Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Tahukah anda dari manakah puncanya air sungai? Pernahkah anda ketahui bagaimana pula air sungai boleh muncul keluar dari tempat yang tinggi lalu mengalir ke kawasan rendah? Ianya terhasil dari aturan alam yang sungguh menakjubkan. Sungguh sempurna alam ciptaan Allah ini.
Terdapat beberapa sumber punca kewujudan air sungai. Ianya adalah dari air hujan, pencairan glasier, tasik dan mata air. Di negara kita, punca air sungai adalah dari hujan dan mata air. Bagaimana pula ia boleh berlaku?
Hujan memainkan peranan penting untuk membekalkan air mentah semulajadi. Hutan di tanah tinggi merupakan kawasan yang utama tempat dimana hujan akan turun. Maka dari situlah munculnya nama kawasan tadahan hujan.
Tekanan rendah di tanah tinggi membuatkan awan cuba untuk naik tinggi. Akibat terlalu berat ianya akan melepaskan sebahagiannya sebagai hujan. Hutan yang tebal pula umpama span berongga yang besar menyerap air hujan ini lalu menapisnya secara semulajadi.
Air yang terserap ini akan keluar semula dari dalam tanah melalui rekahan dan celahan batu. Inilah yang dinamakan sebagai mata air semulajadi. Air ini sangat bersih dan kaya dengan mineral semulajadi yang baik untuk kesihatan. Air mengalir mengikut tarikan graviti lalu mengalir menuruni lurah gunung dan bukit lalu membentuk aliran yang kita kenali sebagai anak sungai.
Air yang mengalir menuruni lurah gunung dan bukit ini menghakis dan membawa segala yang ada dilaluannya lalu hanya meninggalkan batu yang berat dan terpasak di bumi. Di sinilah bermula terjadinya air terjun yang indah yang menghiasi lanskap hutan. Aliran sungai yang kecil ini mengalir laju hingga ke lembah yang semakin mendatar. Beberapa aliran tadi ada yang bercantum sesama sendiri lalu membentuk sungai yang semakin besar.
Sungai yang mengalir ini akan terus bergerak ke lembah yang rendah. Ada yang tersekat lalu bertakung dan membentuk tasik. Yang selebihnya pula terus bergerak ke permukaan paling rendah lalu terus menuju ke laut.
Lautan yang terbentang luas ini pula merupakan sumber utama bagi kejadian awan. Awan yang terbentuk akan bergerak pabila di tiup angin menuju ke kawasan tekanan rendah iaitu di tanah tinggi. Maka proses yang sama akan berulang kembali...ianya akan berterusan selagi tiada gangguan.
Dari informasi ini, tahulah anda betapa pentingnya hutan di tanah tinggi ini menjadi tadahan hujan untuk membekalkan kita air mentah semulajadi untuk sumber kehidupan kita dan setiap makhluk bernyawa. Oleh itu hargailah dan cintailah hutan kita. Ia adalah sumber oksigen dan air bersih untuk kehidupan kita.
Kawasan tadahan hujan perlu di pelihara dan sungai pula harus di jaga kerana kita amat bergantung kapadanya untuk meneruskan kehidupan ini. Elakkan kemusnahan dan pencemaran demi kehidupan yang selesa untuk masa kini dan akan datang.
Sesungguhnya setiap kejadian dan ciptaan Allah SWT itu ada sebab dan fungsinya. Andai kita musnahkan ia maka terganggulah aturannya lalu membawa kepada bencana. Bala bencana tidak mengenal mahupun memilih mangsanya...Jangan sampai 'sudah terhantuk baru hendak tergadah'...kerana alam semulajadi yang musnah tidak dapat di kembalikan semula dengan sekelip mata.
Terima kasih bersama Relaks Minda... Menjamu mata sambil mendapat informasi berguna.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar