Assalamualaikum... Alhamdulillah, bertemu kita lagi di hari Jumaat yang mulia ini. Dari Johor, kini kita bergerak naik sedikit ke utara iaitu ke Negeri Melaka, Negeri Bersejarah. Pastinya masjid-masjid di sini terkenal kerana senibinanya yang penuh bersejarah sinonim dengan kegemilangan Melaka suatu ketika dulu. Malah di melaka jugalah terletaknya masjid tertua di negara ini.
Mari kita nikmati dan kenali keindahan senibina masjid yang terdapat di Negeri Melaka dan saksikan keunikan yang membezakan ia dari negeri-negeri lain. (Entri ini sedikit berat kerana banyak gambar, harap anda bersabar)
Masjid Tengkera, Melaka merupakan sebuah masjid yang terletak di Tengkera dalam daerah Melaka Tengah, Melaka. Ia dibina pada tahun 1728 dan merupakan masjid bersejarah kerana dibina pada zaman pemerintahan Belanda. Masjid ini juga adalah masjid yang kedua tertua di Malaysia selepas Masjid Kampung Hulu yang juga di Melaka.
Keunikan reka bentuk Masjid Tengkera pada zaman itu membuktikan bahawa Islam telah bertapak di Melaka sejak 600 tahun yang lalu. Pada asalnya, masjid ini diperbuat daripada kayu dengan atapnya daripada daun nipah dan tiangnya daripada kayu berlian atau ulin yang diimport dari Kalimantan, Indonesia. Masjid ini telah diperbaharui dua kali pada tahun 1890 dan 1910.
Bangunan ini berbentuk segiempat tepat dan mempunyai bumbung tiga tangkup. Senibina masjid ini adalah percampuran kebudayaan luar dengan tempatan dimana bumbung menyerupai bumbung rumah limas iaitu Istana Sultan Mansur, menara pula berbentuk pagoda dari China dan kubah segiempat umpama piramid di Mesir. (sumber dari Wikipedia dan Arkeb Negara)
Masjid Selat, Melaka, yang dibina di Pulau Melaka dan terletak di tepi Selat Melaka, selat yang terpanjang dan tersibuk di dunia. Menelan belanja hampir RM11 juta, masjid tersebut yang dibina di atas tanah tebus guna yang berkeluasan 1.8 hektar mempunyai ciri-ciri seni bina Melayu dan Timur Tengah.
Masjid tersebut mampu menampung kira-kira 2,000 jemaah pada satu-satu masa.Ia mula dibina pada Jun 2003 dan siap sepenuhnya pada 29 Ogos 2006. Ia dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail ketika itu pada 24 November 2006.
Rekaan dan senibina masjid ini mendaulatkan konsep seni bina Melayu. Ini boleh kita dapati elemen batang buluh yang pangkalnya dibelah atau pecah dua dan membentuk beberapa bahagian menjadi konsep rekaan.Empat kubah kecil yang terletak di setiap penjuru mengapit kubah yang besar. Iaitu kubah besar yang indah dan unik menaungi Dewan Besar Solat yang berukuran 24 diameter. (sumber dari Utusan Malaysia)
Masjid Al Abidin di Merlimau
Masjid Al-Abrar di Semabok
MAsjid Al-Alami di Ayer Keroh
Masjid Al-Aliyyah di Pulau Sebang
Masjid Al-Kahairiah di Kampung Teluk Mas
Masjid As Sujaah di Merlimau
MAsjid As Syuhada di Kem Terendak
Masjid di Ayer Molek
Masjid di Bukit Beruang
Masjid Dahariyah di Brisu
Masjid di Kampong Serkam
Masjid di Peringgit
Masjid di Pernu
Masjid di Sungai Rambai
Masjid di Terentang
Masjid di Kampong Alai
Masjid Tun Syed Ahmad Al Haj di Bukit Beruang
Masjid Bukit Durian di Merlimau
Masjid Fathur Rahman di Pengkalan Rama
Masjid Kampung Hulu, Melaka Tengah, Dibina dalam tahun 1728, Masjid Kampung Hulu di Melaka adalah masjid paling tua di Malaysia yang masih digunakan dan berada di tapaknya yang asal. Senibina masjid ini dipengaruhi oleh senibina Jawa.
Seperti banyak masjid yang dibina di Negeri Melaka pada zaman itu, hiasan dengan pengaruh Cina digunakan untuk menghiasi masjid ini. Bahan-bahan seperti jubin seramik dan jubin lantai daripada kerajaan China Dinasti Ching juga digunakan. Motif-motif menghiasi tepian kubah masjid. Menara batu menunjukkan ciri senireka Melaka pada masa itu, dan dipengaruhi oleh rekabentuk pagoda orang Cina. (sumber penuh dapatkan di wikipedia)
Masjid di Kampung Kling
Masjid di Peringgit
Masjid di Tanjung Kling
Masjid di Telok Mas
Masjid negeri iaitu Masjid Al-Azim di Melaka Tengah
Dari senibina masjid di Negeri Melaka jelas menunjukkan kebanyakannya menggunakan kubah berbentuk segiempat bertangkup seperti piramid dan di adun dengan kesenian umpama pagoda di bucunya mahupun senibina menaranya. Bumbung pula umpama atap adalah dari kesenian melayu. Keunikan senibina campuran ini menyerlahkan kepelbagaian budaya di Malaysia.
Koleksi ini tidaklah lengkap sepenuhnya. Banyak lagi masjid-masjid di negeri Melaka yang indah senibinanya. Semoga yang ada ini dapat memberikan serba sedikit pengetahuan dan panduan mengenai senibina masjid yang terdapat di negeri Melaka. Insyaallah negeri-negeri lain juga akan menyusul...
Masjid yang indah bukan untuk hanya untuk di pandang...marilah kita bersama-sama mengimarahkannya...
Lihat lagi keindahan senibina masjid yang berdiri megah sebagai lambang keagungan Islam di Malaysia dan di seluruh dunia...
- Post #22 - Koleksi Keindahan Senibina Masjid- Post #20 - Keindahan Senibina Masjid
- Senibina Masjid di Negeri Johor
P/S : Jika ada sebarang kesilapan, sila beritahu untuk saya perbetulkan. Jika anda berminat untuk meletakkan masjid di tempat anda di entri ini, sila hantarkan gambar masjid tersebut kepada saya. Terima kasih
Admin...
Tidak ada komentar:
Posting Komentar