Sampan
Pasti semua orang tahu apa itu sampan. Satu peralatan pengangkutan yang di gunakan di sungai, tasik, tali air dan laut. Pernahkah anda ketahui dari mana wujudnya perkataan "sampan" itu. Perkataan "sampan" mengikut bunyi bererti "tiga lembar papan" kerana ianya adalah berasal dari bahasa Kantonis, iaitu gabungan dua perkataan, Sam (三, tiga) dan Pan (板, papan).
Perkataan sampan ini digunakan untuk merujuk kepada pembuatan sampan itu sendiri, yang mana ianya terdiri dari dasarnya yang datar (dibuat dari sekeping papan); manakala dua keping papan lainnya dipasang di kedua belah sisinya.
Sampan sangat penting di zaman dahulu kala sebagai alat pengangkutan. Dengan menggunakan tenaga empat kerat bersama dayung dan sampan, segala aktiviti seperti jual beli, pertukaran budaya, kemajuan, silaturrahim, ilmu pengetahuan dan sebagainya dapat di jalankan. Sebagai seorang pendayung sampan, pastinya kerjaya anda amat mulia sekali... Anda ikuti kisah menarik ini...(sumber)
Kisah Pendayung Dan Profesor
Pada suatu hari... Seorang Profesor yang sedang membuat kajian tentang lautan telah menumpang sebuah sampan di mana pendayung sampan itu adalah seorang tua yang begitu pendiam.
Profesor memang suka akan pendayung sampan yang pendiam agar tidak banyak bertanya ketika dia sedang membuat kajian. Maka dengan penuh kusyuknya Profesor itu membuat kajian. Diambilnya sedikit air laut dengan tabung uji kemudian digoyang-goyang; selepas itu dia menulis sesuatu di dalam buku. Berjam-jam lamanya Profesor itu membuat kajian dengan tekun sekali.
Pendayung sampan itu mendongak ke langit. Berdasarkan pengalamannya dia berkata di dalam hati, “Hmm... hari nak hujan.” Tidak lama kemudian Profesor pula berkata, “OK, semua sudah siap, mari kita balik ke darat” Legalah hati si pendayung sampan.
Pendayung sampan itu mengikut perintah dan mula memusingkan sampannya ke arah pantai. Hanya dalam perjalanan pulang itu barulah Profesor itu menegur pendayung sampan. “Kamu dah lama kerja mendayung sampan?” Tanya Profesor itu. “Hampir semur hidup saya.” Jawab pendayung sampan itu dengan ringkas. “Seumur hidup kamu?” Tanya Profesor itu lagi. “Ya”. “Jadi kamu tak tahu perkara-perkara lain selain dari mendayung sampan?” Tanya Professor itu.
Pendayung sampan itu hanya menggelengkan kepalanya. Masih tidak berpuas hati, Profesor itu bertanya lagi, “Kamu tahu geografi?” Pendayung sampan itu menggelengkan kepala. “Kalau macam ni, kamu dah kehilangan 25 peratus dari usia kamu.” Kata Profesor itu lagi, “Kamu tahu biologi?” Pendayung sampan itu menggelengkan kepala. “Kasihan... Kamu dah kehilangan 50 peratus usia kamu. Kamu tahu fizik?”
Profesor itu masih lagi bertanya. Seperti sebelumnya, pendayung sampan itu hanya mampu menggelengkan kepala. “Kalau begini, sungguh kasihan... kamu sudah kehilangan 75 peratus dari usia kamu. Malang sungguh nasib kamu, semuanya tak tahu. Seluruh usia kamu dihabiskan sebagai pendayung sampan.” Kata Profesor itu dengan nada mengejek dan angkuh.
Pendayung sampan itu hanya berdiam diri. Selang beberapa minit kemudian, hujan turun dan dengan tiba-tiba saja telah datang ombak yang besar!
Sampan mereka di lambung ombak lalu terbalik. Profesor dan pendayung sampan terpelanting kedalam laut. Sempat pula pendayung sampan itu bertanya, “Kamu tahu berenang?” Profesor itu hanya mampu menggelengkan kepala. “Kalau macam ini, kamu dah kehilangan 100 peratus nyawa kamu.” Kata pendayung sampan itu sambil berenang menuju ke pantai.
Setiap kerjaya seseorang itu walau pun tidak memerlukan tahap ilmu pemikiran yang tinggi namun pengalaman dan kemahirannya patut kita hargai dan hormati. Kelebihan yang tidak akan dimiliki oleh semua orang.
Maka bersyukur dan hormatilah dengan kerjaya sendiri dan orang lain. Jangan sesekali menghina dan memandang rendah sesama manusia kerana kita semuanya sama disisi Allah SWT, hanya amal yang soleh yang membezakan kita di sisiNya.
Terima kasih bersama Relaks Minda...
Admin...
Tidak ada komentar:
Posting Komentar