Assalamualaikum dan salam sejahtera. Keindahan alam ini adalah anugerah Allah SWT untuk kita nikmati. Di hujung minggu merupakan masa yang paling sesuai untuk kita menikmatinya kerana ketika ini kita bebas dari belenggu rutin harian sama ada dalam mencari rezeki mahupun menimba ilmu.
Masa yang singkat ini hendaklah di gunakan sebaik mungkin untuk memberi kerehatan kepada tubuh badan dan juga minda. Namun tidak semua orang berpeluang untuk menikmatinya. Ada saja program dan aktiviti lain yang mengikat anda untuk terus bergerak. Tiada istilah rehat buat anda melainkan masa tidur di malam hari. Namun anda tetap masih berkesempatan juga untuk blogging... terima kasih kerana singgah seketika di sini =)
Kesempatan anda berada disini walaupun seketika tidak akan saya hampakan. Saya mahu anda rehatkan diri dan bersantai walaupun ianya hanya untuk seketika. Nikmatilah percutian bersama Relaks Minda di hujung minggu ini.
Kosongkan fikiran anda dan lupakan dimana jasad anda berada sekarang. Berikan tumpuan dan biarkan hanya mata anda menikmati keindahan alam yang indah ini.
Rasai nikmat ketenangan dan kedamaian di percutian yang indah ini. Jauh dari kesibukan tanpa sebarang gangguan. Hanya anda dan alam semula jadi. Menikmati pemandangan laut dan langit yang membiru serta saujana mata memandang. Menikmati kehijauan pepohon yang menyejukkan. Menikmati indahnya gabungan binaan bersatu dengan alam.
Rasakan juga nikmatnya bayu laut yang lembut menyapa pipi anda. Merasa terikan mentari yang menyinar terang menerangi alam ini dan rasai juga kelembutan ombak yang menyapa kaki anda.
Mendengar alunan ombak yang merdu bagaikan irama syahdu yang menenangkan jiwa. Menyaksikan pepohon melambai-lambai mesra umpama mengalu-alukan kehadiran anda.
Tariklah nafas dan nikmati kesegaran udara yang nyaman dan segar. Betapa tenang dan damainya terasa. Badan terasa ringan bagaikan hilang segala beban dan tekanan. Mengembalikan semula kekuatan dan tenaga jasmani dan rohani.
Tidak kira apa yang akan anda lakukan selepas ini, semoga anda dapat melakukannya dengan lebih bersemangat dan bertenaga. Mungkin saya tidak mampu memberikan anda sepenuhnya seperti realiti tapi nikmatilah rehat dan tenangkanlah hati dan minda anda walau seketika... ianya penting untuk kesihatan dan menyegarkan badan serta minda anda.
Selamat menikmati hujung minggu... Terima kasih bersama Relaks Minda. Semoga anda sentiasa ceria dan bahagia di samping insan tersayang.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar