SURAH AL-MUNAFIQUN
(Orang Munafik)
Surah ke 63
Terdiri daripada 11 ayat (Madaniyyah)
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
1. Apabila orang munafik datang kepadamu (wahai Muhammad), mereka berkata, "kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau sememangnya Rasulullah." Allah sememangnya mengetahui bahawa engkau ialah Rasul-Nya, serta Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta.
2. Mereka menjadikan sumpahnya (atau akuannya) sebagai perisai, (untuk menyelamatkan diri daripada dibunuh dan harta mereka daripada dirampas), lalu mereka menghalang (dirinya dan orang lain) daripada menurut jalan Allah. Sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah kerjakan.
3. Demikian itu adalah kerana mereka mengaku beriman (di hadapan orang Islam), kemudian mereka menjadi kafir, lalu dengan sebab itu hati mereka dikunci mati. Kerana itu, mereka tidak dapat memahami (yang mana benar dan yang mana salah).
4. Dan apabila engkau melihat mereka, engkau kagum dengan tubuh badan mereka. Apabila mereka berkata-kata, engkau juga kagum mendengar tutur kata mereka (kerana manis dan petah). (Dalam pada itu) mereka umpama batang-batang kayu yang tersandar (tidak terpakai kerana tidak ada padanya kekuatan yang dikehendaki). (Kerana rasa bersalah, mereka sentiasa dalam keadaan cemas sehingga) mereka menyangka setiap jeritan (atau riuh rendah yang mereka dengar) adalah ditujukan kepada mereka (untuk membahayakan mereka). Mereka itulah musuh yang sebenar-benarnya, maka berwaspadalah terhadap mereka. Semoga Allah membinasa dan menyingkirkan mereka daripada rahmat-Nya. (Pelik) Bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada kebenaran sedangkan buktinya jelas)?
5. Dan apabila dikatakan kepada mereka, "marilah (bertaubat) supaya Rasulullah meminta ampun (kepada Allah) untuk kamu," mereka (enggan sambil) menggeleng-gelengkan kepala; dan engkau melihat mereka berpaling (daripada bertaubat) serta mereka bersikap sombong.
6. (Tidak ada faedahnya) kepada mereka, sama ada engkau meminta ampun untuk mereka atau engkau tidak meminta ampun, Allah sekali-kali tidak akan mengampuni mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah kepada kaum yang fasiq.
7. Merekalah yang mengatakan (kepada orang di Madinah yang menolong Rasulullah dan orang Muhajirin), "Janganlah kamu membelanjakan harta kamu kepada orang yang ada bersama-sama Rasulullah supaya mereka bersurai meninggalkannya." Padahal Allah memiliki perbendaharaan langit dan bumi (Justeru, tiada sesiapa pun yang dapat memberi atau menyekat sebarang pemberian melainkan dengan kehendak-Nya). Tetapi orang yang munafik itu tidak memahami (hakikat yang sebenarnya).
8. Mereka berkata lagi, "Sesungguhnya jika kita kembali ke Madinah (dari medan perang), sudah tentu orang yang mulia lagi kuat (pihak kita) akan mengusir keluar dari Madinah orang yang hina lagi lemah (pihak Islam)." Padahal kemuliaan dan kekuatan itu adalah milik Allah, untuk Rasul-Nya dan orang yang beriman. Tetapi orang munafik itu tidak mengetahui (hakikat yang sebenar).
9. Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintah-Nya). (Ingatlah) sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang yang rugi.
10. Nafkahkanlah (dengan mendermakan) sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang daripada kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya, "Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal mautku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi di kalangan orang yang soleh.
11. Allah sekali-kali tidak akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya. Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya mengenai segala yang kamu kerjakan.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar