuntungan yang sedikit daripada perbuatan itu. Maka kecelakaan besarlah bagi mereka akibat daripada apa yang ditulis oleh tangan mereka sendiri dan kecelakaan besarlah akibat daripada apa yang mereka kerjakan.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar