Selasa, 10 September 2013

Setahun Sudah Berlalu - Blog Relaks Minda


Assalamualaikum...dan Salam Sejahtera buat anda, tetamu istimewa Blog Relaks Minda. Syukur, Alhamdulillah...Sudah setahun berlalu, Relaks Minda berada di dunia blog. Ianya kini menjadi kenangan bersejarah dan pahit manis dari kelahiran sebuah blog yang bermula pada 10 September 2012 ini. Bermula dari hanya sekadar menepek gambar untuk kesinambungan dari Facebook Page Relex Minda akhirnya menjadi seperti apa yang anda lihat sekarang ini. 

Facebook Relex Minda

Kelahiran Blog Relaks Minda

Pada usia yang saya kirakan terlalu lewat untuk mengenali dunia blogging tambahan pula tiada sebarang pengetahuan untuk membuat sebuah blog, ianya memberi sedikit kesukaran pada permulaannya. Mencari informasi melalui enjin carian tentang cara-cara membuat blog, belajar template, coding dan sebagainya. Sedikit demi sedikit ilmu dikutip. Hanya berbekalkan pengetahuan sendiri, mencuba dengan kaedah cuba jaya...klik sana-sini, belajar instruction yang diberi dan akhirnya dapat juga publish post INI yang seterusnya membuka langkah pertama saya di dunia blogging ini.

Belajar dan berusaha pula untuk promosi blog. Ping kesana-sini dan promosi di media sosial. Dapatlah juga kunjungan tapi sekadar singgah. Bulan pertama blogging, hanya mendapat 800+ PV

Header pertama Relaks Minda

Mencari Identiti

Kegilaan untuk mendapatkan pengunjung bagaikan memberi satu semangat untuk terus belajar, menimba ilmu  dan mencari rahsia dunia blogging. Pelbagai blog-blog otai digeledah dan artikel-artikel panduan blogging di terjah. Pertama sekali apa yang saya dapat pelajari; untuk menjadikan sebuah blog yang berjaya dan disukai ramai adalah perlunya kualiti di dalam entri serta penampilan blog. Perbezaan dan keunikan blog, entri dan niche mampu menjadikan blog anda mudah dikenali dan boleh menyerlah.

Bermula dari situ saya menetapkan niche blog yang bermotifkan perkongsian secara santai bersama keindahan alam semulajadi, kreativiti, informasi, keceriaan dan eksplorasi untuk ketenangan hati dan minda di samping mengingati dan mengagumi kebesaran Ilahi. Cuba untuk menzahirkan sebuah Blog untuk anda berehat dan menenangkan minda buat seketika di alam siber ini.
Header kedua sebelum yang sekarang ini

Ilmu Blogging & Trafik

Setiap hari memerah idea dan mencari sumber untuk entri dan mengarang agar ianya menjadi satu artikel yang menarik. Cuba juga untuk menggunakan bahasa melayu dengan betul. Namun...jika sesuatu yang baik dan bermanfaat yang ingin disampaikan tapi tiada pembacanya, sia-sia sajalah niat murni anda. Blogging walaupun sekadar untuk suka-suka tapi ingatlah, ianya adalah medium terbaik untuk kita beramal dan berkongsi ilmu kerana ianya kekal dan boleh di lihat tanpa batasan oleh semua orang.

Maka bermulalah pula belajar dengan lebih mendalam cara membuat entri yang berkualiti dengan teknik yang betul. Mula mendaftar dengan pengindeks entri seperti feedburner, webmaster dan bing. Belajar cara untuk meningkatkan dan mendedahkan blog agar lebih mesra dengan enjin carian. Semua ilmu dikutip melalui pembacaan dan pengalaman secara tidak formal.

Dari sinilah bermulanya peningkatan ketara trafik pengunjung ke Relaks Minda. Dari hanya 0~50 PV sehari, sehinggalah kini telah mencecah 3000+ PV. UV juga sudah mula hendak stabil 1000+ sehari.

Sebanyak 449 entri (termasuk entri ini) sudah di terbitkan. Sikitnya lah...

Data pengunjung Relaks Minda dari Google Analytics

Setahun Sudah Berlalu

Blogging telah mengajar erti bahawa persahabatan tanpa bertemu muka juga mampu memberi satu ikatan yang sungguh menakjubkan. Tanpa komen, entri anda bagaikan tiada memberi kesan walaupun anda tahu ianya di kunjungi ramai. Bermulalah kenal dengan istilah blogwalking (BW). Mulalah juga mengenali pelbagai ragam dan keseronokan dunia blogging bersama blogger nya. Anda sendiri pun tahu akan keseronokan ini...

Setahun blogging juga mengubah hidup ini menjadi lebih kerap mengadap komputer. Menikmati pelbagai cerita dan informasi dari pelbagai blogger yang menjadi sebahagian dari rakan yang perlu disapa setiap hari. Bagaikan disuntik virus kerinduan yang melekat diingatan jika tidak dapat membuka blog walaupun sehari.

Setahun blogging juga mengajar diri agar menjadi seorang yang lebih bersyukur dan berterima kasih. Kekecewaan mengajar erti perlunya memaafkan dan berfikir lebih positif. Pengalaman entri anda di copy paste mengajar diri akan kesabaran dan redha. Jika ianya adalah sesuatu yang baik, tiada apa yang perlu di risaukan...bersyukur kerana amal jariah telah dipanjangkan. Jumlah follower yang kurang juga memberi peluang lebih untuk saya selalu menerjah entri anda.

Setahun blogging menjadikan diri ini lebih berhati-hati dan berfikir sebelum menulis kerana ketahuilah bahawa mata pena itu lebih tajam daripada pedang. Mampu menghiris hati dan mencetus perbalahan. Blogging juga mengajar diri untuk lebih bertoleransi dalam menjalinkan kemesraan serta meneka dalam kesamaran tapi masih menjaga batas dan susila sebagai seorang manusia yang beragama Islam.

Setahun sudah berlalu belum cukup memberikan saya kepuasan. Masih terlalu banyak kekurangan dan masih perlu banyak lagi menimba ilmu. Untuk mengekalkan prestasi itu amat sukar dilakukan. Anak-anak muda sekarang sangat cekap dalam ilmu internet, persaingan cukup sengit. Bersyukur kerana saya dapat menikmati dan mengenali dunia blogging ini walaupun sedikit terlewat. Tiada yang mustahil andai ada minat dan usaha. Lakukan dengan ikhlas, sabar dan beretika...Insyallah anda juga boleh berjaya.

Setelah setahun, kini saya dedahkan wajah sebenar Bin Muhammad.
Sikit-sikit ye... Dulu pernah merancang jadikan ini sebagai header Relaks Minda

Selagi diizinkan dan masih mempunyai masa...blog ini akan terus beroperasi tetapi saya tidak menjanjikan ianya sampai bila. Jika sampai masanya ia terhenti...maka berhentilah ia. Blogging juga umpama roda yang berputar, ada masa diatas ada masa dibawah....dan ada masanya berhenti dan bergerak semula sehingga sampai masanya akan terhenti selamanya....

Terima Kasih

Terima kasih kepada anda yang telah bersama saya selama setahun saya di dunia blog ini. Kehadiran sahabat dan tetamu amat-amat saya hargai dan hormati. Terima kasih yang tidak terhingga. Ampun dan maaf di pohon andai ada sebarang salah dan silap dari segi fakta mahu pun mengguris hati anda sama ada daripada kandungan entri, balasan komen mahupun komen saya di blog anda. Saya juga manusia yang lemah...tidak lepas dari melakukan kesilapan.

Teruskan bersama Relaks Minda... Syukur..Alhamdulilah Setahun sudah berlalu. Jadilah kita seorang blogger yang berilmu, berkongsi kebaikan dan beretika. Semoga saya dan anda semua beroleh keberkatan dalam blogging... Insyaallah.


p/s: setahun sekali menulis karangan panjang...harap anda sudi membacanya
Admin...

Tidak ada komentar:

Posting Komentar