Senin, 16 Desember 2013

Masjid Berlantai Tanah Berbumbung Langit - Shanke Yadem



Masjid Berlantai Tanah Berbumbung Langit
Masjid Shanke Yadem
Sebuah masjid istimewa dan masih berfungsi sehingga kini. Hanya mempunyai dinding dan dua menara. Masjid ini berlantai tanah dan berbumbung langit. Itulah Masjid Shanke Yadem di Turki. Kenapa agaknya ia berbentuk sedemikian?

Khairudin Afandi

Di sebuah kawasan bernama Al-Fateh, di pinggir kota Istanbul, Turki. ada seorang yang warak dan sangat sederhana, namanya Khairuddin Afandi. Setiap kali ke pasar dia tidak membeli apa-apa. Bila merasa lapar dan ingin makan atau membeli sesuatu, seperti buah, daging atau manisan atau lain-lainnya, dia berkata pada dirinya, "Anggap saja aku dah makan..."

Wang yang sepatutnya digunakan untuk membeli keperluan makanan itu dimasukkan ke dalam kotak simpanan.… Begitulah yang dia lakukan setiap bulan dan sepanjang tahun. Dia mampu menahan dirinya untuk tidak makan dan belanja kecuali hanya untuk menjaga kelangsungan hidupnya saja.

Begitulah, hari berganti hari, bulan berganti bulan, tahun berganti tahun Khairuddin Afandi amat berdisiplin dengan amal dan niatnya yang kuat untuk mewujudkan impiannya iaitu membina sebuah masjid. Ya! Membina sebuah masjid!

Cita-Cita Menjadi Nyata

Tanpa disedari dengan tabungan yang sedikit demi sedikit, akhirnya Khairuddin Afandi mampu mengumpulkan dana untuk membina sebuah masjid kecil di daerah tempat tinggalnya. Bentuknya pun sangat sederhana, hanya sebuah pagar bersegi empat, berlantai tanah dan hanya berbumbung langit dan ditanda dengan dua menara di sebelah kiri dan kanannya. Arah kiblat pula mengarah dinding yang ditengahnya dibuat seperti mihrab.

Masjid Berlantai Tanah Berbumbung Langit
Berlantai Tanah Berbumbung Langit 
Khairuddin Afandi berjaya mencapaikan cita-citanya yang amat mulia itu manakala masyarakat di sekitarnya pula kehairanan. Bagaimana Khairuddin yang miskin boleh membina sebuah masjid? Begitulah hebatnya Khairuddin Afandi walaupun miskin wang tetapi kaya dengan sifat dermawan, sehingga orang kaya pun tak mampu buat begitu.

Setelah masjid itu tegak, masyarakat tertanya-tanya dan setelah mendengar cerita yang sangat menakjubkan itu, merekapun sepakat memberi nama masjid tersebut dengan nama, “Anggap saja aku dah makan." atau dalam bahasa Turki disebut 'Shanke Yadem'

Kesimpulan dan Pengajaran

Subhanallah! Sekiranya orang-orang kaya dan berkemampuan dari kaum Muslimin di dunia ini berfikiran seperti Khairuddin Afandi, berapa banyak dana yang akan terkumpul untuk kaum fakir miskin? Berapa banyak masjid, sekolah, rumah sakit, dan keperluan umat yang dapat dibangunkan? Berapa banyak kemudahan yang dapat kita realisasika, tanpa perlu membuat pinjaman atau menerima dana dari negara yang memusuhi Islam dan umatnya?

Begitu banyak pembaziran dilakukan sama ada dalam bentuk makanan, pakaian dan lain-lain. Tanpa perlu melihat negara-negara Arab, lihatlah didalam negara kita sendiri, disekitar kehidupan kita dan diri sendiri. 

Masjid Berlantai Tanah Berbumbung Langit
Masjid Shanke Yadem
Jikalah kaum Muslimin memiliki konsep hidup sederhana, mementingkan kehidupan akhirat dan mengutamakan istana di syurga berbanding rumah di dunia, seperti yang dimiliki Khairuddin Afandi ini, pastilah umat ini mampu meninggalkan yang haram dalam hidup mereka. Mereka pasti mampu mengalahkan syahwat duniawi yang menipu itu.

(Q.S. Al-A’raf / 7 : 96) "Maka ambil pelajaranlah wahai orang-orang yang menggunakan akal yang sihat!"

Oleh itu kewujudan Masjid Shanke Yadem yang berlantai tanah dan berbumbung langit ini sebenarnya membuka minda dan memberi pengajaran buat kita. Jika kita mempunyai niat yang baik dan berusaha mencapainya...Insyaallah tiada yang mustahil apatah lagi jika ianya demi agama dan kerana Allah swt. 

(Sumber :Dari buku 'Keajaiban Sejarah Ustmani', oleh Urkhan Mohamad Ali)

Author by Bin Muhammad

Tidak ada komentar:

Posting Komentar