Sabtu, 28 Desember 2013

Kitar Semula Kertas


Kitar Semula Kertas
Timbunan kertas
Kitar Semula Kertas (paper recycle) - Kertas adalah salah satu bahan yang cukup banyak digunakan dan boleh dilihat hampir dimana-mana sahaja. Didalam rumah, pejabat, sekolah, kedai, hotel, kereta, tandas dan dimana-mana sahaja pasti akan ada kertas atau produk yang diperbuat dari kertas.

Penggunaan yang banyak juga menyumbang kepada banyaknya bahan buangan daripada kertas. Walaupun sehelai kertas senipis 0.01mm tetapi apabila jumlahnya banyak ia akan menjadi satu beban yang sangat berat!

Berikut adalah beberapa fakta mengenai kertas yang perlu anda ketahui:
  • Lebih dari 70% tenaga dapat dijimatkan jika kertas kitar semula diproses berbanding membuat kertas dari bahan asasnya. 
  • Proses kitar semula kertas mengurangkan 73% pencemaran udara berbanding proses membuat kertas dari bahan asasnya.
  • Di United Kindom sahaja, secara purata sebanyak 38kg kertas digunakan oleh setiap seorang penduduknya dalam setahun.
  • Sebanyak 24 pokok pine diperlukan untuk menghasilkan 1 tan kertas suratkhabar.
Kitar Semula Kertas
Kitaran Kertas 

Kepentingan Kitar Semula


Kitar Semula Kertas
Selamatkan Bumi Ini
Dari fakta diatas kita dapat lihat betapa pentingnya kertas perlu di kitar semula. Kita semua tahu bahawa bahan asas utama kertas adalah kayu yang berasal dari pokok. Maka dengan kitar semula kertas kita dapat menyelamatkan dan mengurangkan penebangan pokok yang menjadi sumber oksigen untuk kehidupan semua makhluk serta mengurangkan kesan rumah hijau keatas bumi ini.

Kitar semula juga menyumbang kearah mengurangkan kemusnahan dan pencemaran disamping memeliharaan alam semulajadi yang semestinya untuk kehidupan yang lebih aman, selamat dan selesa.

Bukan mudah untuk membudayakan amalan kitar semula. Namun jika anda kenangkan nasib generasi akan datang...Ya, bukan orang lain...ianya mungkin anak cucu kita.

Mahukah anda melihat mereka hidup menderita akibat dari kecuaian, sikap penting diri dan tidak prihatinnya kita dimasa kini? Oleh itu cubalah bertindak walaupun sedikit kerana setiap helai kertas yang anda kitar semula itu amat bermakna dan tidak ternilai harganya.

Pengumpulan Kertas Terbuang

Berikut adalah cara-cara terbaik untuk menguruskan kertas-kertas terpakai dan terbuang. Jadikan ia amalan sama ada dirumah atau ditempat kerja anda. Setiap kertas berbeza kualiti dan kandungannya. Adalah lebih baik anda mulakan dengan pengasingan mengikut jenis kertas tersebut.

Kitar Semula Kertas
Kitar semula kertas
Asingkan kertas mengikut kumpulan seperti berikut:
  1. Majalah dan buku
  2. Surat Khabar
  3. Kertas kajang
  4. Kadbod dan kotak
  5. Sampul surat dan penyata.
Jika anda tidak mampu asingkan mengikut kumpulan pun tak mengapa, cuma pastikan yang anda kumpul itu semuanya adalah bahan dari kertas. Kertas terbuang mempunyai nilai yang tinggi dipasaran kerana sumbernya yang semakin terhad dan mahal.

Kertas-kertas yang telah diasingkan tadi bolehlah dijual ditempat pungutan dan pengumpulan barangan kitar semula. Lihatlah! Barang terbuang juga memberi pulangan buat anda! Walaupun nilainya mungkin kecil tetapi sumbangan anda dalam memastikan ianya tidak terbuang begitu sahaja tidak ternilai harganya.

Jimat Guna Kertas

Selain dari dijual, amalan penjimatan penggunaan kertas juga mesti dijadikan amalan. Antara kaedah penjimatan yang boleh anda lakukan adalah:
  • Setiap helai kertas mesti digunakan dikedua-dua belah helaiannya.
  • Sediakan bekas khas untuk kertas yang terpakai tapi boleh digunakan (kitar semula).
  • Kitar semula sampul surat terpakai untuk kegunaan dalaman. 
  • Kurangkan penggunaan kertas didalam kertas kerja, mesyuarat dan pembentangan.
  • Dapatkan sumber maklumat dan berita secara online melalui internet.
  • Rekod dan data semuanya disimpan dalam bentuk softcopy.
  • Gunakan e-mail sebagai pengganti surat dan faks.
  • Penggunaan papan notis untuk rujukan semua orang dalam menyampaikan makluman dan risalah.
Kitar Semula Kertas
Surat khabar lama
Amalan ini bukan sahaja menjimatkan penggunaan kertas tetapi mengurangkan kos perbelanjaan anda malah memberi kesan sampingan lain seperti meminimumkan penggunaan ruang dan tempat untuk menyimpan serta memudahkan kerja.

Itu adalah hasil bermanfaat yang dapat anda lihat dan nikmati secara terus tetapi yang lebih tidak ternilai adalah sumbangan anda dalam memelihara alam ini untuk kehidupan yang lebih aman, selamat dan selesa serta untuk generasi akan datang. Ketahuilah, setiap 4 kaki tinggi kertas surat khabar yang anda kumpul adalah bersamaan dengan sepokok pine setinggi 40 kaki! 

Kitar Semula Kertas
Sayangilah alam yang indah ini
Bersama kita mulakan... Jom Kitar semula!
Pelihara alam semulajadi. Fikir dulu sebelum buang...


Author by Bin Muhammad

Tidak ada komentar:

Posting Komentar