Minggu, 20 Oktober 2013

Menara Jam Kemerdekaan Malaysia #VMY2014



31 Ogos 1957 tarikh bersejarah, hari kemerdekaan negara Malaysia. Pelbagai acara sambutan di jalankan setiap kali tarikh keramat ini tiba. Yang paling dinantikan adalah detik 12:00 malam di malam 30 Ogos. Pastinya menara-menara jam seluruh negara (Menara Jam Kemerdekaan Malaysia #VMY2014) menjadi tempat tumpuan orang ramai untuk menanti detik 12:00 malam menandakan bermulanya sambutan hari kemerdekaan negara. Bila tiba saatnya, semua orang meraikannya dengan laungan Merdeka! Merdeka! Merdeka! Percikan bunga api di udara menggamatkan dan memeriahkan suasana.

Sambutan Kemerdekaan Malaysia
Sambutan tidak terhenti hanya di malam hari. Seawal jam 8.00 pagi 31 Ogos, orang ramai sudah berkumpul di Dataran Merdeka. Menara Jam di Bangunan Sultan Abdul Samad menjadi saksi kepada sambutan hari kemerdekaan peringkat kebangsaan. 

Pemimpin negara yang diketuai oleh Yang Di Pertuan Agung dan Perdana Menteri serta para menteri kabinet turut berkumpul bersama-sama orang ramai bagi menyaksikan perbarisan dan perarakan dari agensi-agensi kerajaan dan swasta disamping pasukan keselamatan dan unit pakaian seragam. 

Menara Jam Kemerdekaan Malaysia #VMY2014
Perbarisan di Hari Kebangsaan
Disini terserlah keunikan kebudayaan dan kemegahan kemajuan negara. Segalanya di tonjolkan sebagai simbol perpaduan dan kejayaan negara sebagai sebuah negara yang merdeka.

Kini ianya menjadi tarikan bukan sahaja kepada penduduk tempatan tetapi juga kepada pelancong-pelancong luar negara yang amat terpesona dengan keunikan budaya dan perpaduan penduduk negara ini yang hidup bersatu dan penuh harmoni walaupun berbilang bangsa dan agama.

Disebalik sambutan meriah ini, mungkin ramai yang tidak ketahui bahawa 56 tahun dahulu, rakyat negara ini mempunya cara tersendiri dalam menyambut hari kemerdekaan pertama negara. Semangat patriotik dan cintakan negara yang merdeka ini telah di abadikan dengan pembinaan menara jam yang menjadi simbol kemerdekaan negara (Menara Jam Kemerdekaan Malaysia #VMY2014). Ia kebanyakannya di bina hasil dari derma orang ramai. Bukan sebuah tapi ada tujuh buah menara jam telah di bina! Sejarah yang mesti ketahui oleh setiap generasi masa kini. 

Sempena sambutan Kemerdekaan ke 56 Negara Malaysia tercinta ini dan sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 #VMY2014, saya cuba menjejaki ke tujuh-tujuh buah menara yang menjadi simbol semangat patriotik rakyat negara ini dan memperkenalkannya agar menjadi salah satu tarikan bersejarah untuk pelancong-pelancong dari dalam dan luar negara agar lebih mengenali negara ini.

Kembara Menara Jam Kemerdekaan Malaysia #VMY2014
Kembara mencari tujuh buah menara jam ini umpama mencari tujuh keajaiban dunia. Ianya sedikit mudah kerana lokasinya hanya terletak di sebuah negeri...Ya! Negeri Perak Darul Ridzuan. Negeri yang kaya dengan khazanah, sejarah, budaya dan keindahan alam semulajadi yang masih banyak perlu di terokai

Menara Jam Kemerdekaan Malaysia #VMY2014
Menara Jam Condong, Teluk Intan
Perjalanan kembara bermula dari selatan negeri Perak iaitu di bandar Teluk Intan. Disini terletaknya satu mercu tanda yang menjadi simbol unik bandar ketiga terbesar di negeri Perak ini. Hanya dua buah bangunan seumpamanya wujud di dunia ini. 

Selain menara Pisa di Rome, Menara Jam Condong Teluk Intan merupakan menara condong semulajadi seumpamanya. Senibina unik berupa pagoda ini menjadi tarikan utama pelancong di dalam dan luar negara di bandar yang dulunya di kenali sebagai Teluk Anson ini. 

Bangunan indah ini telah siap di bina oleh arkitek cina En. Leong Choon Cheong pada tahun 1892 dan berfungsi sebagai menara air.

Kini ianya masih kukuh berdiri dan dijaga dengan baik oleh MDTI sebagai daya tarikan pelancong, Namun menara ini tidak termasuk dalam senarai tujuh menara yang menjadi Menara Jam Kemerdekaan Malaysia #VMY2014 carian saya.

Menara Jam Kemerdekaan Malaysia #VMY2014
Menara Jam Kampar
Kembara bergerak pula menuju ke bandar seterusnya iaitu ke bandar Kampar. Sampai sahaja di bandar ini, sudah terlihat sebuah menara jam di persimpangan Jalan Iskandar dan Jalan Station sebelum masuk ke pusat bandar Kampar.

Ya..kita telah temui menara jam yang pertama dalam carian Menara Jam Kemerdekaan Malaysia #VMY2014 iaitu Menara Jam Kampar. Jelas terpahat di bangunan menara jam ini "Merdeka 1957".

Rekabentuknya berbentuk segitiga yang mempunyai jam di setiap permukaannya. Menara jam ini sempat beroperasi pada 31 Ogos 1957 walaupun tidak siap sepenuhnya.

Ianya terbina hasil dari derma penduduk setempat sempena menyambut hari kemerdekaan negara yang pertama agar menjadi tanda yang berkekalan sebagai kenangan untuk generasi hadapan. Ianya telah menjalani proses pemulihan dan memperindahkan tapaknya pada tahun 2009.

Dari Kampar kembara saya bergerak terus ke Bandaraya Ipoh. Di bandaraya ini terdapat beberapa buah menara jam. Yang mana satukah yang menjadi salah satu dari tujuh menara yang menjadi Menara Jam Kemerdekaan Malaysia #VMY2014? Menara Jam Besar Birch, sebuah menara jam yang di bina khas bagi memperingati kejadian Residen Inggeris pertama di Perak yang mati di bunuh di Pasir Salak.

Siap di bina pada tahun 1909 oleh kerajaan British. Ianya menjadi monumen bersejarah tentang kebangkitan pejuang-pejuang Bangsa Melayu dalam menentang penjajahan. Walaupun ianya ada kaitan dengan sejarah perjuangan tetapi ia bukanlah menara jam yang saya cari.

Menara Jam Kemerdekaan Negara #VMY2014Menara Jam Kemerdekaan Malaysia #VMY2014

Sebuah lagi menara jam ini pula masih baru lagi di bina di kawasan Bandar Baru Ipoh. Sudah tentu ianya tidak termasuk dalam senarai.

Menara Jam Kemerdekaan Malaysia #VMY2014
Menara Jam Dataran Ipoh
Dari jauh sudah ternampak sebuah menara yang cukup tinggi di tengah-tengah Dataran Bandaraya Ipoh di kawasan Geentown. Ianya amat menarik perhatian saya. Lokasi yang amat strategik dan menjadi tumpuan orang ramai di bandaraya ini

Rekabentuknya yang unik dengan tiga kakinya yang memanjang tinggi menyokong sebuah kubah besar di puncaknya. Sungguh menawan sekali rekaan Menara Jam Dataran Ipoh ini. Di bawah kubah pula terletak jam besar di ketiga-tiga permukaan.

Ya...inilah menara jam yang saya cari Menara Jam Kemerdekaan Malaysia #VMY2014 yang kedua! Menara jam ini menjadi tumpuan penduduk setiap kali menanti detik 12:00 malam setiap tahun pada malam 30 Ogos. Bertepatan dengan matlamat pembinaannya yang menjadi simbol kemerdekaan tanah air kita dan telah berdiri megah sejak 56 tahun dahulu.

Menara jam kedua yang menjadi Menara Jam Kemerdekaan Malaysia #VMY2014 ini terus terjaga dan menjadi simbol kebanggaan seluruh warga Ipoh. 

Menara Jam Kemerdekaan Malaysia #VMY2014
Menara Jam Sungai Siput
Puas sudah meneroka Bandaraya Ipoh yang semakin maju dan moden, bergerak pula naik ke utara iaitu ke bandar Sungai Siput. Ramai yang tidak mengetahui, di pekan kecil inilah terletaknya salah sebuah menara jam yang menjadi simbol kemerdekaan negara Malaysia.

Menara Jam Sungai Siput yang terletak di jalan besar merupakan menara jam ketiga dalam carian Menara Jam Kemerdekaan Malaysia #VMY2014. Jelas tertera di menara jam ini, "Merdeka 1957" menjadi saksi perpaduan penduduk disini yang menghulurkan derma untuk pembinaannya.

Ianya telah di rasmikan dengan meriahnya oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama iaitu Tunku Abdul Rahman pada 20 Januari 1958.

Kini ianya agak terbiar dan ramai yang tidak mengendahkan kewujudannya. Satu warisan sejarah yang perlu dijaga dan dikekalkan untuk tatapan generasi akan datang sebagai lambang yang menjadi kebanggaan penduduk Sungai Siput.

Dari Sungai Siput, kembara terus ke Kuala Kangsar. Bandar di Raja di tebing Sungai Perak ini sungguh cantik dan mempersonakan. Pelbagai bangunan bersejarah yang cukup indah rekaannya terdapat disini seperti Istana Kenangan, Istana Bukit Chandan, Pavilion dan Masjid Ubudiah. 

Tapi yang pastinya yang menarik perhatian saya adalah sebuah menara jam di tengah-tengah bandar ini. Inilah menara jam keempat dalam carian Menara Jam Kemerdekaan Malaysia #VMY2014. Rekabentuknya sungguh menawan dengan kubah emas di puncaknya. 

Menara Jam Kuala Kangsar ini telah siap dibina pada tahun 1939 menggunakan dana kerajaan negeri Perak dan sumbangan rakyat Kuala Kangsar sebagai satu peringatan sambutan pertabalan King George VI di England namun ianya di ubah kepada menara jam sambutan kemerdekaan negara Malaysia mulai 31 Ogos 1957. Menara indah ditengah Bulatan Bandar ini kini menjadi simbol kebanggaan pembebasan negara ini dari penjajah.

Menara Jam Kemerdekaan Malaysia #VMY2014Menara Jam Kemerdekaan Malaysia #VMY2014

Singgah pula di Kolej Melayu yang terkemuka dan ternama sebagai tempat terlahirnya ramai tokoh-tokoh pemimpin dan tonggak pembangunan negara. Kolej Melayu Kuala Kangsar atau MCKK cukup gah namanya. Sebuah menara jam di puncak salah sebuah bangunannya menjadikan simbol betapa berharganya masa kepada setiap manusia. 

Dari Kuala Kangsar, menuju pula ke Bandar Taiping. Bandar kedua terbesar di Perak ini menjadi bandar yang sangat bersejarah dalam negeri Perak mahupun negara Malaysia. Pernah menjadi ibu negeri Perak, Bandar Taiping menjadi tonggak kemajuan dan ekonomi terbesar negara di zaman kegemilangannya. Banyak sekali bangunan bersejarah dan lokasi daya tarikan pelancong berada di sini.

Menara jam tidak terkecuali dan Menara Jam Besar Taiping menjadi tarikan dengan senibina indah kolonial British. Pernah di jadikan Balai Bomba sebelum ianya berfungsi sebagai Pejabat Penerangan Pelancongan Taiping di kala ini. Walaupun bangunan ini sangat bersejarah dan berusia lebih dari 100 tahun, ianya bukanlah Menara Jam Kemerdekaan Malaysia #VMY2014 dalam pencarian saya.

Menara Jam Kemerdekaan Malaysia #VMY2014Menara Jam Kemerdekaan Malaysia #VMY2014

Sebuah lagi menara jam di bandar Taiping ini juga menarik perhatian saya. Dengan menggunakan angka digital sudah tentu menara jam ini bukan di bina pada tahun 1957. 

Menara Jam Kemerdekaan Malaysia #VMY2014
Menara Jam Parit Buntar
Dari bandar Taiping, kembara diteruskan ke bandar Parit Buntar. Sebuah menara jam yang sungguh indah dan menarik terletak di persimpangan Bulatan Jalan Peh Kong, Jalan Taiping dan Jalan Dewan.

Menara jam kelima dalam carian Menara Jam Kemerdekaan Malaysia #VMY2014. Menara Jam Parit Buntar ini telah siap pada tahun 1959 dan dibuka oleh Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman pada 24 Ogos 1961.

Ianya di bina sebagai simbol kemakmuran dan kemerdekaan negara Malaysia yang bebas dari penjajah. Rekaan umpama sebuah menara masjid ini sangat mengagumkan. Terdapat 4 buah jam besar di letakkan di setiap permukaan atas menara ini.

Menara Jam Kemerdekaan Malaysia #VMY2014
Menara Jam Parit
Perjalanan kembara saya kini menghala balik semula ke arah selatan. Singgah pula di Pekan Parit. Menurut sejarah, Ngah Sagor merupakan orang pertama membuka kawasan ini dan menamakannya "Parit" sempena lokasi mendarat beliau disekitar kawasan parit/alur sungai lalu membuka penempatan disekitar alur tersebut yang sekarang terletak berhampiran pasar Parit.

Di pekan inilah terletaknya menara keenam Menara Jam Kemerdekaan Malaysia #VMY2014 iaitu Menara Jam Parit. Rekaan dengan senibina Moor dan inskripsi "Amaran Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu," telah dirasmikan pada 20 Januari 1963 oleh Tun Abdul Razak yang ketika itu berjawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri. Menara jam ini telah dibina dengan kos sebanyak 3,370 USD daripada wang yang dikumpulkan hasil derma penduduk tempatan.

Menara jam ini masih tersergam indah di jalan besar di Pekan Parit, menjadi simbol kebanggaan dan kemerdekaan penduduk tempatan dan menjadi mercu tanda utama pekan ini.

Kini saya bergerak ke pula ke lokasi terakhir dimana Menara Jam Kemerdekaan Malaysia #VMY2014 telah dibina. Lokasi di pinggir laut Selat Melaka iaitu di Bandar Lumut. Lokasi tumpuan dan amat terkenal di negeri Perak. Di sinilah terletaknya jeti iaitu laluan utama untuk ke Pulau Pangkor, salah satu pulau pelancongan terkenal di Malaysia.

Menara Jam Kemerdekaan Malaysia #VMY2014
Menara Jam Lumut
Lumut juga dikenali sebagai pelabuhan perdagangan dan pengkalan terbesar Tentera Laut Diraja Malaysia. Arus pembangunan di sini sungguh pesat. Menjadi sub pelancongan dan perkilangan di pinggir pantai.

Puas meronda di sekitar bandar Lumut namun tidak di temui menara jam ketujuh Menara Jam Kemerdekaan Malaysia #VMY2014 ini. Akhirnya seorang penduduk tempatan memberitahu bahawa Menara Jam Lumut ini sudah di musnahkan kerana pembangunan Pelabuhan Lumut suatu ketika dulu. Maka hilanglah satu monumen sejarah yang menjadi lambang kemerdekaan negara Malaysia ini.

Menara Jam Lokasi Tarikan
Kembara bersejarah mencari menara jam kemerdekaan Malaysia #VMY2014 ini berhenti disini. Semoga ianya dapat memberi pengalaman dan maklumat berguna buat anda. Tahun hadapan, sekali lagi negara kita menganjurkan Tahun Melawat Malaysia 2014 #VMY2014. Semoga lokasi-lokasi ini menjadi tarikan pelancong untuk persinggahan bersejarah dan merasai semangat perpaduan dan cintakan negara dengan satu matlamat iaitu sebuah negara Malaysia yang bebas merdeka.

Menara jam menjadi simbol kemerdekaan negara yang paling tepat. Lokasi tumpuan dan mercu tanda utama bagi sesebuah kawasan. Kenali Malaysia...Cintai Malaysia, bersama kita memeriahkan dan mengalu-alukan kedatangan pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 #VMY2014. Sila ke http://www.tourism.gov.my/en/my/Web-Page/My-Malaysia untuk lebih informasi. Tonjolkan keunikan, kebudayaan dan keharmonian kita yang hidup aman sentosa di bumi bertuah ini.

Jika anda beminat, anda boleh lihat lagi pelbagai menara jam yang terdapat diseluruh Malaysia di SINI


Segmen Tahun Melawat Malaysia 2014 | #VMY2014 dianjurkan oleh Panduan OHBlogger Blogspot Malaysia | HASRULHASSAN.COM dan Kelab Blogger Belia


Admin...

Tidak ada komentar:

Posting Komentar