SURAH AL-LAIL
(Malam)
Surah ke 92
Terdiri daripada 21 ayat (Makkiyyah)
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
1. Demi malam apabila menutupi (cahaya siang).
2. Demi siang apabila terang benderang.
3. Demi penciptaan lelaki dan perempuan.
4. Sesungguhnya usahamu memang beraneka macam.
5. Maka barang siapa memberikan (hartanya di jalan Allah) dan bertakwa.
6. Dan mengakui dengan yakin ( adanya pahala) yang terbaik (syurga).
7. Maka akan Kami mudahkan baginya jalan menuju kemudahan (kebahagiaan).
8. Dan adapun orang yang kikir dan merasa dirinya cukup (tidak perlu pertolongan Allah)*
* Merasa dirinya cukup ialah tidak memerlukan lagi pertolongan Allah Subhanahu waTaa'la dan tidak bertakwa kepada Allah Subhanahu wa Taa'la.
9. Serta mendustakan (pahala) yang terbaik.
10. Maka Kami akan mudahkan baginya jalan menuju kesukaran (kesengsaraan).
11. Dan hartanya tidak berguna baginya apabila dia telah binasa.
12. Sesungguhnya Kamilah yang memberi petunjuk.
13. Dan sesungguhnya milik Kamilah akhirat dan dunia itu.
14. Maka Aku memperingatkan kamu dengan neraka yang menyala-nyala.
15. Yang hanya dimasuki oleh orang yang paling celaka.
16. Yang mendustakan (kebenaran) dan berpaling (daripada iman)
17. Dan akan dijauhkan darinya (neraka) orang yang paling bertakwa.
18. Yang menginfakkan harta (di jalan Allah) untuk membersihkan (dirinya).
19. Dan tidak ada seorang pun memberikan sesuatu nikmat padanya yang harus dibalasnya.
20. Tetapi (dia memberikan itu semata-mata) kerana mencari keredaan Tuhannya Yang Maha Tinggi.
21. Dan nescaya kelak dia akan mendapat kesenangan (yang sempurna).
Tidak ada komentar:
Posting Komentar