Assalamualaikum... Lama sudah tidak bereksplorasi. Hari ini saya ingin membawa anda mengembara menjelajah ke Pantai Timur Semenanjung Malaysia selama 4 hari 3 malam. Kita kembara dari satu masjid ke satu masjid sambil menikmati keindahan senibinanya yang sungguh cantik, indah dan menawan.
Pelbagai rupabentuk dan senibina yang dapat kita perhatikan. Setiap satunya mempunyai keistimewaan dan keunikannya yang tersendiri. Rumah Allah yang menjadi tempat ibadat, penyebaran ilmu dan menjalin ukhwah komuniti setempat bagi umat Islam.
Pengembaraan sudah pastinya bermula dari tempat tinggal ku di Kuala Kubu Bharu, Selangor. Masjid indah yang terletak di Darul Quran, Kuala Kubu Bharu menjadi titik permulaan kembara kita kali ini.
Masjid Darul Quran, Kuala Kubu Bharu |
Seawal 6.30 pagi selepas selesai solat subuh, mula bergerak perlahan meninggalkan Kuala Kubu Bharu menuju ke pekan Raub di Pahang. Sebelum sampai di simpang Bukit Frazer, bermakna sudah pun memasuki sempadan Negeri Pahang. Selamat tinggal Selangor...
Singgah seketika di Bukit Frazer untuk melihat satu-satunya masjid di puncak peranginan tanah tinggi ini yang masih terpelihara keindahan alam, flora dan faunanya. Suhu dingin terasa...sungguh nyaman sekali.
Masjid Bukit Fraser |
Dari Bukit Frazer, perjalanan di teruskan menghala ke Pekan Raub. Berhenti rehat untuk menikmati sarapan pagi sambil melihat keindahan senibina Masjid Sultan Abu Bakar. Lihatlah kubah emasnya yang amat menyerlah walaupun dari jauh.
Masjid Sultan Abu Bakar, Raub |
Kini perut pun sudah terisi, selesa untuk bergerak meneruskan perjalanan. Lokasi berikutnya adalah Kuala Lipis. Kira-kira jam 11 pagi saya telah berada di perkarangan Masjid Mahmud. Masjid unik senibinanya ini mempunyai banyak menara kecil. Ianya sungguh menawan sekali.
Masjid Mahmud, Kuala Lipis |
Dari Kuala Lipis, menempuh pula jalan berliku-liku menghala ke Gua Musang. Melalui hutan dan beberapa kali bertemu dengan lori balak. Kira-kira hampir pukul satu setengah barulah sampai di Masjid Tengku Muhd. Faiz Petra yang indah berwarna biru untuk bersolat zohor. Selesai solat, singgah di gerai tepi jalan untuk menikmati makanan tengahari. Sangat enak masakannya dan murah pula harganya.
Masjid Tengku Muhd. Faiz Petra, Gua Musang |
Dari Gua Musang, bergerak jauh ke utara menuju ke Kuala Krai. Mujurlah sepanjang perjalanan tiada gangguan trafik. Tenang sekali memandu kereta Vivaku ini. Perjalanan jauh sebegini, kereta kecil amat sesuai kerana menjimatkan minyak tambahan pula harga minyak dah naik.
Singgah seketika di Masjid Mukim Aur Gading. Masjid lama dengan satu menara ini sungguh tenang dan damai sekali. Hanya berhenti solat sunat seketika lalu bergerak semula.
Masjid Mukim Aur Gading |
Perjalanan di teruskan lagi sehinggalah berhenti seketika untuk solat Asar di Masjid Mukim Kaabah di Machang. Masjid dua tingkat ini umpama rumah banglo, cuma mempunyai sebuah menara dan sebuah kubah menjadi mercu tanda yang ianya adalah sebuah masjid.
Perut terasa sedikit kosong, belilah sebungkus goreng pisang dan sebotol air mineral buat alas perut sementara untuk sampai ke Tanah Merah.
Masjid Mukim Kaabah, Machang |
Sesampai di Tanah Merah, mata ini terpaku dengan keindahan Masjid Mukim Pasir Gendal. Berhenti rehat sambil menikmati senibina yang indah ini sementara menanti waktu Maghrib menjelang tiba. Kubah besar berwarna biru menjadi begitu unik pabila dikeliling oleh warna kuning keemasan.
Masjid Mukim Pasir Gendal, Tanah Merah |
Selesai solat maghrib, terus bergegas bergerak menuju ke Pasir Mas. Masjid Brunei di Danau Tok Uban menjadi pilihan kerana keindahan masjid di tepi tasik yang memukau pandangan. Sayangnya, tidak sempat berjemaah Isyak disini. Perjalanan diteruskan pula menuju ke pekan Tumpat.
Masjid Brunei, Pasir Mas |
Masjid Selehor menjadi destinasi terakhir disinggah. Masjid lama ini tidak kurang hebat senibinanya. Disini, saya tumpang bermalam di rumah sahabat tidak jauh dari masjid ini. Keesokan harinya, setelah bersarapan pagi bersama sahabat, saya terus bergerak ke Pengkalan Chepa.
Masjid Lama Selehor |
Disini singgah pula seketika di Masjid Pasar Basah. Masjid indah ini masih baru lagi. Senibinanya tidak kurang menariknya. Dua menara besar menjadi mercu tanda utama masjid ini. Tatkala saya sampai, ada majlis akad nikah hendak dijalankan. Tidak berada lama disini kerana perjalanan masih panjang untuk di lalui.
Masjid Pasar Basah, Pengkalan Chepa |
Bandar Kota Bharu yang tidak jauh dari Pengkalan Chepa menjadi persinggahan seterusnya. Masjid negeri sudah tentu menjadi lokasi wajib yang mesti ku singgah. Masjid Muhammadi atau Masjid Besar ini adalah masjid utama yang menjadi tumpuan di tengah-tengah bandar Kota Bharu. Kubah menaranya yang unik berwarna emas menjadi mercu tanda unik bagi masjid ini.
Masjid Muhammadi, Kota Bharu |
Dari kesibukan bandar Kota Bharu, perjalanan diteruskan ke Pulai Condong. Masjid yang sederhana binaannya ini terasa tenang sekali. Tiada binaan yang gah tetapi cukup nyaman dan selesa berada seketika disini.
Masjid Pulai Chondong |
Kemudian bergerak pula menuju ke Selising. Singgah solat Zohor di sebuah masjid baru iaitu Masjid Solahuddin Al Ayubi. Masjid ini tidak begitu besar, kalau di tempat saya, umpama sebuah surau sahaja. Penduduk disini sungguh ramah sekali. Sempatlah juga makan di rumah seorang jemaah masjid yang mempelawa untuk makan tengahari di rumahnya.
Masjid Solahuddin Al Ayubi, Selising |
Pasir Putih yang mengambil masa 20 minit perjalanan dari Selising menjadi destinasi seterusnya. Masjid Mukim Tasik Tualang Tinggi menjadi persinggahan seterusnya. Berbentuk ala rumah tradisional, masjid ini sangat cantik sekali senibinanya.
Masjid Mukim Tasik Tualang, Pasir Putih |
Dari Pasir Putih, bergerak pula turun lagi keselatan lalu melintasi sempadan. Selamat datang ke Negeri Terengganu. Singgah di Masjid Hadhari di Pekan Jerteh. Masjid yang tersergam indah ini di bina pada zaman pemerintahan Pak Lah yang begitu sinonim dengan perkataan Hadhari. Senibinanya yang berinspirasikan rekaan dari Timur Tengah ini sangat memukau pandangan. Tidak melepaskan peluang untuk mengambil kesempatan bersolat Asar disini
Masjid Hadhari, Jerteh |
Dari Jerteh, saya membuat keputusan untuk menyusuri jalan di pesisir pantai. Lokasi persinggah seterusnya adalah di Penarik, Setiu. Sesuai dengan namanya, Masjid Penarik menjadi persinggahan seterusnya. Rekaan senibina masjid ini amat menarik sekali terutama pada kubahnya. Lama juga berada disini bagi melepaskan lelah sambil menanti azan Maghrib bergema.
Kebetulan ada pula kuliah selepas Maghrib maka, peluang keemasan ini tidak di lepaskan. Selesai solat Isyak, ada pula jamuan makan. Alhamdulillah...murah rezeki malam itu.
MAsjid Penarik, Setiu |
Selesai makan, memanglah hajat di hati hendak mencari tempat penginapan. Tetapi jika sudah tertulis rezeki saya, masakan mahu di tolak. Seorang ahli jemaah menjemput untuk bermalam di rumahnya. Selesai masalah untuk mendapatkan tempat bermalam.
Keesokannya selepas solat subuh, saya meminta izin kepada tuan rumah untuk bergerak bagi meneruskan kembaraku. Perjalanan kali ini agak jauh kerana bercadang untuk terus sampai ke Kuala Terengganu. Setibanya di Kuala Terengganu, lokasi pertama adalah Masjid Kristal. Masjid yang menjadi mercu tanda paling terkenal di Kuala Terengganu.
Ianya memang benar sekali, masjid ini cukup indah seperti kilauan cahaya permata. Masjid secantik ini sayangnya kulihat bagaikan berfungsi lebih kepada tarikan pelancong daripada meriah dengan jemaah. Mungkin kerana faktor lokasi...Alangkah sedihnya...
Masjid Kristal, Kuala Terengganu |
Masjid seterusnya yang menjadi tarikan saya adalah Masjid Sultan Zainal Abidin. Juga di kenali dengan nama Masjid Putih kerana warna putih menjadi warna utama di sini. Senibina masjid ini sungguh indah sekali. Gabungan pelbagai senibina diadun baik dan harmoni sekali.
Masjid Sultan ZAinal Abidin, Kuala Terengganu |
Kembaraku di Kuala Terengganu berakhir di masjid terapung di Kuala Ibai. Masjid Tengku Tengah Zaharah ini memang cantik sekali. Rekabentuk dan lokasinya menjadikan ia bagaikan bersatu dengan alam. Cukup hanya berwarna putih sudah menyerlahkan kecantikan senibina masjid ini.
Masjid Tengku Tengah Zaharah, Kuala Ibai |
Setelah puas meronda seluruh bandar Kuala Terengganu, bergerak pula menuju ke Pekan Marang. Disini singgah seketika di Masjid Sultanah Nur Zahirah untuk menikmati keindahan bangunan yang tersergam indah ini.
Masjid Sultanah Nur Zahirah, Marang |
Saya menukar haluan untuk tidak menyusuri laluan dipersisir pantai. Bergerak pula ke pekan Kuala Berang. Disini, bertemu seketika dengan rakan lama di Masjid Sultan Mahmud. Kubah besar berwarna kuning menjadi identiti utama masjid ini. Cukup bersih dan terjaga luar dan dalam. Rekaan masjid seperti ini cukup popular di penghujung tahun 80an.
Saya mengambil peluang untuk solat Zohor dan jamak Asar kerana destinasi seterusnya agak jauh iaitu bandar Paka.
Masjid Sultan Mahmud, Kuala Berang |
Setelah makan tengahari bersama rakanku, maka terus sahaja bergerak ke bandar Paka. Sampai di sini betul-betul hampir menjelang Maghrib. Masjid Jamek Paka menjadi tempat persinggahanku. Masjid berkubah biru ini sungguh ramai sekali jemaahnya. Senibinanya juga amat menarik seperti berada di negara Timur Tengah.
Rasa begitu letih sekali. Selesai sahaja solat Isyak, tempat penginapan dicari. Sebuah hotel budget menjadi pilihan sebagai tempat bermalam untuk melepaskan segala lelah.
Masjid Jamek, Paka |
Selepas subuh, bergerak laju menuju ke lokasi seterusnya. Perjalanan agah jauh namun tidak terasa apabila menyusuri laluan di persisir pantai yang indah dengan pemandangan laut dan kampung nelayan yang sungguh mengasyikkan. Beberapa kali juga berhenti seketika untuk menikmati keindahan alam ini sambil menjamu selera.
Akhirnya tiba di bandar Kemaman, Masjid Kampung Tuan menjadi pilihan persingggahan. Masjid lama yang sungguh unik ini adalah satu-satunya masjid yang di singgah benar-benar masih mengekalkan ciri-ciri tradional. Bangunan masjid keseluruhannya dari kayu dan papan. Rekaan dan senibinanya jelas berbentuk nusantara. Dapat juga menunaikan solat zohor di sini.
MAsjid Kampung Tuan, Kemaman |
Selesai sahaja solat, tanpa membuang masa, terus bergerak menuju ke selatan. Tidak jauh bergerak, sudah pun melintasi sempadan. Kini telah sampai semula ke Negeri Pahang. Destinasi Seterusnya adalah Bandar Kuantan. Masjid negeri iaitu Masjid Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah menjadi lokasi utama ku.
Masjid indah ini menjadi tarikan utama di Bandar Kuantan. Senibinanya masjid ini sangat menarik dan memukau pandangan. Warna biru putih menjadi warna asas masjid ini sangat menyerlah sekali. Selesai solat Asar, kembara di teruskan lagi
Masjid Sultan Ahmad Mu'adzam Shah, Kuantan |
Dari Kuantan, lokasi seterusnya adalah Gambang. Disini, singgah seketika di Masjid Al- Makmur. Masjid Indah berkubah warna keemasan di kelilingi banyak menara kecil. Rekaan yang sinonim dari senibina India Mongul. Dapatlah juga berehat seketika dan menunaikan solat Maghrib.
Masjid Al-Makmur, Gambang |
Selesai solat Maghrib, lokasi seterusnya adalah menuju ke pekan Maran untuk kerumah sahabatku. Tempat persinggahan untuk bermalam. Letih tidak terkata tetapi segar semula apabila hidangan ikan patin gulai tempoyak menjadi lauk makan malam di rumahnya.
Seawal sebelum subuh sudah bersiap-siap untuk memulakan perjalanan. Masjid Maran menjadi lokasi pertama. Solat subuh disini. Bangunan masjid dengan tingkap-tingkap kaca yang besar ini sungguh menarik dan indah sekali.
Masjid Maran |
Segera bergerak menuju ke destinasi seterusnya iaitu Pekan Jerantut. Disini berhenti seketika disebuah masjid yang cukup indah dan mempersonakan. Masjid Lama Daerah Jerantut ini masih cantik terpelihara. Gabungan tiga warna yang sungguh menarik sekali. Senibina unik yang memukau pandangan.
Tidak lama berada disini kerana matlamatnya adalah untuk sampai pulang ke rumah sebelum waktu Asar menjelang tiba. Segera bergerak meneruskan perjalanan.
Masjid Lama Daerah, Jerantut |
Kini...tiada lagi hentian. Bergerak terus melalui pekan Raub lalu menuju ke Kuala Kubu Baru. Tepat sampai di rumah sebelum waktu Asar. Alhamdulillah...misi kembara masjid selama 4 hari 3 malam di negeri Pantai Timur ini telah berjaya dilakukan dengan lancar sekali.
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------
Terima kasih kerana sudi mengikuti kembara bersama ku. Entri ini sebenarnya dibuat khas untuk saudara Fais atau SKA demi menunaikan permintaan beliau di Segmen Khas - Setahun Bersama Relaks Minda iaitu meminta sebuah entri bebas berkaitan Pantai Timur. Semoga beliau berpuas hati dan dapatlah anda semua menyaksikan keindahan senibina masjid yang indah di Pantai Timur.
Admin...
Tidak ada komentar:
Posting Komentar